Monday, November 25, 2013

Mencari Pejabat Pos Hong Kong dan Shenzhen, China

Pada 24.10.2013 hingga 28.10.2013, saya telah pergi melancong ke Hong Kong dan Shenzhen, China. Seperti kebiasaan, jika hendak keluar negara, pasti saya akan lakukan kajian sedikit untuk mengetahui di manakah kedudukan pejabat pos paling hampir dengan hotel saya menginap. Saya menyemak juga mana-mana kawasan pelancongan akan dikunjungi yang berhampiran dengan pejabat pos. Selain daripada itu, saya juga menghantar e-mel kepada kenalan baru di Hong Kong dan Shenzhen untuk mengetahui maklumat mengenai pejabat pos dan kadar bayaran pengeposan.

Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, mata saya puas mencari di manakah pejabat pos. Tiada nampak. Bila sampai di kawasan berhampiran Ladies Market, saya bertanya kepada pemandu pelancong dan beliau memaklumkan terdapat perkhidmatan pos disediakan di kaunter hotel. Saya pun akur katanya memandangkan saya belum lagi daftar masuk hotel tersebut. Namun, mata saya masih mencari-cari pejabat pos di kawasan Ladies Market. Tiada jumpa.

Apabila tiba di Harbour Plaza Resort City (Tower 2), Tin Shui Wai, Hong Kong saya pun meneliti risalah-risalah dan peta-peta yang saya ambil di lapangan terbang dan di kaunter hotel/ resort ini tadi. Sukar juga mencari pejabat pos berhampiran hotel ini. Akhirnya saya dapat mengesan. Mengikut peta, terdapat pejabat pos tidak jauh dari tempat saya menginap ini. Bilakah masa yang sesuai untuk berjalan kaki ke pejabat pos itu? Itulah persoalan saya.

Pada hari kedua sebelum bertolak ke Disneyland, Hong Kong, saya bertanya kepada petugas kaunter hotel. Harbour Plaza Resort City (Tower 2) tiada menjual setem. Petugas tersebut memaklumkan setem hanya dijual di Harbour Plaza Resort City (Tower 1) walau bagaimanapun beliau boleh tolong poskan surat dengan membayar harga setem sahaja. Saya gembira. Saya pun serahkan sepucuk surat untuk dihantar ke Malaysia dan bayaran HKD3.70 (lebih kurang RM1.60). Terima kasih kepada pihak hotel!

                             Gambar: Setem Dibeli di Harbour Plaza Resort City (Tower 1)

Ketika di Disneyland, saya tiada juga terpandang pejabat pos. Hampa. Tetapi saya sudah jangka di situ memang tiada pejabat pos. Saya berada di Disneyland lebih kurang sampai pukul 10.00 malam. Oleh itu, jangan haraplah untuk bercita-cita pergi ke pejabat pos yang berhampiran dengan hotel saya menginap itu.

Pada hari ketiga, saya bertekad perlu membeli setem di Tower 1 memandangkan pada pukul 9.00 pagi akan daftar keluar dari Tower 2. Adakah ada kedai cenderamata atau setem hanya dijual di kaunter hotel? Itulah yang asyik berlegar atau berbayang di fikiran saya selagi tidak melihat sendiri tempat menjual setem itu. Tower 1 terletak bersebelahan dengan Tower 2 yang jaraknya lebih kurang 100 meter.

Angin sejuk nyaman menyentuh diri ini semasa berjalan kaki menuju ke Tower 2. Rasa segan bertanya ada apabila tiba di Tower 2. Rupa-rupanya setem hanya dijual di kaunter hotel. Nasib baik petugas hotel itu baik orangnya dan melayan kerenah saya untuk membeli setem. Ada kejutan. Dapat poskad percuma! Apalagi, saya pun minta petugas hotel itu poskan surat dan poskad ke Malaysia.

Selagi tidak dapat melihat pejabat pos Hong Kong, selagi itulah rasa tidak puas walau pun setem telah ada dibeli. Sepanjang perjalanan di bandar Hong Kong, masih tidak nampak pejabat pos. Selepas mengunjungi Avenue of Star, rombongan saya menunju ke Peak menaiki kereta api macam di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Peak mempunyai kedai menjual berbagai-bagai jenis barangan terutama cenderamata. Sekiranya membeli HKD100.00 akan menerima dua (2) keping poskad percuma mengenai Peak di kaunter informasi. Saya ingatkan disediakan setem bersama poskad. Rupanya setem ada dijual di pejabat pos di situ! Di mana? Rupa-rupanya saya tidak perasan, pejabat pos itu betul-betul di hadapan muzium lilin Madame Tussauds,  yang saya asyik bergambar tadi. Saya tidak perasan sebab pejabat pos itu terletak terceruk dan lot kedai penghabisan di level tersebut. Saya mengambil masa lebih kurang 10 minit di situ. Saya pos sekeping poskad ke Malaysia dengan setem berharga HKD2.90 (lebih kurang RM1.20).


                                            Gambar: Pejabat Pos Peak, Hong Kong

                                 Gambar: Setem Dibeli di Pejabat Pos Peak, Hong Kong


Saya sungguh gembira dan puas, akhirnya dapat juga mengunjungi pejabat pos di Hong Kong. Matlamat saya kini cuma untuk kunjungi pejabat pos di Shenzhen, China pula. Tetapi kalau dapat kunjungi pejabat pos di Airport International Hong Kong semasa balik kelak merupakan bonus bagi saya.   

Saya tiba di Shenzhen pada petang itu juga setelah bersesak dengan ramai orang di terminal bas imigresen Hong Kong - Shenzhen, China. Saya dimaklumkan pada petang hari Sabtu sememangnya akan ramai orang di imigresen tersebut. Apabila keluar dari bangunan imigresen sudah waktu malam. Oleh itu, janganlah harap untuk singgah di pejabat pos. Namun, saya jeling-jeling juga tadi, manalah tahu nampak pejabat pos di imigresen.

Pada hari keempat, saya memaklumkan kepada pemandu pelancong Shenzhen sekiranya berhenti di mana-mana kawasan berhampiran pejabat pos, diminta beritahu saya tetapi tiada berhasil. Apabila tiba di kawasan terkenal Window of the World saya bertanya lagi kepada beliau. Beliau hendak membantu saya meunjukkan arah pejabat pos tetapi teringat pula pada hari itu merupakan hari Ahad. Pejabat pos tutup! Hancur berkecai harapan saya. Akhirnya, tiada jumpa langsung bangunan pejabat pos di Shenzhen.

Pada hari terakhir, apabila tiba di Terminal 1, Airport International Hong Kong saya terus bertanya kepada kaunter informasi arah pejabat pos. Selesai daftar masuk bagasi, saya teruskan 'operasi' saya mencari pejabat pos. Nasib baik bertanya tadi, kalau tidak tentu payah mencari sebab tersorok sedikit walaupun kedudukannya di tengah-tengah Terminal 1 itu.

                           Gambar: Pejabat Pos Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong


Terminal 1, Airport International Hong Kong ada menyediakan tempat solat. Oleh itu, selepas solat, saya sambung pergi membeli sedikit setem lagi di pejabat pos itu. Lagipun, duit Hong Kong masih ada lagi dalam kocek. 

                       Gambar: Setem Dibeli di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong

Sunday, November 24, 2013

Pelawat Pertama Negara Algeria


                                                     Gambar: Setem Algeria

Pada 11 Oktober 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Algeria. Terima kasih. Saya masih teringat, pada tahun 2006 saya telah menerima surat dari kenalan pertama Algeria. Kami telah berutus surat lebih kurang sebanyak 2 kali. Selepas itu, saya cuba hubungi beliau lagi tetapi tiada maklum balas. Diharap beliau ada membaca blog ini.