Thursday, December 31, 2015

Setem Penghujung Tahun 2015

                                                         Gambar: Sampul Surat Jerman
 
 
Adakah ini setem terakhir dari luar negara yang diterima pada tahun 2015? Jawapannya, ya. Saya telah menerima lebih kurang 50 keping setem dari Jerman pada 17 Disember 2015. Setem-setem yang telah digunakan itu terdiri dari negara seperti Jerman dan Australia. Sebahagian besar setem dari Australia saya telah memiliki. Saya tidak pasti siapakah yang menghantar setem tersebut disebabkan tiada dilampirkan surat dan tiada nama pengirim pada belakang sampul surat.
____________________________________________________________________

Thursday, December 17, 2015

Pameran Setem Empat Negara 2015

Lebih kurang jam 8.40 pagi, 4 Disember 2015 saya telah berada di Pejabat Pos Sungai Rambai, Melaka untuk membeli setem sempena Pameran Setem Empat Negara 2015 atau dikenali sebagai Four Nation Stamp Exhibition 2015. Saya terpengaruh dengan sebuah laman web yang memberitahu kemungkinan Sampul Surat Hari Pertama mudah kehabisan di tapak pameran setem. Oleh itu, saya membeli lebih awal di pejabat pos. Lagipun, saya rasa mudah dan selesa untuk menampal setem pada Sampul Surat Hari Pertama di rumah berbanding jika menampal di tapak pameran.

                                            Gambar: Pejabat Pos Sungai Rambai, Melaka
Saya tidak membeli setem dengan kuantiti banyak walaupun kombinasi warna setem keluaran kali ini menarik  setelah ditampal pada Sampul Surat Hari Pertama. Saya tidak gemar imej model pakaian yang dipaparkan pada setem tersebut. Selain daripada itu, latar belakang setem yang memaparkan  tempat keagamaan turut menjadi saya kurang berminat terhadap setem keluaran kali ini. Dari pandangan peribadi saya, agak sedikit hampa setelah menunggu keluaran ini hampir satu tahun.


                                                      Gambar: Pintu Masuk Pameran

Pameran Setem Empat Negara 2015 diadakan di F1-05 dan F1-06 di Dataran Pahlawan, Megamall, Melaka, Malaysia. Agak mudah untuk mencari tapak pameran tersebut memandangkan saya memang gemar ke Dataran Pahlawan. Ketika saya sampai di tapak pameran tersebut, suasana agak meriah. Rupa-rupanya baru selesai upacara perasmian. Dapatlah saya menjamah kuih dan minuman yang dihidangkan.

                                                    Gambar: Pentas Majlis Pembukaan

Tugasan pertama saya selepas mengambil gambar pentas utama, saya membeli lima set Lembaran Mini dan dua keping lagi Sampul Surat Hari Pertama. Lembaran Mini kali ini tiada dijual di pejabat pos cawangan.

                       Gambar: Gerai Jualan dan Pandangan Jauh Pintu Masuk Bilik Pameran
Selepas itu, bermulalah aktiviti saya mengecap Sampul Surat Hari Pertama. Agak sedikit terkejut saya apabila melihat hanya ada dua meja kecil sahaja untuk mengecap. Sempit. Cap yang disediakan pun hanya ada satu set untuk dua jenis cap yang berbeza. Sepatutnya pihak penganjur menyediakan meja yang lebih panjang dan sekurang-kurangnya dua set cap. Namun, saya bernasib baik disebabkan tidak ramai orang gunakan cap tersebut. Ada Sampul Surat Hari Pertama dicap atas setem dan ada pula tanpa setem. Saya lebih gemar cap Sampul Surat Hari Pertama tanpa setem.  

                                          Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Tanpa Setem

Saya dapat membeli beberapa keping setem dan Lembaran Mini Malaysia keluaran tahun-tahun lepas. Mungkin disebabkan saya membeli setem dalam jumlah yang agak banyak, saya mendapat cenderamata set setem lengkap Satu Abad Majlis Raja-raja dan Lembaran Mini Sukan Komanwel 1998 yang belum digunakan. Tambahan pula, setem dan Lembaran Mini tersebut belum ada dalam koleksi saya. Rasanya inilah Lembaran Mini Malaysia yang paling besar saya ada. Sungguh seronok!

                                                               Gambar: Cenderamata


Saya ada menjengah sekejap di pintu masuk bilik pameran filateli. Seperti kebiasaan, saya tidak berada lama di bilik pameran disebabkan untuk menjimatkan masa. Saya perhatikan, ruang bilik pameran tidak begitu besar tetapi padat dengan papan-papan pameran filateli.

                                                        Gambar: Bilik Pameran Filateli

Selepas itu, saya mengunjungi gerai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Malaysian Communications and Multimedia Commission/ MCMC). Saya tertanya-tanya dalam hati sama ada pihak MCMC ada memberi poskad percuma kepada pengunjung disebabkan apabila saya berdiri di depan gerai MCMC, tiada pula petugas di situ menawarkan apa-apa.  Selepas lebih kurang tiga kali berdiri di gerai MCMC, akhirnya saya bertekad bertanya sama ada atau tiada menawarkan poskad. Rupa-rupanya jika mahukan poskad, perlu bermain jenga! Inilah kali pertama saya bermain jenga. Selepas bermain, barulah dapat sekeping poskad yang imejnya serupa seperti Lembaran Mini pameran ini dan setem 50 sen Keluaran Bersama Komuniti ASEAN yang dikeluarkan pada 8 Ogos 2015. Terima kasih diucapkan. Semoga MCMC sentiasa mengeluarkan poskad percuma setiap kali ada program keluaran setem istimewa.

Sementara menunggu gerai PT Pos Indonesia melayan pengunjung, saya singgah ke gerai Philatelic Society of Malaysia yang menjual sampul surat dan setem Singapura. Istimewa gerai ini ada menyediakan cap dari Singapore Post. Namun, saya tidak faham kenapa ada perkataan "E" pada cap tersebut. Ada sesiapa yang tahu?

Gambar: Cap Singapura


Saya tidak lepaskan peluang singgah di gerai PT Pos Indonesia. Saya rasa menyesal pula tidak berbual mesra dengan seorang pengunjung setem di gerai PT Pos Indonesia. Dia ada menegur saya,"Kumpul setem juga?" Saya mengangguk "Ya,". Itu sahaja saya jawab. Saya berharap jika pengunjung setem itu membaca blog ini, bolehlah berhubung dengan saya  untuk berkongsi pengalaman. Kebetulan saya ada mengambil gambar pengunjung setem tersebut. Dia berdiri pertama dari tepi kiri gerai PT Pos Indonesia.  

                                                         Gambar: Gerai PT Pos Indonesia
Harga Lembaran Mini untuk 5000 Rupiah dijual dengan harga RM2.00 . Kalau ikutkan pertukaran mata wang semasa, 5000 Rupiah bersamaan lebih kurang RM1.55. Namun, saya masih boleh terima harga jualan Lembaran Mini tersebut.

Saya kecewa pada hari pertama, pameran ini tidak dihadiri oleh pejabat pos Thailand dan Singapura. Seolah-olah mereka seperti tidak menyokong pameran setem ini. Mungkin ada sebab tertentu. Namun, saya amat berharap, pejabat pos Thailand dan Singapura dapat turut serta sepanjang masa dalam apa-apa pameran setem yang dianjurkan di Malaysia sebagai tanda keakraban sesama kita. Bukannya jauh sangat negara Thailand dan Singapura untuk hadir. Hanya sempadan yang memisahkan kita.