Monday, December 29, 2014

Sampul Kenangan Melaka & Jogja

Alhamdulillah.....akhirnya berjaya memiliki Sampul Kenangan Melaka & Jogja - City of Museums setelah berusaha dan menanti lebih kurang 6 bulan. Bukan mudah untuk memilikinya dengan lengkap. Saya telah ke Melaka sebanyak 2 kali pada minggu cuti Hari Raya Aidilfitri dan beberapa minggu selepas itu. Kemudian, pergi ke Kuala Lumpur sebanyak 3 kali pada akhir bulan Oktober, awal bulan Disember dan akhir bulan Disember 2014. Pada kali ke-5 baru berjaya! Saya bukan sahaja mendapat sampul yang bercap Melaka tetapi juga bercap Jogjakarta!

                                            Gambar: Sampul Kenangan Bercap Kembar  
______________________________________________________________________

Monday, December 22, 2014

Pameran Setem Remaja Dunia 2014

Beberapa hari sebelum bermula Pameran Setem Remaja Dunia 2014 yang berlangsung selama 6 hari bermula 1 disember 2014 hingga 6 Disember 2014 yang diadakan di Dewan 1 dan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Malaysia, fikiran saya sudah mula terganggu sedikit. Perancangan demi perancangan dibuat seperti dari segi tempat letak kereta, pengangkutan, penginapan, makan minum dan penjagaan solat. Ramalan cuaca pun dilihat juga.

Akhirnya pada 5 Disember 2014, hari Jumaat saya telah memandu kereta menuju ke Kuala Lumpur. Saya tiba di Pusat Konvensyen lebih kurang jam 9.35 pagi. Tidak seperti dijangkakan, saya mudah mencari tempat letak kereta Pusat Konvensyen tersebut. Namun, tersesat sedikit dalam bangunan Pusat Konvensyen tersebut yang luas memanjang ketika mencari level Pameran Setem tersebut.
                         Gambar: Pandangan Jauh Level Pameran Setem
 
Lebih kurang jam 9.53 pagi, saya sudah sampai di luar pintu Pameran Setem. Pameran Setem dibuka jam 10.00 pagi. Sementara menunggu pintu Pameran Setem dibuka kepada orang ramai, saya mengambil kesempatan itu mengambil gambar suasana di kawasan pendaftaran.
                                               Gambar: Pintu Masuk Imbas Gelang Kertas
 
Sebenarnya, saya telah pun mendaftar awal di rumah menerusi laman web untuk menghadiri Pameran Setem tersebut. Hanya tunjukkan salinan cetakan kertas yang mengandungi nama saya dan Kod QR kepada petugas kaunter pendaftaran. Imbasan pada kertas tersebut dibuat dan diberikan gelang kertas. Lebih kurang jam 10.02 pagi, saya melangkah masuk pintu Pameran Setem setelah diimbas gelang kertas saya itu pula. Saya diberikan sebuah paspot filateli dan sekeping iklan Pameran Setem tersebut.

                  Gambar: Gelang Kertas Merupakan Sebahagian Kenangan
Pameran Setem ini juga dikenali sebagai Malaysia 2014, World Youth Stamp Exhibition & 29th Asian International Stamp Exhibition. Tidak begitu ramai pengunjung berada dalam Pameran Setem tersebut tetapi saya suka keadaan seperti ini. Bolehlah saya menakluk dewan Pameran Setem ini. Mudah pergerakkan saya untuk pergi antara sebuah gerai ke sebuah gerai lain.
Sasaran utama saya untuk pergi ke gerai Arab Saudi. Alamak! Tiada petugas di sana. Namun, saya sempat mengambil gambar di hadapan gerai tersebut. Selepas itu, saya pergi ke gerai lain.
Gerai Kuwait merupakan tempat pertama saya membeli-belah setem. Terpikat dengan setemnya yang bersalut warna emas dan perak. Di gerai ini sahaja saya telah membelanjakan lebih kurang sebanyak RM54.00 .
                            Gambar: Di Sini Letaknya Gerai Kuwait dan Negara Arab Lain
 
Ada dua atau tiga kali saya menjengah gerai Arab Saudi tetapi masih belum ada petugasnya. Lebih kurang jam 11.00 pagi barulah muncul petugas tersebut. Baru beberapa saat petugas itu duduk di atas lantai beralaskan permaidani dan bersandar di dinding untuk menghilangkan penat berjalan, saya telah berdiri di depan meja jualan setemnya. Petugas itu lantas bangun apabila ternampak saya. Apalagi, saya pun memilih dan membeli setem-setem yang saya sangat idam-idamkan. Ada juga setem yang telah ada dalam koleksi saya. Harganya mahal sedikit. Mahal lebih kurang RM1.00 atau RM2.00 berbanding jika membeli terus di Saudi Post.
Masih belum puas mengunjungi gerai-gerai di Pameran Setem ini walaupun telah membeli setem di gerai Kuwait, Indonesia, Lithuana, Azerbaijan, Iran, Mexico, Arab Saudi, UAE, Oman, Bahrain dan Qatar. Lebih kurang jam 11.25 pagi, saya mula berwaspada dari segi masa disebabkan saya perlu daftar masuk Hotel Corus berhadapan Menara Berkembar Petronas, KLCC. Saya juga bercadang untuk solat Jumaat di Masjid KLCC.

                            Gambar: Setem Jualan Gerai Qatar Paling Cantik
Lebih kurang jam 11.50 pagi, saya pun keluar dari dewan pameran dan mencari pula di manakah lif untuk menuju ke kereta disebabkan perlu menggunakan lif lain selain daripada lif yang saya guna semasa tiba tadi. Cemas juga mencari di manakah kereta memandangkan saya mengejar masa. Bayaran letak kereta untuk masa lebih kurang 2 ½ jam sebanyak RM10.00 berdasarkan 1 jam pertama RM4.00 dan 1 jam atau sebahagian jam berikutnya RM3.00.
Cabaran seterusnya mencari jalan keluar untuk ke hotel. Saya tersilap mengambil jalan tetapi ada hikmahnya disebabkan ternampak Masjid KLCC. Kemungkinan lebih kurang 10 tahun saya tidak lalu di hadapan masjid ini.
Untuk daftar masuk hotel, saya perlu membayar RM370.20 untuk tidur semalaman tetapi diminta membayar RM400.00 dan bakinya akan dikembalikan semasa saya daftar keluar hotel. Gara-gara Pameran Setem ini, saya telah menempah hotel lebih kurang satu minggu lebih awal. Saya hanya berjalan kaki dari hotel untuk menuju ke Masjid KLCC. Perlu berhati-hati ketika melintas Jalan Ampang yang sibuk itu.
Selepas selesai Sembahyang Jumaat, saya kembali semula ke bilik hotel. Membelek sekejap setem yang telah dibeli pagi tadi. Kemudian menikmati ‘Welcome Drink’ hotel sebelum berjalan kaki meneruskan perjalan ke Pameran Setem semula.
Nasib baik saya rajinkan mulut untuk bertanya di kaunter pertanyaan KLCC di manakah laluan untuk ke Pusat Konvensyen. Lebih senang jika melalui Ground Floor dan apabila tiba di bulatan tengah dalam bangunan KLCC, perlu belok ke kiri dan menuju ke terowong yang kedudukannya berhampiran Maybank. Huh! Lebih kurang 20 minit menapak tanpa henti.
Apabila tiba di kaunter Pameran Setem lebih kurang jam 4.00 petang, kod QR yang baru diimbas dan diberikan paspot filateli sekali lagi. Saya aturkan aktiviti sebelah petang ini dengan mengunjungi gerai yang saya belum sempat kunjungi pada pagi tadi dan berhasrat untuk memenuhkan paspot filateli saya dengan setem dan cap.
Gerai yang masih saya belum sempat kunjungi pagi tadi seperti gerai Taiwan, Bangladesh dan Singapura. Namun, di gerai Singapura saya tidak membeli setemnya. Mungkin disebabkan tiada setem yang menarik perhatian saya. Mungkin juga setem Singapura mudah dapati disebabkan lebih kurang purata 2 kali dalam setahun saya akan ke Singapura.

                                        Gambar: Paparan Koleksi Setem
Saya sempat mengambil gambar hampir semua gerai yang berada dalam dewan tersebut. Lebih kurang jam 6.20 petang, saya pun meninggalkan dewan pameran tersebut setelah mula merasa letih tetapi puas dengan apa yang telah dilakukan. Ketika itu, tidak ramai orang yang mengunjungi Pameran Setem ini. Suasana kelihatan agak muram memandangkan waktu malam bakal menjelma. Pameran Setem tutup pada hari itu jam 10.00 malam.
                                     Gambar: Pengacara Bijak Mengelola Acara Permainan


Pada 6 Disember 2014, selepas selesai bersarapan pagi dan daftar keluar di hotel, saya teruskan misi dengan berjalan kaki untuk mengunjungi Pameran Setem lagi! Kereta masih dibenarkan diletakkan di hotel. Saya sampai lebih kurang jam 10.05 pagi. Pengunjung tidak ramai seperti disangkakan. Saya aturkan aktiviti pada hari terakhir Pameran Setem ini untuk mengecap Sampul Surat Hari Pertama, mengecap paspot filateli, mendapatkan sampul surat cenderahati, membeli lebih banyak setem Malaysia, mengambil gambar lagi dan membeli setem negara lain jika ada yang menarik minat saya.
Aktiviti pertama saya dengan menulis poskad dan dialamatkan kepada diri sendiri! Setem 50 sen diberikan percuma. Sungguh seronok. Kemudian, saya mengecap Sampul Surat Hari Pertama dari cap hari pertama hingga hari keenam Pameran Setem ini berlangsung. Walaupun meja panjang mengecap tidak begitu ramai orang, tetapi menunggu giliran mendapatkan cap memerlukan kesabaran disebabkan ada pengunjung membawa banyak barangan filateli untuk dicap. Makin lama, makin ramai orang berpusu-pusu ke meja tersebut.
Misi saya untuk mendapatkan sampul surat cenderahati yang diinginkan hampir semuanya berjaya kecuali tiada mendapat dari gerai Taiwan. Paling seronok mendapat sampul surat cenderahati dari gerai Arab Saudi yang bakinya tinggal hanya satu dan diberikan percuma! Adakah sesiapa berhasrat untuk membeli sampul surat tersebut dengan harga RM500.00? Maaf, saya tidak akan menjualnya.
Nasib baik saya sudah datang ke Pameran Setem ini semalam disebabkan pada hari terakhir ini, gerai Iran sudah tiada berniaga lagi. Lebih kurang jam 11.00 pagi, pengunjung sudah mula ramai berbanding semalam. Untuk membeli setem Malaysia terkini, perlu beratur panjang! Nasib baik saya sudah membeli semalam di kaunter tersebut. Ada juga rombongan sekolah. Mereka mendapat beg cenderahati. Cemburu sedikit. Tidak mengapa. Apa yang saya sudah dapat sepanjang Pameran Setem ini, sudah amat bersyukur.

               Gambar: Suasana Beratur Panjang Membeli Setem Malaysia
Saya meninggalkan Pameran Setem ini lebih kurang jam 1.30 petang dan kembali semula ke hotel bersembahyang Zuhur di bilik sembahyang. Kereta dipandu menyusuri keluar dari hotel lebih kurang jam 3.30 petang dengan penuh kenangan manis. Apa tidaknya, beg-beg plastik dipenuhi dengan setem dari pelbagai negara.

                                 Gambar: Gerai Arab Saudi Pilihan Menambah Koleksi Setem