Sunday, March 30, 2014

Setem Singapura Pembuka Tirai 2014


                                      Gambar: Stesyen Kereta Api Singapura


Setem Singapura merupakan setem pembuka tirai bagi tahun 2014 yang diterima daripada kenalan. Saya tertarik mengenai setem ini kerana memaparkan struktur bangunan klasik. Penuh sejarah. Imej digambarkan dalam bentuk hitam putih menambahkan cetusan rasa sejarah stesyen kereta api yang dipaparkan. 
________________________________________________________________________________

Monday, March 24, 2014

Arab Saudi Episod 2

Saya tertanya-tanya sama ada Saudi Post yang saya kunjungi pada tahun 2012 masih ada atau sudah dirobohkan memandangkan banyak bangunan di Mekah telah dirobohkan. Pada petang 5.2.2014 semasa bas rombongan saya menuju ke Hudaibiyah, saya nampak Saudi Post yang pernah saya kunjungi dulu masih ada.  Kelihatan juga pintu utama cermin gelap terbuka menampakkan ada pelanggan sedang berurusan.  Namun, saya masih memikirkan sama ada hendak pergi atau tidak ke pejabat pos tersebut. Hati tidak begitu teruja disebabkan saya pernah mengunjungi pejabat pos tersebut dan kesihatan yang tidak mengizinkan. Lagipun, saya sudah mengetahui di manakah laman web berkaitan setem-setem Arab Saudi.
 
Pada pagi 6.2.2014 setelah selesai menunaikan ibadat sunat, saya masih rasa berat hati untuk pergi ke pejabat pos. Namun, bagi mewarnai kunjungan ke Arab Saudi kali ini, saya dengan langkah kaki perlahan-lahan meneruskan perjalanan meredah jalan sambil menggunakan topeng muka bagi mengelakkan habuk memandangkan jalan yang saya akan lalui terdapat bangunan sedang dalam pembinaan.

Kali ini saya rasakan berjalan kaki terlalu lama. Mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk sampai. Semasa kunjungan pertama dulu, saya rasakan hanya lebih kurang 15 minit sahaja. Saya reda.....faktor kesihatan dan tersalah melalui jambatan jalan raya yang agak tinggi.
  
                                      Gambar: Setem Arab Saudi Penuhi Kenangan

Apabila saya tiba di kaunter pejabat pos, saya mengucap salam dan salam saya itu serta-merta disambut gagah oleh pegawai pejabat pos di situ walaupun ketika itu beliau sedang bercakap dengan orang lain.  Saya memaklumkan saya pengumpul setem. Pegawai tersebut ingin memberikan alamat pejabat pos utama yang ada menjual banyak setem dengan menaiki teksi jika hendak ke situ. Tetapi saya maklumkan, saya akan membeli setakat setem yang ada dijual olehnya. Saya dilayan amat baik. Tanpa diduga sepatutnya jumlah keseluruhan setem tersebut berharga SAR102 tetapi beliau meminta saya hanya membayar SAR100. Syukur. Itulah memang bajet saya untuk membeli setem tidak melebihi SAR100. Saya turut menyerahkan sepucuk surat bersetem SAR4.00 kepada pegawai tersebut untuk dihantar ke Malaysia. Saya berada di pejabat pos tersebut lebih kurang 15 minit.

Penat berjalan tadi masih belum hilang. Oleh itu, saya mengambil keputusan melintas jalan untuk menahan teksi di hadapan sebuah hotel. Lebih kurang 10 minit barulah saya dapat teksi. Namun, sebelum menaiki teksi, saya memaklumkan hendak ke Masjidil Haram dan bertanyakan harga tambang terlebih dahulu. Saya bukanlah fasih berbahasa Arab. Pemandu teksi tersebut menunjukkan isyarat jari tetapi saya tidak faham. Apabila saya tidak jadi mengambil teksi tersebut, dia sempat memanggil saya dengan menunjukkan matawang Arab Saudi, SAR10.00. Oleh itu, saya setuju tambang tersebut dan alhamdulillah selamat sampai di Masjidil Haram. Inilah kali pertama saya menaiki teksi di Arab Saudi.   
_______________________________________________________________________________