Wednesday, September 30, 2015

Pelawat Pertama Cuba dan Yaman

Pada bulan Ogos 2015, blog saya telah dilayari oleh dua pelawat pertama dari negara Cuba dan Yaman. Pelawat dari Cuba telah melayari blog saya pada 17 Ogos 2015. Manakala, pelawat dari Yaman pula telah singgah blog saya pada 29 Ogos 2015.

Setakat ini, saya hanya memiliki sekeping setem Yaman dalam album koleksi. Saya hanya dapatkan paparkan setem Cuba sahaja. 


Gambar: Setem Cuba Bertemakan Ekonomi Sektor Perikanan
________________________________________________________________________

Monday, September 14, 2015

Pameran Setem Dunia Singapura 2015

                                        
Setelah lebih setahun menunggu, akhirnya tiba masanya mengunjungi Pameran Setem Dunia Singapura 2015 (Singapore 2015 World Stamp Exhibition). Pameran ini telah diadakan bermula 14 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2015 di Sands Expo & Convention Center, Singapura. Saya telah memilih tarikh 15 Ogos 2015 untuk mengunjungi pameran tersebut.
 
                                                            Gambar: Pintu Masuk

Agak penat juga menapak untuk tuju ke pameran tersebut. Stesen MRT yang saya turun memerlukan masa berjalan kaki lebih kurang 15 minit. Semasa tiba di stesen tersebut, tiada menunjukkan sebarang tanda arah untuk menuju pameran tersebut. Apabila tiba di level pameran, terdapat satu papan tanda tetapi amat mengelirukan sebab menunjukkan arah yang bertentangan. Saya terpaksa bertanya dengan petugasdi Pusat Konvensyen yang berdiri berhampiran papan tanda tersebut yang saya percaya beliau ditugaskan untuk program lain.

Saya berasa lega sebab sudah daftar masuk awal di laman web pameran tersebut beberapa hari yang lepas. Oleh itu, mudah untuk mendapatkan pelekat masuk pameran. Saya agak terkejut sedikit apabila mengambil pelekat tersebut. Saya tidak mendapat apa-apa yang menarik perhatian seperti buku pasport setem yang ada diberikan semasa Minggu Setem dan Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur, Malaysia.

                                         Gambar: Gerai Jualan Stanley Gibbons
Apabila memasuki dewan pameran tersebut, saya terus mencari gerai jualan Stanley Gibbons. Harga buku katalog setem yang dijual agak mahal walaupun telah diberi diskaun. Saya fikir tentu lebih murah kalau beli terus di London. Namun, saya tetap membeli dua (2) buku katalog setem memandangkan saya sudah berada di situ. Tambahan pula, kemungkinan besar saya tidak dapat mengunjungi Stanley Gibbons London bulan September depan akibat masa lawatan terhad.

Saya perhatikan terdapat pengunjung yang memegang kad besar. Saya bertanya kepada pengunjung mengenai tempat untuk mendapatkan kad tersebut. Rupanya kad tersebut boleh didapati di kaunter pendaftaran. Saya terpaksa keluar semula dewan pameran untuk ke kaunter tersebut. Rupa-rupanya kad itulah Pasport Filateli! Namun, pasport tersebut perlu dibayar kalau tidak silap saya dengan harga SD$2.00. Kenapalah perlu bayar? Sepatutnya berilah sebagai cenderamata kepada pengunjung untuk memasuki pameran tersebut.

                         Gambar: Philatelic Passport Singapore 2015 World Stamp Exhibition

Apakah Pasport Filateli? Mungkin ada di kalangan peminat setem yang masih tiada ketahui. Pasport tersebut bertujuan untuk menampal setem-setem negara yang terlibat menyertai pameran setem. Selepas ditampal, setem akan dicap tarikh kunjungan di gerai yang menjual setem tersebut.  
 
Sebagaimana saya sudah jangka, setem-setem yang dijual harganya lebih mahal berbanding semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014. Antara mungkin sebabnya perbezaan nilai mata wang di antara Ringgit Malaysia (RM) dengan Singapore Dollar (SD). SD$1.00 bersamaan lebih kurang RM3.00.

Ketika Pameran Setem Remaja Dunia 2014, harga sekeping setem yang dijual untuk ditampal pada buku pasport setem majoriti berharga RM1.00. Namun, harga sekeping setem untuk ditampal pada Pasport Filateli kali ini, majoriti dijual dengan harga SD$1.00. Oleh itu, saya tidak banyak membeli setem yang dijual dengan harga SD$1.00. Akhirnya, saya tidak menggunakan Pasport Filateli itu. Disimpan untuk kenangan.

                                                 Gambar: Gerai Jualan Brunei Post
                                                          
Antara gerai jualan yang saya telah kunjungi seperti yang berikut:

Bil.
Gerai Jualan
Pendapat Saya
1.
Brunei Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan
2.
Tajikistan/ Kyrgystan
Setem menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
3.
Qatar
Setem menarik. Harga setem lebih murah semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur. Saya tidak teruja membeli sebab sudah membeli semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014.
4.
Oman
Setem menarik. Harga setem lebih murah semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur. Saya tidak teruja membeli sebab sudah membeli semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014.
5.
New Zealand Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan. Layanan baik.
6.
PHLPOST (Philippine Postal Corporation)
Setem menarik. Harga sedikit mahal.
7.
Japan Post, Liechtenstein Post, Portugal Post
Setem menarik. Harga berpatutan. Gerai jualan menarik.
8.
Pos Malaysia
Setem amat menarik. Harga sedikit mahal. Gerai jualan tidak menarik. Kekurangan hiasan seperti poster dan kadang-kala kelihatan seperti ‘gerai kosong’.
9.
Belarus Post
Setem amat menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
10.
German Post
Setem amat menarik. Harga  berpatutan. Saya lebih gemar jika bertukar-tukar setem dengan kenalan berbanding membeli setem Jerman.
11.
CS Philatelic Agency
Saya hanya melalui di hadapan gerai jualan disebabkan sering mengunjungi kedai ini di Peninsula Shopping Centre, Singapura.
12.
Prestige Label Pte Ltd
Seronok! Dapat pelekat dan penanda buku percuma.
13.
Macao Post
Saya kecewa. Lembaran Mini yang ada hanya untuk dipamerkan sebab sudah habis dijual. Stok akan ada pada keesokan hari.
14.
Thailand Post
Setem menarik. Harga sedikit mahal.
15.
Australia Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan. Layanan baik. Teringat Kylie Minogue.
16.
DPR Korea Post
Setem menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
17.
Tahiti – French Polynesia
Setem amat menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan. Hiasan gerai cantik. Disulami dengan alunan muzik seolah-olah berada di Tahiti!
18.
Singpost
Terlalu ramai orang beratur panjang untuk membeli setem. Saya mencuci mata sahaja.

 Top 5 Gerai Menjual Setem Menarik (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Pos Malaysia
2. Tahiti – French Polynesia
3. Australia Post
4. New Zealand Post
5. Brunei Post

Top 5 Gerai Menjual Setem Harga Berpatutan (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Australia Post
2. New Zealand Post
3. Brunei Post
4. Tajikistan/ Kyrgystan
5. Tahiti – French Polynesia

Top 5 Gerai Jualan Menarik (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Tahiti – French Polynesia
2. Japan Post, Liechtenstein Post, Portugal Post
3. PHLPOST (Philippine Postal Corporation)
4. Australia Post
5. New Zealand Post
 

                                      Gambar: Dokumen Filateli Percuma Bernilai
                                                
Terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian saya di Pameran Setem Dunia Singapura ini. Antaranya, seperti yang berikut:

1. Gerai Stanley Gibbons memberikan buku mini setem katalog Singapura dan majalah berkaitan filateli.
2. Gerai Emriyah Arab Bersatu memberikan risalah percuma mengenai setem atau lembaran mini keluaran negara tersebut (semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014, tiada kelihatan diberikan risalah tersebut).
3. Gerai Macao Post turut memberikan risalah percuma mengenai setem atau lembaran mini keluaran negara Macau.
4. Gerai Prestige Label Pte Ltd telah memberikan pelekat dan penanda buku percuma yang memaparkan maskot pameran setem ini (terpulang kepada pengunjung hendak mengambil seberapa banyak).


                                 Gambar: Cenderamata Gerai Prestige Label Pte Ltd 



Terima kasih kepada pihak penganjur, semua gerai jualan dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Pameran Setem Sedunia Singapura 2015. Anda memeriahkan dunia setem saya.

                                                     Gambar: Koleksi Filateli Dibeli

 
___________________________________________________________