Monday, December 29, 2014

Sampul Kenangan Melaka & Jogja

Alhamdulillah.....akhirnya berjaya memiliki Sampul Kenangan Melaka & Jogja - City of Museums setelah berusaha dan menanti lebih kurang 6 bulan. Bukan mudah untuk memilikinya dengan lengkap. Saya telah ke Melaka sebanyak 2 kali pada minggu cuti Hari Raya Aidilfitri dan beberapa minggu selepas itu. Kemudian, pergi ke Kuala Lumpur sebanyak 3 kali pada akhir bulan Oktober, awal bulan Disember dan akhir bulan Disember 2014. Pada kali ke-5 baru berjaya! Saya bukan sahaja mendapat sampul yang bercap Melaka tetapi juga bercap Jogjakarta!

                                            Gambar: Sampul Kenangan Bercap Kembar  
______________________________________________________________________

Monday, December 22, 2014

Pameran Setem Remaja Dunia 2014

Beberapa hari sebelum bermula Pameran Setem Remaja Dunia 2014 yang berlangsung selama 6 hari bermula 1 disember 2014 hingga 6 Disember 2014 yang diadakan di Dewan 1 dan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia, fikiran saya sudah mula terganggu sedikit. Perancangan demi perancangan dibuat seperti dari segi tempat letak kereta, pengangkutan, penginapan, makan minum dan penjagaan solat. Ramalan cuaca pun dilihat juga.

Akhirnya pada 5 Disember 2014, hari Jumaat saya telah memandu kereta menuju ke Kuala Lumpur. Saya tiba di Pusat Konvensyen lebih kurang jam 9.35 pagi. Tidak seperti dijangkakan, saya mudah mencari tempat letak kereta Pusat Konvensyen tersebut. Namun, tersesat sedikit dalam bangunan Pusat Konvensyen tersebut yang luas memanjang ketika mencari level Pameran Setem tersebut.
                         Gambar: Pandangan Jauh Level Pameran Setem
 
Lebih kurang jam 9.53 pagi, saya sudah sampai di luar pintu Pameran Setem. Pameran Setem dibuka jam 10.00 pagi. Sementara menunggu pintu Pameran Setem dibuka kepada orang ramai, saya mengambil kesempatan itu mengambil gambar suasana di kawasan pendaftaran.
                                               Gambar: Pintu Masuk Imbas Gelang Kertas
 
Sebenarnya, saya telah pun mendaftar awal di rumah menerusi laman web untuk menghadiri Pameran Setem tersebut. Hanya tunjukkan salinan cetakan kertas yang mengandungi nama saya dan Kod QR kepada petugas kaunter pendaftaran. Imbasan pada kertas tersebut dibuat dan diberikan gelang kertas. Lebih kurang jam 10.02 pagi, saya melangkah masuk pintu Pameran Setem setelah diimbas gelang kertas saya itu pula. Saya diberikan sebuah paspot filateli dan sekeping iklan Pameran Setem tersebut.

                  Gambar: Gelang Kertas Merupakan Sebahagian Kenangan
Pameran Setem ini juga dikenali sebagai Malaysia 2014, World Youth Stamp Exhibition & 29th Asian International Stamp Exhibition. Tidak begitu ramai pengunjung berada dalam Pameran Setem tersebut tetapi saya suka keadaan seperti ini. Bolehlah saya menakluk dewan Pameran Setem ini. Mudah pergerakkan saya untuk pergi antara sebuah gerai ke sebuah gerai lain.
Sasaran utama saya untuk pergi ke gerai Arab Saudi. Alamak! Tiada petugas di sana. Namun, saya sempat mengambil gambar di hadapan gerai tersebut. Selepas itu, saya pergi ke gerai lain.
Gerai Kuwait merupakan tempat pertama saya membeli-belah setem. Terpikat dengan setemnya yang bersalut warna emas dan perak. Di gerai ini sahaja saya telah membelanjakan lebih kurang sebanyak RM54.00 .
                            Gambar: Di Sini Letaknya Gerai Kuwait dan Negara Arab Lain
 
Ada dua atau tiga kali saya menjengah gerai Arab Saudi tetapi masih belum ada petugasnya. Lebih kurang jam 11.00 pagi barulah muncul petugas tersebut. Baru beberapa saat petugas itu duduk di atas lantai beralaskan permaidani dan bersandar di dinding untuk menghilangkan penat berjalan, saya telah berdiri di depan meja jualan setemnya. Petugas itu lantas bangun apabila ternampak saya. Apalagi, saya pun memilih dan membeli setem-setem yang saya sangat idam-idamkan. Ada juga setem yang telah ada dalam koleksi saya. Harganya mahal sedikit. Mahal lebih kurang RM1.00 atau RM2.00 berbanding jika membeli terus di Saudi Post.
Masih belum puas mengunjungi gerai-gerai di Pameran Setem ini walaupun telah membeli setem di gerai Kuwait, Indonesia, Lithuana, Azerbaijan, Iran, Mexico, Arab Saudi, UAE, Oman, Bahrain dan Qatar. Lebih kurang jam 11.25 pagi, saya mula berwaspada dari segi masa disebabkan saya perlu daftar masuk Hotel Corus berhadapan Menara Berkembar Petronas, KLCC. Saya juga bercadang untuk solat Jumaat di Masjid KLCC.

                            Gambar: Setem Jualan Gerai Qatar Paling Cantik
Lebih kurang jam 11.50 pagi, saya pun keluar dari dewan pameran dan mencari pula di manakah lif untuk menuju ke kereta disebabkan perlu menggunakan lif lain selain daripada lif yang saya guna semasa tiba tadi. Cemas juga mencari di manakah kereta memandangkan saya mengejar masa. Bayaran letak kereta untuk masa lebih kurang 2 ½ jam sebanyak RM10.00 berdasarkan 1 jam pertama RM4.00 dan 1 jam atau sebahagian jam berikutnya RM3.00.
Cabaran seterusnya mencari jalan keluar untuk ke hotel. Saya tersilap mengambil jalan tetapi ada hikmahnya disebabkan ternampak Masjid KLCC. Kemungkinan lebih kurang 10 tahun saya tidak lalu di hadapan masjid ini.
Untuk daftar masuk hotel, saya perlu membayar RM370.20 untuk tidur semalaman tetapi diminta membayar RM400.00 dan bakinya akan dikembalikan semasa saya daftar keluar hotel. Gara-gara Pameran Setem ini, saya telah menempah hotel lebih kurang satu minggu lebih awal. Saya hanya berjalan kaki dari hotel untuk menuju ke Masjid KLCC. Perlu berhati-hati ketika melintas Jalan Ampang yang sibuk itu.
Selepas selesai Sembahyang Jumaat, saya kembali semula ke bilik hotel. Membelek sekejap setem yang telah dibeli pagi tadi. Kemudian menikmati ‘Welcome Drink’ hotel sebelum berjalan kaki meneruskan perjalan ke Pameran Setem semula.
Nasib baik saya rajinkan mulut untuk bertanya di kaunter pertanyaan KLCC di manakah laluan untuk ke Pusat Konvensyen. Lebih senang jika melalui Ground Floor dan apabila tiba di bulatan tengah dalam bangunan KLCC, perlu belok ke kiri dan menuju ke terowong yang kedudukannya berhampiran Maybank. Huh! Lebih kurang 20 minit menapak tanpa henti.
Apabila tiba di kaunter Pameran Setem lebih kurang jam 4.00 petang, kod QR yang baru diimbas dan diberikan paspot filateli sekali lagi. Saya aturkan aktiviti sebelah petang ini dengan mengunjungi gerai yang saya belum sempat kunjungi pada pagi tadi dan berhasrat untuk memenuhkan paspot filateli saya dengan setem dan cap.
Gerai yang masih saya belum sempat kunjungi pagi tadi seperti gerai Taiwan, Bangladesh dan Singapura. Namun, di gerai Singapura saya tidak membeli setemnya. Mungkin disebabkan tiada setem yang menarik perhatian saya. Mungkin juga setem Singapura mudah dapati disebabkan lebih kurang purata 2 kali dalam setahun saya akan ke Singapura.

                                        Gambar: Paparan Koleksi Setem
Saya sempat mengambil gambar hampir semua gerai yang berada dalam dewan tersebut. Lebih kurang jam 6.20 petang, saya pun meninggalkan dewan pameran tersebut setelah mula merasa letih tetapi puas dengan apa yang telah dilakukan. Ketika itu, tidak ramai orang yang mengunjungi Pameran Setem ini. Suasana kelihatan agak muram memandangkan waktu malam bakal menjelma. Pameran Setem tutup pada hari itu jam 10.00 malam.
                                     Gambar: Pengacara Bijak Mengelola Acara Permainan


Pada 6 Disember 2014, selepas selesai bersarapan pagi dan daftar keluar di hotel, saya teruskan misi dengan berjalan kaki untuk mengunjungi Pameran Setem lagi! Kereta masih dibenarkan diletakkan di hotel. Saya sampai lebih kurang jam 10.05 pagi. Pengunjung tidak ramai seperti disangkakan. Saya aturkan aktiviti pada hari terakhir Pameran Setem ini untuk mengecap Sampul Surat Hari Pertama, mengecap paspot filateli, mendapatkan sampul surat cenderahati, membeli lebih banyak setem Malaysia, mengambil gambar lagi dan membeli setem negara lain jika ada yang menarik minat saya.
Aktiviti pertama saya dengan menulis poskad dan dialamatkan kepada diri sendiri! Setem 50 sen diberikan percuma. Sungguh seronok. Kemudian, saya mengecap Sampul Surat Hari Pertama dari cap hari pertama hingga hari keenam Pameran Setem ini berlangsung. Walaupun meja panjang mengecap tidak begitu ramai orang, tetapi menunggu giliran mendapatkan cap memerlukan kesabaran disebabkan ada pengunjung membawa banyak barangan filateli untuk dicap. Makin lama, makin ramai orang berpusu-pusu ke meja tersebut.
Misi saya untuk mendapatkan sampul surat cenderahati yang diinginkan hampir semuanya berjaya kecuali tiada mendapat dari gerai Taiwan. Paling seronok mendapat sampul surat cenderahati dari gerai Arab Saudi yang bakinya tinggal hanya satu dan diberikan percuma! Adakah sesiapa berhasrat untuk membeli sampul surat tersebut dengan harga RM500.00? Maaf, saya tidak akan menjualnya.
Nasib baik saya sudah datang ke Pameran Setem ini semalam disebabkan pada hari terakhir ini, gerai Iran sudah tiada berniaga lagi. Lebih kurang jam 11.00 pagi, pengunjung sudah mula ramai berbanding semalam. Untuk membeli setem Malaysia terkini, perlu beratur panjang! Nasib baik saya sudah membeli semalam di kaunter tersebut. Ada juga rombongan sekolah. Mereka mendapat beg cenderahati. Cemburu sedikit. Tidak mengapa. Apa yang saya sudah dapat sepanjang Pameran Setem ini, sudah amat bersyukur.

               Gambar: Suasana Beratur Panjang Membeli Setem Malaysia
Saya meninggalkan Pameran Setem ini lebih kurang jam 1.30 petang dan kembali semula ke hotel bersembahyang Zuhur di bilik sembahyang. Kereta dipandu menyusuri keluar dari hotel lebih kurang jam 3.30 petang dengan penuh kenangan manis. Apa tidaknya, beg-beg plastik dipenuhi dengan setem dari pelbagai negara.

                                 Gambar: Gerai Arab Saudi Pilihan Menambah Koleksi Setem

 

Monday, November 10, 2014

Pelawat Pertama Korea Selatan

                                       Gambar: Bermulanya Koleksi Setem Korea Selatan

Pada 9 Oktober 2014, blog saya telah dilayari oleh pengunjung dari Korea Selatan. Setem yang dipaparkan di atas dikeluarkan pada tahun 30 September 1974. Kualiti setem tersebut mungkin bagi sesetengah pengumpul setem tidak akan mengumpulnya kerana mempunyai bekas garisan lipatan. Namun, saya tetap menyimpannya kerana setem tersebut mempunyai sejarahnya tersendiri. Setem tersebut merupakan setem Korea Selatan yang pertama saya miliki!
___________________________________________________________________

Thursday, November 6, 2014

Setem Kupu-kupu Dari Amerika Syarikat

                                            Gambar: Bagaikan Kupu-kupu Lekat Poskad
 
Pada 25 Mei 2014, saya telah menerima sekeping poskad daripada kenalan baru dari Amerika Syarikat. Setem kupu-kupu ini dikeluarkan pada 23 Januari 2013. Setem ini amat menarik perhatian saya.  Warna putih latar belakang setem tersebut amat sesuai dengan imej warna kupu-kupu. Saya kategorikan setem tersebut sebagai setem bersaiz besar.  
 
____________________________________________________________________

Monday, October 20, 2014

Pelawat Pertama Bangladesh

                                 Gambar: Setem bertemakan seni bina dan undang-undang

Pada 29 September 2014, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Bangladesh. Setakat ini, saya tidak mempunyai banyak setem dari negara tersebut. Hanya ada 4 keping setem sahaja dalam album koleksi. Saya berharap semakin bertambah setem dari negara tersebut. Saya paparkan antara setem Bangladesh yang saya miliki.
__________________________________________________________________________

Thursday, October 9, 2014

Earth Hour Belgium Mengimbaskan Memori

                                                      Gambar: Setem Pelbagai Tema

Mungkin ada yang perasan saya banyak mempamerkan setem yang saya terima pada 22 Mei 2014. Ya! Betul. Pada tarikh tersebut peti surat berisi berbanding hari kebiasaan.

Pada tarikh yang sama, saya juga telah menerima sepucuk surat dari Belgium yang mengandungi sekeping poskad dan 6 keping setem seperti setem Belgium, Netherlands dan Cuba. Maaf kepada pengumpul poskad disebabkan saya tidak pamerkan imej poskad. Blog ini lebih fokuskan kepada setem.
 
Setem pada sampul surat ini mengenai Earth Hour amat menarik perhatian saya. Saya masih ingat lagi semasa hari kempen Earth Hour dijalankan, saya tidak akan lepaskan peluang untuk bersama-sama memadamkan lampu di rumah saya. Rumah saya hanya akan diterangi oleh cahaya dari televisyen. Itupun disebabkan ingin mengikuti program Earth Hour di televisyen.
 
Manakala setem yang disertakan dalam sampul surat tersebut yang saya minati merupakan setem Belgium bertemakan kupu-kupu. Kalau saya dapat setem Belgium bertemakan komik kanak-kanak, Tintin pun saya suka.
___________________________________________________________________________

Thursday, September 25, 2014

Pelawat Pertama Lithuania

Pada tanggal 31 Ogos 2014, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari Lithuania. Huhh! Saya masih masih belum ada setem dari negara tersebut. Saya baru perasan setelah menyemak dalam album koleksi.
_____________________________________________________________________________

Thursday, September 11, 2014

Ilustrasi Setem Finland

                                             Gambar: Setem Finland Bagaikan Bersuara

Pada 22 Mei 2014, saya menerima sekeping poskad daripada kenalan baru dari negara Finland. Pada pendapat saya, setem Finland ada mempunyai tarikan tersendiri. Berdasarkan koleksi setem Finland yang saya miliki, setem-setem negara ini kebanyakannya berbentuk ilustrasi atau digambarkan dalam bentuk kartun yang apabila dipandang menyeronokan.
_______________________________________________________________________________

Thursday, August 28, 2014

Setem Jerman Menerokai Angkasa Lepas


                                                         Gambar: Gabungan dua tema
 
Pada 22 Mei 2014, saya telah menerima sekeping poskad dari Jerman yang memaparkan 2 tema setem iaitu penerokaan angkasa lepas dan flora. Setem penerokaan angkasa lepas menarik perhatian saya. Saya belum pernah melihat setem ini walaupun telah dikeluarkan pada tahun 2004.
_____________________________________________________________________________

Thursday, August 7, 2014

Setem Rumah Api Jerman Menarik

                                            Gambar: Pengiriman Daripada Kenalan Baru

Pada 22 Mei 2014, saya telah menerima sepucuk surat yang mengandungi  1 keping poskad dan 5 keping setem sudah digunakan dari Jerman. Sungguh cantik setem-setem yang ditampal pada sampul surat terutama imej rumah api. Saya memang suka setem bertemakan rumah api.
 
_____________________________________________________________________________

Saturday, July 26, 2014

Setem Hati Netherlands

                                              Gambar: Setem Netherlands Hati Tersirat

Pada 21 Mei 2014, saya telah menerima sekeping poskad dari Netherlands. Poskad tersebut ditampal dengan sekeping setem yang memaparkan peta dunia dalam bentuk hati. Sungguh istimewa. Mempunyai makna tersirat.
________________________________________________________________________________

Tuesday, July 1, 2014

Definitif Hong Kong Ukirkan Senyuman

 
                                               Gambar: Setem Definitif Hong Kong

Inilah setem Hong Kong yang mengukirkan senyuman untuk diri saya. Semasa percutian di Hong Kong yang lalu, saya sengaja tidak membelinya. Tebukan yang mengelilingi angka nilai setem tersebut menjadikannya unik. Setem ini yang diterima daripada kenalan baru dari Amerika Selatan telah menceriakan saya.
________________________________________________________________________________ 

Monday, June 30, 2014

Setem Angola Pertama Dimiliki

 
                                              Gambar: Setem Angola Tahun 1987

Saya tiada mempunyai kenalan dari negara Angola. Namun, setem-setem yang dipamerkan di atas diterima daripada kenalan saya dari negara lain. Oleh itu, kedua-dua setem tersebut merupakan setem Angola yang pertama saya miliki.
________________________________________________________________________________

Thursday, June 12, 2014

Pelawat Pertama Switzerland

Kalau sebut Switzerland, saya pasti akan terbayangkan pemandangan gunung yang permukaan atasnya diliputi salji dan jam tangan keluaran negara berkenaan. Namun, dari segi setem pula, saya kadang-kala terlupa nama negara itu yang terpapar pada setem.      

                                       Gambar: Setem Switzerland Mengikut Trend

Helvetia. Itulah nama yang terpapar pada setem Switzerland. Setakat ini, saya mempunyai sebanyak 39 keping setem Switzerland yang telah digunakan dalam album koleksi. Setem dipaparkan di atas bertemakan trend sukan yang dikeluarkan pada tahun 1998. Setem ini merupakan setem Switzerland yang paling saya gemari dalam koleksi saya sebab temanya unik, ilustrasi cantik dan menarik. Terima kasih kepada pelawat negara Switzerland yang melayari blog saya.
_________________________________________________________________________________

Monday, May 19, 2014

Brazil...Menanti Di Akhirnya Kegembiraan

                                       Gambar: Sebahagian Paparan Setem Diterima

Setelah lebih kurang 2 bulan menanti surat dari Brazil, akhirnya tiba dalam peti surat rumah pada 23 Mac 2014. Baru hati tergerak hendak bertanya kepada pihak pejabat pos sama ada pernah menerima surat tersebut yang gambarnya telah dihantar menerusi mesej laman sosial sebelum diposkan oleh kenalan baru saya. 

Inilah kali pertama saya menerima surat daripada Brazil! Sungguh gembira. Sampul surat ditampal dengan setem-setem yang menarik. Setem-setem telah digunakan dari beberapa buah negara yang disertakan dalam sampul surat tersebut pun menarik. Terima kasih diucapkan.
_________________________________________________________________________________ 

Monday, May 5, 2014

Bagaikan Mimpi Gibraltar

 

                                                  Gambar: Mimpi Menjadi Realiti


Apabila saya menerima setem dan Sampul Surat Hari Pertama percuma dari Gibraltar, saya rasakan bagaikan mimpi menjadi realiti. Baru terasa negara tersebut benar-benar wujud. Inilah kali pertama saya memiliki setem dan Sampul Surat Hari Pertama dari negara Gibraltar. Cantik setemnya. Itulah yang berlaku pada 13.2.2014.
_________________________________________________________________________________

Thursday, April 17, 2014

Penghantaran Ke-4 Kenalan Jerman


                                       Gambar: Setem Jerman Menceriakan Suasana

Pada 21.1.2014, saya telah menerima untuk kali kali ke-4, setem Jerman daripada kenalan saya dari negara tersebut. Ada juga disertakan 12 keping setem Austria yang sama. Seperti kebiasaan, saya sungguh gembira. Terharu pun ada. Sanggup dia mengumpulkan setem untuk saya.
________________________________________________________________________________

Thursday, April 3, 2014

Pelawat Pertama Senegal

Pada 31 Mac 2014, blog saya telah dilawati oleh pelawat dari Senegal. Saya masih belum ada setem negara tersebut. Saya alu-alukan pelawat dari negara tersebut untuk bertukar setem dengan saya.
_________________________________________________________________________________ 

Sunday, March 30, 2014

Setem Singapura Pembuka Tirai 2014


                                      Gambar: Stesyen Kereta Api Singapura


Setem Singapura merupakan setem pembuka tirai bagi tahun 2014 yang diterima daripada kenalan. Saya tertarik mengenai setem ini kerana memaparkan struktur bangunan klasik. Penuh sejarah. Imej digambarkan dalam bentuk hitam putih menambahkan cetusan rasa sejarah stesyen kereta api yang dipaparkan. 
________________________________________________________________________________

Monday, March 24, 2014

Arab Saudi Episod 2

Saya tertanya-tanya sama ada Saudi Post yang saya kunjungi pada tahun 2012 masih ada atau sudah dirobohkan memandangkan banyak bangunan di Mekah telah dirobohkan. Pada petang 5.2.2014 semasa bas rombongan saya menuju ke Hudaibiyah, saya nampak Saudi Post yang pernah saya kunjungi dulu masih ada.  Kelihatan juga pintu utama cermin gelap terbuka menampakkan ada pelanggan sedang berurusan.  Namun, saya masih memikirkan sama ada hendak pergi atau tidak ke pejabat pos tersebut. Hati tidak begitu teruja disebabkan saya pernah mengunjungi pejabat pos tersebut dan kesihatan yang tidak mengizinkan. Lagipun, saya sudah mengetahui di manakah laman web berkaitan setem-setem Arab Saudi.
 
Pada pagi 6.2.2014 setelah selesai menunaikan ibadat sunat, saya masih rasa berat hati untuk pergi ke pejabat pos. Namun, bagi mewarnai kunjungan ke Arab Saudi kali ini, saya dengan langkah kaki perlahan-lahan meneruskan perjalanan meredah jalan sambil menggunakan topeng muka bagi mengelakkan habuk memandangkan jalan yang saya akan lalui terdapat bangunan sedang dalam pembinaan.

Kali ini saya rasakan berjalan kaki terlalu lama. Mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk sampai. Semasa kunjungan pertama dulu, saya rasakan hanya lebih kurang 15 minit sahaja. Saya reda.....faktor kesihatan dan tersalah melalui jambatan jalan raya yang agak tinggi.
  
                                      Gambar: Setem Arab Saudi Penuhi Kenangan

Apabila saya tiba di kaunter pejabat pos, saya mengucap salam dan salam saya itu serta-merta disambut gagah oleh pegawai pejabat pos di situ walaupun ketika itu beliau sedang bercakap dengan orang lain.  Saya memaklumkan saya pengumpul setem. Pegawai tersebut ingin memberikan alamat pejabat pos utama yang ada menjual banyak setem dengan menaiki teksi jika hendak ke situ. Tetapi saya maklumkan, saya akan membeli setakat setem yang ada dijual olehnya. Saya dilayan amat baik. Tanpa diduga sepatutnya jumlah keseluruhan setem tersebut berharga SAR102 tetapi beliau meminta saya hanya membayar SAR100. Syukur. Itulah memang bajet saya untuk membeli setem tidak melebihi SAR100. Saya turut menyerahkan sepucuk surat bersetem SAR4.00 kepada pegawai tersebut untuk dihantar ke Malaysia. Saya berada di pejabat pos tersebut lebih kurang 15 minit.

Penat berjalan tadi masih belum hilang. Oleh itu, saya mengambil keputusan melintas jalan untuk menahan teksi di hadapan sebuah hotel. Lebih kurang 10 minit barulah saya dapat teksi. Namun, sebelum menaiki teksi, saya memaklumkan hendak ke Masjidil Haram dan bertanyakan harga tambang terlebih dahulu. Saya bukanlah fasih berbahasa Arab. Pemandu teksi tersebut menunjukkan isyarat jari tetapi saya tidak faham. Apabila saya tidak jadi mengambil teksi tersebut, dia sempat memanggil saya dengan menunjukkan matawang Arab Saudi, SAR10.00. Oleh itu, saya setuju tambang tersebut dan alhamdulillah selamat sampai di Masjidil Haram. Inilah kali pertama saya menaiki teksi di Arab Saudi.   
_______________________________________________________________________________
        

Friday, February 28, 2014

Carta Setem Malaysia Tahun 2013

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2013?
5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya) 


                                                  Gambar: Setem 50 Tahun Malaysia        
1. 50 Tahun Malaysia 
2. Burung Belatuk
3. Rumah Api di Malaysia Siri 2
4. Terumbu Karang Malaysia
5. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION
 

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                                     Gambar: Setem Belatuk Merah
1. Belatuk Merah – 60 sen
2. 50 Tahun Malaysia – 60 sen
3. African Pygmy Hedgehog – 60 sen
4. Pulau Angsa, Selangor (Rumah Api) – 60 sen
5. Belatuk Kecil Tengkuk Kuning – RM1
6. Pulai Rimau, Pulau Pinang (Rumah Api) – 50 sen
7. Feather Stars – 60 sen
8. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION – RM2
9. Sea Anemone – 60 sen
10. Soft Coral – 60 sen



5 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)


             Gambar: Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) (Cetakan Semula)

1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) (Cetakan Semula) – RM5
2.
Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) – RM5
3. 50 Tahun Malaysia - RM2.40
4. Kucing Liar Terancam di Malaysia (Harimau Malaya) – RM3
5. Burung Belatuk (Belatuk Gajah) – RM5

5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                          Gambar: Rumah Api di Malaysia Siri 2
1.  Rumah Api di Malaysia Siri 2  
2.
Terumbu Karang Malaysia
3.
Burung Belatuk 
4. Keajaiban Hutan-hutan di Malaysia (Musang Tenggalung)
5. Muzium & Artifak

5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)


 
                                                               Gambar: Cap Muzium dan Artifak               
1. Muzium dan Artifak
2.
50 Tahun Malaysia
3.
Keajaiban Hutan-hutan di Malaysia 
4. Rumah Api di Malaysia Siri 2 
5. Burung Belatuk

5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
                                        Gambar: Risalah Rumah Api di Malaysia Siri 2
1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 
2. Terumbu Karang Malaysia
3.
50 Tahun Malaysia 
4. Muzium dan Artifak 
5. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION
_______________________________________________________________

Thursday, February 27, 2014

Pelawat Pertama Romania


                                                Gambar: Bertemakan Pelancongan

Pada 3.1.2014, blog ini telah dilayari pengunjung dari Romania. Terima kasih. Setakat ini, saya tidak memiliki banyak setem Romania. Sebanyak 13 keping setem berada dalam album koleksi saya.
________________________________________________________________________________

Monday, January 27, 2014

Kenangan Manis 2013


  
Gambar: Setem-setem Dibeli di Hong Kong

Terdapat banyak kenangan manis yang ada kaitan antara saya dengan setem sepanjang tahun 2013. Saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti berikut:

1. Mengunjungi Pejabat Pos Peak, Hong Kong pada 26.10.2013.

2. Mengunjungi Pameran Setem TRI-NATION di Kompleks Daya Bumi Kuala Lumpur pada 24.8.2013.

3. Menerima sekeping Lembaran Mini Keluaran Bersama (Joint Issue) Singapura dan Mesir dan sebuah buku berkenaan setem dan mata wang sempena hadiah hari lahir.

4. Menerima surat dan setem atas kertas untuk kali kedua daripada kenalan Jerman pada Januari 2013.

5. Membeli setem di kaunter lobi Harbour Plaza Resort City (Tower 1), Hong Kong pada 25.10.2013.

6. Membeli setem di Terminal 1, Lapangan terbang Antarabangsa Hong Kong pada 28.10.2013.

7. Blog ini diulas oleh wartawan dalam surat khabar Kosmo! bertarikh 7.12.2013.

8. Dapat membeli Lembaran Mini Rumah Api di Malaysia Siri 2 (Cetakan Semula) pada 24.8.2013.

9. Mendapatkan tandatangan pereka setem Pameran Setem TRI-NATION pada 24.8.2013.

10. Menerima sampul surat bersetem yang diposkan oleh pemandu pelancong Cik Lisa, Shenzhen, China.

_________________________________________________________________

Thursday, January 16, 2014

Pelawat Pertama Greece

Nota Senyuman: Selamat Menyambut Tahun 2014 kepada semua pengumpul setem seluruh dunia!


                                            Gambar:  Setem Greece Bersaiz Panjang

Sebelum tahun 2013 menutup tirai, pada 30 Disember 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Greece. Terima kasih. Sebelum ini saya fikir sudah terdapat pelawat dari negara tersebut melayari blog ini. Rupa-rupanya belum lagi. Bertambah tidak sangka, pada hari yang sama terdapat 2 orang pelawat dari Greece!

Saya masih ingat lagi, semasa saya mula serius mengumpul setem pada tahun 2006, setem Greece merupakan antara negara yang paling saya gemarkan. Apatah lagi, saya mendapat kenalan yang sama tarikh lahir dengan saya dan mendapat setem Greece bersaiz panjang.
__________________________________________________________________________________