Showing posts with label Setem Singapura. Show all posts
Showing posts with label Setem Singapura. Show all posts

Tuesday, October 31, 2023

Setem Definitif Singapura

Saya penggemar setem definitif Singapura sejak zaman kanak-kanak lagi. Saya tertarik dengan tema dan warna setem definitif Singapura walaupun setem yang dikeluarkan bersaiz kecil.


Setem definitif bertemakan burung juga menarik minat saya sebagaimana yang dipaparkan. Tambahan pula setem tersebut bersaiz besar.

Monday, October 30, 2023

100 Tahun Mel Udara Pertama

Pada 7 Oktober 2023, saya amat terkejut setelah mendapati blog ini dilawati oleh ramai pelawat dari Singapura.

Berdasarkan statistik, blog ini dikunjungi secara drastik seramai 892 pelawat Singapura bermula 26 September 2023 hingga 8 Oktober 2023.


Sebagai penghargaan, saya paparkan setem Singapura yang berada dalam koleksi album setem saya. Setem tersebut dikeluarkan pada 31 Julai 2019 sempena 100 tahun mel udara pertama. Menarik.

Thursday, December 17, 2015

Pameran Setem Empat Negara 2015

Lebih kurang jam 8.40 pagi, 4 Disember 2015 saya telah berada di Pejabat Pos Sungai Rambai, Melaka untuk membeli setem sempena Pameran Setem Empat Negara 2015 atau dikenali sebagai Four Nation Stamp Exhibition 2015. Saya terpengaruh dengan sebuah laman web yang memberitahu kemungkinan Sampul Surat Hari Pertama mudah kehabisan di tapak pameran setem. Oleh itu, saya membeli lebih awal di pejabat pos. Lagipun, saya rasa mudah dan selesa untuk menampal setem pada Sampul Surat Hari Pertama di rumah berbanding jika menampal di tapak pameran.

                                            Gambar: Pejabat Pos Sungai Rambai, Melaka
Saya tidak membeli setem dengan kuantiti banyak walaupun kombinasi warna setem keluaran kali ini menarik  setelah ditampal pada Sampul Surat Hari Pertama. Saya tidak gemar imej model pakaian yang dipaparkan pada setem tersebut. Selain daripada itu, latar belakang setem yang memaparkan  tempat keagamaan turut menjadi saya kurang berminat terhadap setem keluaran kali ini. Dari pandangan peribadi saya, agak sedikit hampa setelah menunggu keluaran ini hampir satu tahun.


                                                      Gambar: Pintu Masuk Pameran

Pameran Setem Empat Negara 2015 diadakan di F1-05 dan F1-06 di Dataran Pahlawan, Megamall, Melaka, Malaysia. Agak mudah untuk mencari tapak pameran tersebut memandangkan saya memang gemar ke Dataran Pahlawan. Ketika saya sampai di tapak pameran tersebut, suasana agak meriah. Rupa-rupanya baru selesai upacara perasmian. Dapatlah saya menjamah kuih dan minuman yang dihidangkan.

                                                    Gambar: Pentas Majlis Pembukaan

Tugasan pertama saya selepas mengambil gambar pentas utama, saya membeli lima set Lembaran Mini dan dua keping lagi Sampul Surat Hari Pertama. Lembaran Mini kali ini tiada dijual di pejabat pos cawangan.

                       Gambar: Gerai Jualan dan Pandangan Jauh Pintu Masuk Bilik Pameran
Selepas itu, bermulalah aktiviti saya mengecap Sampul Surat Hari Pertama. Agak sedikit terkejut saya apabila melihat hanya ada dua meja kecil sahaja untuk mengecap. Sempit. Cap yang disediakan pun hanya ada satu set untuk dua jenis cap yang berbeza. Sepatutnya pihak penganjur menyediakan meja yang lebih panjang dan sekurang-kurangnya dua set cap. Namun, saya bernasib baik disebabkan tidak ramai orang gunakan cap tersebut. Ada Sampul Surat Hari Pertama dicap atas setem dan ada pula tanpa setem. Saya lebih gemar cap Sampul Surat Hari Pertama tanpa setem.  

                                          Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Tanpa Setem

Saya dapat membeli beberapa keping setem dan Lembaran Mini Malaysia keluaran tahun-tahun lepas. Mungkin disebabkan saya membeli setem dalam jumlah yang agak banyak, saya mendapat cenderamata set setem lengkap Satu Abad Majlis Raja-raja dan Lembaran Mini Sukan Komanwel 1998 yang belum digunakan. Tambahan pula, setem dan Lembaran Mini tersebut belum ada dalam koleksi saya. Rasanya inilah Lembaran Mini Malaysia yang paling besar saya ada. Sungguh seronok!

                                                               Gambar: Cenderamata


Saya ada menjengah sekejap di pintu masuk bilik pameran filateli. Seperti kebiasaan, saya tidak berada lama di bilik pameran disebabkan untuk menjimatkan masa. Saya perhatikan, ruang bilik pameran tidak begitu besar tetapi padat dengan papan-papan pameran filateli.

                                                        Gambar: Bilik Pameran Filateli

Selepas itu, saya mengunjungi gerai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Malaysian Communications and Multimedia Commission/ MCMC). Saya tertanya-tanya dalam hati sama ada pihak MCMC ada memberi poskad percuma kepada pengunjung disebabkan apabila saya berdiri di depan gerai MCMC, tiada pula petugas di situ menawarkan apa-apa.  Selepas lebih kurang tiga kali berdiri di gerai MCMC, akhirnya saya bertekad bertanya sama ada atau tiada menawarkan poskad. Rupa-rupanya jika mahukan poskad, perlu bermain jenga! Inilah kali pertama saya bermain jenga. Selepas bermain, barulah dapat sekeping poskad yang imejnya serupa seperti Lembaran Mini pameran ini dan setem 50 sen Keluaran Bersama Komuniti ASEAN yang dikeluarkan pada 8 Ogos 2015. Terima kasih diucapkan. Semoga MCMC sentiasa mengeluarkan poskad percuma setiap kali ada program keluaran setem istimewa.

Sementara menunggu gerai PT Pos Indonesia melayan pengunjung, saya singgah ke gerai Philatelic Society of Malaysia yang menjual sampul surat dan setem Singapura. Istimewa gerai ini ada menyediakan cap dari Singapore Post. Namun, saya tidak faham kenapa ada perkataan "E" pada cap tersebut. Ada sesiapa yang tahu?

Gambar: Cap Singapura


Saya tidak lepaskan peluang singgah di gerai PT Pos Indonesia. Saya rasa menyesal pula tidak berbual mesra dengan seorang pengunjung setem di gerai PT Pos Indonesia. Dia ada menegur saya,"Kumpul setem juga?" Saya mengangguk "Ya,". Itu sahaja saya jawab. Saya berharap jika pengunjung setem itu membaca blog ini, bolehlah berhubung dengan saya  untuk berkongsi pengalaman. Kebetulan saya ada mengambil gambar pengunjung setem tersebut. Dia berdiri pertama dari tepi kiri gerai PT Pos Indonesia.  

                                                         Gambar: Gerai PT Pos Indonesia
Harga Lembaran Mini untuk 5000 Rupiah dijual dengan harga RM2.00 . Kalau ikutkan pertukaran mata wang semasa, 5000 Rupiah bersamaan lebih kurang RM1.55. Namun, saya masih boleh terima harga jualan Lembaran Mini tersebut.

Saya kecewa pada hari pertama, pameran ini tidak dihadiri oleh pejabat pos Thailand dan Singapura. Seolah-olah mereka seperti tidak menyokong pameran setem ini. Mungkin ada sebab tertentu. Namun, saya amat berharap, pejabat pos Thailand dan Singapura dapat turut serta sepanjang masa dalam apa-apa pameran setem yang dianjurkan di Malaysia sebagai tanda keakraban sesama kita. Bukannya jauh sangat negara Thailand dan Singapura untuk hadir. Hanya sempadan yang memisahkan kita.

Sunday, March 30, 2014

Setem Singapura Pembuka Tirai 2014


                                      Gambar: Stesyen Kereta Api Singapura


Setem Singapura merupakan setem pembuka tirai bagi tahun 2014 yang diterima daripada kenalan. Saya tertarik mengenai setem ini kerana memaparkan struktur bangunan klasik. Penuh sejarah. Imej digambarkan dalam bentuk hitam putih menambahkan cetusan rasa sejarah stesyen kereta api yang dipaparkan. 
________________________________________________________________________________

Tuesday, September 24, 2013

Pameran Setem Tri-Nation 2013


                                                Gambar: Antara Risalah Diterima
                            


Memang betul jangkaan saya. Terdapat pameran dan jualan setem diadakan sempena pengeluaran setem Tri-Nation 2013 bermula 23 - 25 Ogos 2013. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengunjungi pameran dan jualan tersebut yang diadakan di Tingkat 3, Ibu Pejabat Pos, Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2013. 

Tertanya-tanya dalam hati, “Di manakah lokasi pameran ini?” Cuma mengagak sahaja. Nasib baik ada ternampak tanda arah. Perlu menggunakan lif untuk naik ke tingkat 3. Inilah kali pertama saya ke tingkat 3 bangunan tersebut.

Saya sungguh terkejut apabila melihat ramai orang mengunjungi pameran dan jualan setem ini termasuk pelajar sekolah. Sebelum dan semasa saya naik lif tadi, saya perhatikan tidak ramai orang tetapi apabila saya masuk pintu dewan jualan setem itu, saya tergamam seketika. 

Semasa saya berlegar dalam dewan, saya mendapati terdapat sebuah meja mengedarkan buku kepada pengunjungnya. Saya menghampiri meja tersebut. Saya rasakan perempuan yang bertugas di meja tersebut datang dari Thailand, berdasarkan wajahnya. Hati saya berteka-teki, “Adakah buku tersebut diedarkan secara percuma?” Tiba-tiba soalan itu berjawab. Seorang pengunjung di meja tersebut memberitahu saya, buku tersebut diberikan percuma. Apalagi, saya pun terus mendapatkannya. Buku tersebut mengenai lelongan setem dan barangan lain yang telah diadakan di Thailand. Walau bagaimanapun, terdapat gambar-gambar setem lama Thailand yang menarik perhatian saya.

                                          Gambar: Buku Lelongan Antik Thailand

Selepas sekali atau dua kali pusing keliling dewan tersebut, saya buat keputusan, saya harus segera lakukan sesuatu. Saya mengambil keputusan untuk membeli setem Singapura yang dijual oleh pejabat pos Singapura. Saya memang sudah jangkakan pejabat pos Singapura tentu akan menjual setem pada pameran ini. Sebagaimana dalam pengetahuan saya, setem Singapura memang mahal kerana perbezaan nilai matawang dengan Malaysia. Oleh itu, saya hanya membeli satu (1) set setem Singapura belum digunakan. Setem ini memang saya sudah sasarkan untuk membeli kerana tarikh pengeluarannya amat istimewa bagi saya.


Gambar: Setem Bandar Dalam Taman


Namun, ada jangkaan saya mengenai inti pati pameran ini meleset. Saya kecewa apabila pejabat pos Thailand tidak ada membuka meja untuk menjual setem. Saya telah bertanya petugas pejabat Pos Malaysia sama ada pihak pejabat pos Thailand ada atau tiada menjual setem. Kemudian, petugas itu bertanya dengan memanggil seorang lelaki Thailand. Keputusannya tiada. Namun, saya yakin lebih kurang 60%, meja yang memberikan buku secara percuma tadi ada kaitan dengan pejabat pos Thailand.

Setem dan Sampul Surat Hari Pertama Tri-Nation 2013 telah saya beli semalam di pejabat pos lain. Oleh itu, tugas saya agak mudah. Hanya untuk mengecap Sampul Surat Hari Pertama. Namun, meja untuk mengecap di kelilingi orang. Saya boleh menyelit untuk mengecap tetapi rasa tidak selesa. Saya ambil keputusan untuk tangguh dahulu dan pergi ke ruang lain bagi membeli setem lama yang dijual oleh pejabat pos Malaysia. Hendak dikatakan setem lama, tidaklah lama sangat. Kali ini saya banyak membeli Lembaran Mini.

Saya amat gembira untuk kunjungan pameran ini kerana dapat membeli Lembaran Mini Malaysia belum digunakan seperti berikut:

1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 (Cetakan Semula)
    Lembaran mini ini memang saya idamkan. Suka tengok peta Australia dan ada pula kanggaru.

                                   Gambar: Menerangi Perairan Malaysia dan Australia

2. Hobi Kanak-kanak (Cetakan Semula)
   Lembaran mini ini ada dikeluarkan semasa Minggu Setem 2012 di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Saya kunjungi pameran tersebut tetapi tidak membelinya disebabkan tidak perasan. Selepas beberapa hari, barulah perasan ada perbezaan antara lembaran mini biasa dengan lembaran mini yang ada tertera lambang “Minggu Setem 2012”. Geram. Saya fikirkan lembaran mini yang saya telah beli awal di pejabat pos sama seperti dijual di pameran tersebut. 


                                   Gambar: Hobi Menyeronokkan

3. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV (Cetakan Semula)
  Saya tidak ketahui lembaran ini ada dikeluarkan. Nasib baik saya kunjungi pameran dan jualan setem ini. 


                            Gambar: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Saya turut gembira dapat membeli Jubli Intan Ratu Elizebeth II (Cetakan Semula), lembaran mini Malaysia belum digunakan. Saya membelinya bukan dengan pihak pejabat pos Malaysia. Oleh itu, harganya tidak mengikut harga yang tertera pada lembaran mini tersebut. Kecewa sedikit. Semasa membeli, saya terdengar maklumat mengenai pihak pejabat pos Malaysia belum lagi menjualnya. Adakah benar? Saya tidak pasti.

Saya rasakan terdapat kelainan dalam pameran dan jualan setem ini dengan dikejutkan pengumuman kehadiran pereka setem Tri-Nation ini. Apalagi, saya pun menjadi orang pertama beratur untuk mendapatkan tandatangan pereka tersebut. Kebetulan tempat saya berdiri berhampiran dengan meja untuk dapatkan tandatangan. Rupanya pereka setem tersebut merupakan seorang wanita Melayu.


                       Gambar: Tandatangan Eksklusif Pada Sampul Surat Hari Pertama

Saya turut membeli beberapa keping Sampul Surat Hari Pertama bagi negara Australia dan New Zealand daripada peniaga setem di situ. Seronok. Dapat diskaun.

Saya tertanya-tanya di manakah pameran setem? Rupa-rupanya di dewan sebelah. Terlindung. Pintu masuk dewan itu kecil sahaja. Nasib baiklah saya rajinkan kaki dan punggung saya untuk menjengah pintu dewan pameran tersebut.


                                               Gambar: Dewan Pameran Setem

Sebelum melangkah keluar dari kedua-dua dewan tersebut, saya sempat beraksi di depan kamera sebagai imbasan memori kelak.

                            Gambar: Menikmati Keindahan Setem di Dewan Jualan Setem

Friday, July 19, 2013

Hadiah Hari Lahir

                                      Gambar: Keluaran Bersama Singapura dan Mesir

Pada 12.7.2013, hari Jumaat saya telah menerima kejutan daripada  seorang pegawai di pejabat saya apabila beliau menghadiahkan sebuah buku dan Lembaran Mini Singapura yang belum digunakan sempena ulang tahun kelahiran saya pada bulan Julai ini. Terima kasih diucapkan. Saya memang teringin memiliki Lembaran Mini tersebut. Pernah berhasrat jika pergi ke Singapura akan membelinya. Syukur, angan-angan tercapai.  

Monday, July 11, 2011

Pejabat Pos Besar Singapura






Pada 3.7.2011, kali pertama saya menjejaki Pejabat Pos Besar Singapura di Jalan Eunos 6. Pada mulanya saya berhenti di stesen MRT Eunos. Namun, bila bertanya dengan peniaga-peniaga di MRT Eunos, mereka menyatakan untuk pergi ke pejabat pos tersebut perlu berhenti di stesen MRT Paya Lebar. Saya dan kawan saya terpaksalah berpatah balik naik MRT. Jika hendak berjalan kaki agak jauh sedikit dan pasti akan penat.

Sudah lebih 2 tahun saya idamkan untuk pergi ke pejabat pos tersebut. Akhirnya tercapai. Saya membeli beberapa keping setem dan 3 set lengkap setem. Satu daripada 3 set lengkap tersebut saya beri kepada ibu saya sebagai cenderamata.

Sunday, August 29, 2010

Menang Hadiah Setem Singapura


Saya sungguh gembira! Pada 28 Ogos 2010, saya telah menerima surat berdaftar dari Singapura. Dalam sampul surat tersebut mengandungi 2 lembaran setem Singapura dan 1 unit folder mini. Kesemuanya itu merupakan hadiah untuk saya! Saya telah menang peraduan.