Thursday, September 29, 2016

Tapak Pertahanan


 Gambar: Setem dan Lembaran Mini Tapak Pertahanan

Saya gemarkan tema setem Tapak Pertahanan ini. Jarang ada tema sebegitu. Setem tersebut dikeluarkan pada 15 September 2016 dalam 4 bentuk iaitu 60 sen (dua bentuk) dan 80 sen (dua bentuk). Manakala Lembaran Mini dikeluarkan dalam satu bentuk bernilai RM3.00 .
Keluaran kali ini mengingatkan saya mata pelajaran Sejarah ketika belajar di bangku sekolah. Bagus untuk mengimbau kembali para pejuang negara dan meningkat semangat nasionalisme terutama di kalangan generasi muda.
_________________________________________________

Monday, September 26, 2016

Tujuh Keajaiban Flora dan Fauna

Gambar: Helaian Setem Berpelekat

Saya agak teruja melihat promosi setem bertemakan Tujuh Keajaiban Flora dan Fauna di internet sebelum membeli keluaran tersebut. Warna-warni dan kreatif. Apa yang unik? Setiap setem ada QR Code.

Setem kali ini dikeluarkan pada 23 Ogos 2016. Namun, setelah membeli setem tersebut, rasa teruja saya berkurangan. Kenapa? Warna pada helaian setem kurang menyerlah. Ilustrasi imej gabungan flora dan fauna yang dipaparkan sedikit serabut. Helaian setem yang dikeluarkan dalam bentuk pelekat.

Saya sememangnya kurang gemar setem berpelekat. Saya rasakan nilai atau standard setem seolah-olah jatuh apabila dalam bentuk pelekat. Walau bagaimanapun, semasa saya melekatkan setem-setem itu pada Sampul Surat Hari Pertama, menjadi seronok pula disebabkan mudah ditampal dan tidak perlu mencari air atau gam lagi. Disamping itu, jika tersalah lekat dan belum dilekatkan sepenuhnya pada Sampul Surat Hari Pertama, setem tersebut mudah ditarik dan ditampal semula. Walau apapun, minat saya terhadap setem bergam masih mengatasi setem berpelekat.    



Gambar: Lembaran Mini Tebukan


Gambar: Lembaran Mini Tanpa Tebukan
Manakala, Lembaran Mini yang dikeluarkan dalam dua bentuk iaitu Lembaran Mini Tebukan dan Tanpa Tebukan. Lembaran Mini ini sememangnya saya amat gemar disebabkan kreatif berbentuk tapak kaki panda, imej yang menarik dan nilainya yang mampu dibeli. Saya tidak gemar jika harga Lembaran Mini RM4.00 dan ke atas.
Apakah yang ajaibnya tujuh flora atau fauna yang dipaparkan? Saya tertanya-tanya. Merujuk risalah yang dilampirkan dalam Sampul Surat Hari Pertama, setem keluaran kali ini dipersembahkan melalui spesis-spesis yang dipilih khas merangkumi tujuh kelas flora dan fauna di Malaysia iaitu mamalia, reptilia, ambifia, burung, ikan, serangga dan tumbuh-tumbuhan. Hanya Tuhan yang tahu.
_________________________________________________