Saya mula mengumpul setem lebih kurang berusia 5 tahun. Ketika itu hampir semua orang dalam keluarga saya mengumpul setem. Saya melihat setem begitu unik dari segi kepelbagaian tema, warna, saiz dan 'gigi' setem. Semasa itu juga saya menganggap setem macam ada magik apabila ibu atau abang saya merendamkan setem ke dalam air, setem itu akan tertanggal dari kertas yang melekatnya. Saya rasa hairan dan kagum melihat keadaan itu.
Apakah setem pertama dimiliki?
Seingat saya, setem pertama saya miliki, setem Malaya 6 cents yang dikeluarkan pada 5 Mei 1957.
Bilakah mula secara serius mengumpul setem?
Saya mula serious mengumpul setem pada Januari 2006.
Kenapakah lewat mengumpul setem secara serius?
Sejak saya berumur 5 tahun hingga 32 tahun, minat saya mengumpul setem sekejap timbul dan sekejap tenggelam. Sebagaimana peminat setem lain, saya tidak terkecuali menyimpan setem-setem dalam album setem. Namun, ketika minat saya tidak begitu mendalam, apabila saya menerima sampul surat bersetem, saya akan menyimpan sahaja sampul surat tersebut. Setem itu tidak dimasukkan dalam album setem.
Antara faktor-faktor saya lewat mengumpul setem secara serious seperti berikut:
1. Pembaziran
Anggapan saya mengumpul setem suatu pembaziran. Lebih baik menabung atau membeli barang-barang keperluan lain.
2. Alam Persekolahan
Tiada mempunyai banyak wang lebih untuk membeli setem ketika alam persekolahan. Wang digunakan untuk membeli buku-buku dan peralatan-peralatan sekolah.
3. Suasana Remaja
Ketika alam remaja, saya lebih gemar membeli kaset, CD dan video muzik.
4. Kecewa
Walaupun rumah dan sekolah saya berdekatan dengan pejabat pos daerah, namun setiap kali hendak membeli setem pada hari pertama dikeluarkan, setem sudah habis dijual oleh pejabat pos tersebut. Kalau ada pun, setem yang mahal harganya seeperti $1.00. Rasa kecewa dan putus-asa menyimpan setem mula timbul. Penat berjalan kaki ke pejabat pos tetapi setem tidak dapat dibeli.
5. Fokus Alam Pekerjaan
Apabila saya mula bekerja pada tahun 2001, saya memberi tumpuan penuh kepada pekerjaan. Semangat bekerja menebal. Sehingga lupa mengenai hobi ini.
6. Takdir
Takdir penentu segalanya. Syukur.
Bagaimanakah mula timbul minat secara serius mengumpul setem?
Saya mula minat secara serius mengumpul setem apabila saya ingin berkawan dengan orang-orang di luar negara. Namun terdapat persoalan dalam diri saya, bagaimana untuk mendapat kawan? Apakah asas untuk berkawan? Apakah cenderamata untuk bertukar-tukar antara satu sama lain? Tiba-tiba saya mendapat ilham untuk mencari kawan di internet. Asas pencarian di internet, menerusi laman web pengumpul setem. Setem pula merupakan cenderamata yang sesuai untuk bertukar-tukar antara satu sama lain. Tambahan pula, setem ringan, tidak melibatkan kos penghantaran pos yang mahal.
Siapakah kenalan pertama luar negara?
Kenalan pertama saya merupakan seorang lelaki dari Australia tetapi seribu kali sayang suratnya telah hilang. Ketika itu saya berusia lebih kurang 14 tahun. Hanya sepucuk surat daripada beliau saya terima. Semasa saya mula secara serius mengumpul setem, kenalan pertama saya seorang lelaki dari India. Surat tersebut saya terima pada awal tahun 2006.