Thursday, November 17, 2016

Posmen Komuniti (Hari Pos Sedunia)

Gambar: Melambangkan Kesungguhan Komuniti Posmen 

Setem Posmen Komuniti telah dikeluarkan pada 9 Oktober 2016. Setem tersebut juga sempena menyambut Hari Pos Sedunia (World Post Day) . Terdapat tiga nilai setem iaitu 60 sen, 70 sen dan 80 sen.
 
 
Setem yang dikeluarkan ini bersaiz besar dan menggunakan gabungan warna seakan-akan klasik yang menarik. Namun, secara peribadi, saya lebih menggemari setem berharga 60 sen berbanding setem yang lain.   
________________________________________________________

Monday, October 31, 2016

Setem Definitif Antarabangsa

Gambar: Sebahagian Setem Definitif Antarabangsa Pertama Malaysia

Buat kali pertama dalam sejarah, Malaysia mengeluarkan Setem Definitif Antarabangsa. Setem tersebut dikeluarkan pada 1 Oktober 2016. Serentak ketika itu, Minggu Setem 2016 turut diadakan bermula 1 Oktober 2016 hingga 7 Oktober 2016.
 
Setem tersebut dikeluarkan dalam 6 bentuk iaitu 10 sen, 20 sen, 50 sen, RM1, RM2, RM5, RM10 dan RM20. Penggunaan setem tersebut hanya boleh digunakan untuk urusan pos antarabangsa sahaja. Tiada GST dikenakan bagi pembelian setem tersebut.

Thursday, October 27, 2016

Minggu Setem 2016

Pada 1 Oktober 2016, jam lebih kurang 10.15 pagi, saya berjaya menjejaki kembali ibu pejabat pos di Kuala Lumpur, Malaysia. Tanpa tidak disangka, saya sudah tiga tahun tidak menghadiri Minggu Setem disebabkan saya menghadkan diri sendiri supaya memilih hanya sekali setahun sahaja program besar berkaitan setem dalam Malaysia, bagi menjimatkan kos perbelanjaan. Pada tahun 2013, saya memilih untuk hadir Pameran Setem Tri-Nation di ibu pejabat pos Kuala Lumpur. Selepas itu, saya memilih pula Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di KLCC. Manakala pada tahun lepas, saya mengunjungi Pameran Setem Empat Negara di Dataran Pahlawan, Melaka.

 
 

Saya agak terkedu sebentar apabila ternampak sekumpulan pelajar sekolah beratur di koridor berhampiran pintu masuk penjualan setem. Tapi saya yakin, mustahil terlalu ramai dan panjang beratur. Saya pun mencelah pelajar-pelajar tersebut. Mereka hanya berkumpul di situ. Nasib baik, saya tidak ikut beratur bersama mereka.



Serentak dengan Minggu Setem ini, terdapat Setem Definitif Antarabangsa yang pertama kali dikeluarkan di Malaysia. Saya terus bertanya dengan petugas pos tempat untuk membeli setem tersebut. Petugas memaklumkan perlu ambil nombor giliran kaunter terlebih dahulu. Nombor giliran saya, 1056 dan terdapat lebih kurang 30 orang lain menunggu. Walaupun, giliran saya lama lagi, saya tidak melatah disebabkan saya tahu bermacam-macam perkara boleh dilakukan semasa Minggu Setem.
 
 

Oleh itu, bagi mengisi masa, saya pergi mengambil risalah dan poster mengenai Setem Definitif Antarabangsa di ruang menunggu kaunter pembelian setem. Saya juga mengambil kesempatan, pergi mengepos surat kepada kenalan Sepanyol di bangunan kaunter utama. Saya mendapati, kaunter utama perkhidmatan pos tidak dibuka disebabkan ada pertandingan mewarna kanak-kanak. Selepas itu, saya membeli Lembaran Mini lama yang belum digunakan. Saya gembira dapat membeli beberapa Lembaran Mini yang masih belum ada dalam koleksi dan ditambah pula dengan diberi cenderamata berupakan Lembaran Mini Sukan Komanwel 1998 dan poskad.



Selepas itu, saya sudah berasa lapar. Tangan pun sudah mengigil. Syukur ada peniaga sarapan pagi di luar pintu tempat penjualan setem. Nasi lemak dijual dengan harga RM2.00, harganya amat berpatutan dan sedap pula.

Kemudian, saya menyambung semula membeli setem lama yang belum digunakan. Kebanyakan setem yang dijual telah ada dalam koleksi saya. Cuma saya ingin menambahkan stok simpanan bagi memudahkan pertukaran setem dengan kenalan. Saya agak terkilan pembelian setem lama tidak dimaklumkan awal akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan/ Goods and Services Tax (CBP/ GST). Iklan yang dipaparkan dalam laman web rasmi pos sebelum Minggu Setem berlangsung tidak begitu jelas dinyatakan.

Lebih kurang dua jam saya menunggu giliran untuk membeli Setem Definitif Antarabangsa. Nasib baik dapat membeli semua barangan filateli yang dihajati. Layanan mesra petugas lelaki di kaunter nombor dua, memuaskan hati saya. Terima kasih dan tahniah diucapkan.

Selepas itu, saya memulakan aktiviti mengoyak gigi setem untuk menampal pada Sampul Surat Hari Pertama. Agak terkial-kial untuk mengoyak gigi setem bagi memastikan setem tidak terkoyak. Seperti biasa, untuk menggunakan cap setem Hari Pertama perlu ada kesabaran. Walaupun, tidak ramai yang menggunakan cap tetapi jika  seorang sahaja mempunyai banyak surat dan poskad perlu dicap, memanglah perlu menunggu lama.
 
Selepas berjaya  mengecap Sampul Surat hari Pertama, tugas mencabar saya seterusnya, untuk mengira semula harga setem dan Lembaran Mini yang dibeli. Namun, saya dimaklumkan terdapat setem tanpa tebukan yang dijual secara helaian dikenakan harga RM10.00 walaupun nilai setem tersebut berharga RM6.00. Saya rasa terkilan sedikit. Sepatutnya pelanggan dimaklumkan awal mengenai harganya. Lebih kurang hampir 30 minit saya menghabiskan masa menyemak bagi mengira harga setem dan Lembaran Mini.




Saya bercadang untuk membeli setem sudah digunakan yang dijual oleh pengedar setem. Namun, tiada setem yang ingin dibeli di situ. Seterusnya, saya menaiki lif menuju tingkat tiga bangunan pejabat pos. Terdapat pameran setem. Saya fikir tidak ramai pengunjung dalam dewan pameran tersebut. Sangkaan saya melesat. Terdapat ramai pelajar sekolah.
 
Apabila saya tiba di rumah, saya mengetahui menerusi internet, pejabat pos ada menjual poskad sempena Minggu Setem tersebut. Mungkinkah pihak pos lewat mempromosikan poskad tersebut? Saya kecewa tidak dapat membeli poskad yang cantik itu. Namun, kekecewaan itu terubat apabila melihat poskad itu tiada tertera perkataan "MINGGU SETEM".


 
 

Apakah yang menarik perhatian saya pada Minggu Setem 2016?

1.         Nombor giliran pembelian Setem Definitif Antarabangsa.

Dengan adanya nombor giliran ini untuk kaunter pembelian Setem Definitif Antarabangsa, pembeli tidak perlu berebut-rebut atau beratur panjang untuk membeli filateli. Cara ini lebih sistematik dan adil.

2.         Jualan sarapan pagi.

Sememangnya perlu ada peniaga menjual makanan bagi mengelakkan pengunjung kelaparan atau kehausan. Dengan adanya jualan tersebut, pengunjung tidak perlu bersusah-payah mencari tempat untuk menjamu selera. Di samping itu, dapat mengisi masa ketika menunggu giliran membeli barangan filateli.

3.         Kios foto menarik.

Kios foto atau photo booth berbentuk empat segi dan bulat di tengah, berimejkan kanta pembesar, menarik untuk diambil gambar sebagai tanda kenangan. Terdapat petugas pos yang ringan tulang membantu pengunjung mengambil gambar.

4.         Layanan mesra petugas pos.

Terdapat petugas pos yang memberi layan baik dan tidak lokek senyuman. Wajar dikekalkan.

5.         Cenderamata.

Terdapat cenderamata setem, Lembaran Mini dan poskad diberikan pembeli setem lama. Cendermata wajar diberikan kepada pembeli sebagai tanda penghargaan dan kenangan. Dengan adanya cenderamata tersebut, sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati pengunjung terutama yang hadir dari luar Kuala Lumpur.

6.         Jumlah kerusi pengunjung memuaskan.

Jumlah kerusi yang disediakan di ruang jualan setem lama dan Setem Definitif Antarabangsa untuk pengunjung memuaskan. Pengunjung terdiri dari pelbagai peringkat usia termasuk warga emas. Keselesaan pengunjung harus diutamakan.

7.         Poster diberikan kepada pengunjung.

            Terdapat Poster Setem Definitif Antarabangsa dan Minggu Setem yang diletakkan di ruang kaunter setem yang membolehkan pengunjung bebas mengambilnya. Poster ini juga boleh dianggap sebagai cenderamata terutama bagi pengunjung yang mengumpulnya.

 
 

Apakah yang perlu diperbaiki untuk Minggu Setem akan datang?

1.         Menyediakan resit kepada pembeli setem lama.

Resit perlu diberikan kepada pembeli setem lama oleh pihak pos supaya kekeliruan bayaran yang dikenakan dapat dielak. Tambahan pula, terdapat sesetengah individu yang membeli setem lama pelbagai jenis dalam kuantiti banyak. Dengan ada resit, dapat mengelakkan berlakunya pertikaian atau salah sangka harga setem lama dikenakan kepada pelanggan.

2.         Jualan helaian setem lama tanpa tebukan perlu dilabelkan harga.

            Terdapat kekeliruan di kalangan pembeli ke atas helaian setem lama tanpa tebukan (imperforate stamp) yang harganya berbeza berbanding dengan nilai sebenar yang tertera pada setem tersebut. Setem lama tanpa tebukan dijual dengan harga yang lebih tinggi daripada setem lama ada tebukan. Dicadangkan pihak pos melabelkan harga setem tanpa tebukan.

3.         Setem lama dijual secara helaian perlu diasingkan.

Mana-mana setem lama yang dijual secara helaian (tidak boleh dikoyak dari helaian setem) perlu diasingkan daripada setem yang dijual secara kepingan. Selain daripada itu, perlu dilabelkan untuk makluman pembeli. Ada pembeli yang mengoyakkan setem yang dijual secara helaian hingga ditegur oleh pihak pos. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, sememangnya wajar diasingkan dan dilabelkan mana-mana setem dijual mengikut helaian.

4.         Mengadakan kuiz atau meneka jumlah setem.

Beberapa tahun sebelum ini, terdapat kuiz atau meneka jumlah setem semasa Minggu Setem. Dicadangkan kuiz atau meneka jumlah setem perlu diadakan semula dengan menawarkan hadiah menarik bagi memeriahkan Minggu Setem.

5.         Promosi barangan filateli sempena Minggu Setem.

            Tidak semua peminat setem akan mengetahui apakah barangan filateli yang akan dijual khas sempena Minggu Setem. Oleh yang demikian, promosi secara jelas dengan menyatakan apakah barangan dijual perlu ada sebelum berlangsungnya acara Minggu Setem. Sekiranya terdapat barangan filateli yang dijual tidak disenaraikan dalam risalah atau poster promosi, dicadangkan petugas pos terutama di kaunter jualan dapat mengesyorkan kepada pengunjung yang mungkin berminat atau terlupa untuk membeli. Kemungkinan dengan cara ini, dapat meningkatkan jualan pihak pos sempena Minggu Setem.

6.         Menjemput wakil pejabat pos dari negara luar.

            Dicadangkan pada tahun akan datang, pihak pos menjemput sekurang-kurangnya satu wakil pejabat pos dari luar negara menjual produk filateli semasa Minggu Setem. Pihak pos boleh menjemput terutama negara berdekatan seperti Brunei Darrusalam, Singapura, Thailand, Filipina dan Laos. Dengan adanya wakil pos dari luar negara bukan sahaja dapat memeriahkan Minggu Setem tetapi dapat mengeratkan hubungan sesama negara.
 
7.         Lembaran Mini "MINGGU SETEM".
Pihak pos seharusnya mengekalkan pengeluaran Lembaran Mini sempena Minggu Setem. Ketiadaan Lembaran Mini yang mempunyai cetakan “MINGGU SETEM” bagaikan kurang lengkap terutama peminat setem yang mengumpul Lembaran Mini tersebut. Oleh itu, disyorkan pada masa akan datang sekiranya pihak pos mahu mengeluarkan suatu keluaran setem semasa Minggu Setem, set setem tersebut perlu ada Lembaran Mini.
 

Thursday, September 29, 2016

Tapak Pertahanan


 Gambar: Setem dan Lembaran Mini Tapak Pertahanan

Saya gemarkan tema setem Tapak Pertahanan ini. Jarang ada tema sebegitu. Setem tersebut dikeluarkan pada 15 September 2016 dalam 4 bentuk iaitu 60 sen (dua bentuk) dan 80 sen (dua bentuk). Manakala Lembaran Mini dikeluarkan dalam satu bentuk bernilai RM3.00 .
Keluaran kali ini mengingatkan saya mata pelajaran Sejarah ketika belajar di bangku sekolah. Bagus untuk mengimbau kembali para pejuang negara dan meningkat semangat nasionalisme terutama di kalangan generasi muda.
_________________________________________________

Monday, September 26, 2016

Tujuh Keajaiban Flora dan Fauna

Gambar: Helaian Setem Berpelekat

Saya agak teruja melihat promosi setem bertemakan Tujuh Keajaiban Flora dan Fauna di internet sebelum membeli keluaran tersebut. Warna-warni dan kreatif. Apa yang unik? Setiap setem ada QR Code.

Setem kali ini dikeluarkan pada 23 Ogos 2016. Namun, setelah membeli setem tersebut, rasa teruja saya berkurangan. Kenapa? Warna pada helaian setem kurang menyerlah. Ilustrasi imej gabungan flora dan fauna yang dipaparkan sedikit serabut. Helaian setem yang dikeluarkan dalam bentuk pelekat.

Saya sememangnya kurang gemar setem berpelekat. Saya rasakan nilai atau standard setem seolah-olah jatuh apabila dalam bentuk pelekat. Walau bagaimanapun, semasa saya melekatkan setem-setem itu pada Sampul Surat Hari Pertama, menjadi seronok pula disebabkan mudah ditampal dan tidak perlu mencari air atau gam lagi. Disamping itu, jika tersalah lekat dan belum dilekatkan sepenuhnya pada Sampul Surat Hari Pertama, setem tersebut mudah ditarik dan ditampal semula. Walau apapun, minat saya terhadap setem bergam masih mengatasi setem berpelekat.    



Gambar: Lembaran Mini Tebukan


Gambar: Lembaran Mini Tanpa Tebukan
Manakala, Lembaran Mini yang dikeluarkan dalam dua bentuk iaitu Lembaran Mini Tebukan dan Tanpa Tebukan. Lembaran Mini ini sememangnya saya amat gemar disebabkan kreatif berbentuk tapak kaki panda, imej yang menarik dan nilainya yang mampu dibeli. Saya tidak gemar jika harga Lembaran Mini RM4.00 dan ke atas.
Apakah yang ajaibnya tujuh flora atau fauna yang dipaparkan? Saya tertanya-tanya. Merujuk risalah yang dilampirkan dalam Sampul Surat Hari Pertama, setem keluaran kali ini dipersembahkan melalui spesis-spesis yang dipilih khas merangkumi tujuh kelas flora dan fauna di Malaysia iaitu mamalia, reptilia, ambifia, burung, ikan, serangga dan tumbuh-tumbuhan. Hanya Tuhan yang tahu.
_________________________________________________



Thursday, August 18, 2016

Setem Olimpik Rio 2016


                                        Gambar: Definitif Brazil dan Olimpik Rio 2016
 
 
Ketika ini sedang rancak berlangsung Sukan Olimpik (Olympic Games) musim panas. Saya gembira menerima sepucuk surat dari Brazil yang memaparkan setem Olimpik Rio 2016. Dalam surat tersebut turut mengandungi antara lain, beberapa keping setem Olimpik Rio 2016 dan sekeping Lembaran Mini Para-Olimpik Rio 2016 yang sudah digunakan.
 
________________________________________________________________

Monday, August 15, 2016

Pelawat Pertama Qatar


                                    Gambar: Lembaran Mini Qatar Sempena World Cup 2002

Sudah lama blog ini tidak dilawati oleh pelawat pertama dari negara lain. Kali terakhir blog ini dilayari oleh pengunjung pertama dari Yaman pada 29 Ogos 2015. Wow! Hampir satu tahun!
 
 
Pada 19 Julai 2016 terdapat pelawat pertama dari Qatar telah melayari blog ini. Terima kasih diucapkan. Saya ada memiliki setem Qatar tetapi tidak banyak. Itu pun nasib baik saya ada membeli setem-setem Qatar yang belum digunakan lagi semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur.
_________________________________________________________________

Saturday, April 30, 2016

Friday, April 29, 2016

Thursday, March 31, 2016

Kenangan Penerbangan Awam Vietnam

 Gambar: Meraikan Penerbangan Awam Vietnam

Saya amat tertarik dengan tema setem dan Sampul Surat Hari Pertama ini yang menyambut "Ulang Tahun ke-60 Cawangan Penerbangan Awam Vietnam" yang dikeluarkan pada 10 Januari 2016. Saya membelinya sebanyak dua (2) set di pejabat pos Bandar Ho Chi Minh, Vietnam. Satu set untuk simpanan saya dan satu set lagi telah diberikan sebagai cenderamata kepada seseorang pada petang semalam. 
____________________________________________________________

Tuesday, March 29, 2016

Angan-angan Tercapai di Vietnam

Selama ini saya berangan untuk mengunjungi Vietnam bagi kali kedua. Mungkin sebab utama  adanya Central Post Office di Bandar Ho Chi Minh. Keinginan tersebut tercapai apabila dapat pergi ke sana secara percuma pada 15 Mac 2016 hingga 18 Mac 2016.
 
Berdasarkan jadual perjalanan rombongan saya, hari pertama tiba di Vietnam akan singgah di pejabat pos tersebut. Oleh itu, apabila tiba di War Remnants Museum, saya telah bersiap sedia membeli poskad untuk dipos kepada diri sendiri. Saya sempat selesai menulis sekeping poskad semasa dalam bas. Selepas itu, bas berhenti di Hard Rock Café. Saya meninggalkan poskad itu dalam bas untuk melihat barangan cenderamata yang dijual di Hard Rock Café. Namun, saya tidak menduga selepas itu rombongan saya hanya berjalan kaki dari Hard Rock Café ke Central Post Office. Alamak! Poskad yang telah siap ditulis berada dalam bas!

Gambar: Pandangan Hadapan Central Post Office Menjelang Tengah Hari

Rombongan saya diberi masa lebih kurang 20 minit berada di pejabat pos tersebut. Saya pun melangkah panjang masuk ke dalam pejabat pos tersebut. Saya terus tuju ke kaunter membeli setem. Hanya sedikit yang dibeli disebabkan tema setem tidak begitu menarik perhatian saya.

Selepas itu, saya terus menuju ke ruang tengah yang menjual pelbagai barangan khususnya berkaitan filateli. Saya macam nampak 'berlian' dalam bakul kecil. Saya menerkam 'berlian' bak harimau kelaparan. Itulah Sampul Surat Hari Pertama ASEAN yang dikeluarkan pada tahun 2015. Memang saya amat idamkan untuk membeli Sampul Surat Hari Pertama tersebut. Selain daripada itu, terdapat tema Sampul Surat Hari Pertama lain yang amat menarik perhatian saya. 

Gambar: Sampul Surat Hari Pertama ASEAN
 
Saya sempat juga bertanya kepada petugas di kaunter setem tadi dengan menunjukkan isyarat sama ada setem ASEAN yang ditampal pada Sampul Surat Hari Pertama ada atau tiada dijual. Petugas perempuan itu hanya menggeleng kepala.

Apakah kesudahan poskad yang saya tidak dapat pos di Central Post Office? Pada hari terakhir berada di Vietnam, saya minta bantuan petugas Hotel Ha My 3 untuk poskan poskad tersebut. Namun, sehingga hari ini poskad tersebut masih belum saya terima.

Lawatan ke Vietnam kali ini saya rasa sedikit terkilan kerana tidak dapat poskan poskad dan surat di Central Post Office. Selain daripada itu, tidak dapat berulang kali mengunjungi pejabat pos tersebut sepanjang empat hari dan tiga malam di sana.

Walau apapun, saya agak puas disebabkan dapat memiliki Sampul Surat Hari Pertama ASEAN dan dapat menerokai Bandar Ho Chi Minh kali ini bersama-sama rakan sepejabat.
 
_______________________________________________________________

Monday, February 29, 2016

Carta Setem Malaysia Tahun 2015


 5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Setem Set Lengkap Terbaik
1. Ulang Tahun ke-150 ITU
2. Haiwan Marin (Keluaran Bersama Malaysia – Thailand)
3. Tumbuhan Berkhasiat Siri III
4. Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi

5. Pengangkutan Awam Malaysia – Keretapi-keretapi di Sabah

 

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar: Setem Individu Terbaik

1. Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor  – 60 sen
2. Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah - 60 sen
3. Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah – RM1.20
4. Masjid Bandaraya Kota Kinabalu – 80 sen
5. Obor-obor (Keluaran Bersama Malaysia – Thailand) – 60 sen
6. Nudibranch (Keluaran Bersama Malaysia – Thailand) - 60 sen
7. Misai Kucing - 60 sen
8. Ulang Tahun ke-150 ITU – 60 sen
9. Ulang Tahun ke-150 ITU – 80 sen
10. Pucung Keladi – 70 sen
 
5 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

1. Mutiara Laut Selatan – RM5
2. Liang Liang dan Xiang Xiang (Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi) – RM4 dan RM4
3. Pulau Satang, Sarawak (Pulau-pulau dan Pantai Siri III Malaysia)- RM3
4. Ulang Tahun 175 Penny Black- RM3
5. Belalai Gajah (Tumbuhan Berkhasiat Siri III) – RM3


 5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Terbaik

1. Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor
2. Ulang Tahun 174 Penny Black
3. Tumbuhan Berkhasiat Siri III
4. Ulang Tahun ke-150 ITU
5. Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi


 Sampul Surat Kenangan Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar: Sampul Surat Kenangan Terbaik
 
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi ke-13

 
5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik

1. Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor
2. Keretapi-keretapi di Sabah
3. Ulang Tahun ke-150 ITU
4. Malaysia Pengerusi ASEAN 2015
5. Masjid-masjid di Malaysia

 
Cap Sampul Surat Kenangan Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar: Cap Sampul Surat Kenangan Terbaik
 
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi ke-13


5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
 

1. Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor
2. Masjid-masjid di Malaysia
3. Pengangkutan Awam Malaysia – Keretapi-keretapi di Sabah
4. Pulau-pulau dan Pantai Siri III Malaysia
5. Haiwan Marin (Keluaran Bersama Malaysia – Thailand)

Sunday, February 28, 2016

Setem Definitif Paling Dinanti

Gambar: Dalam Setem Ada Taman
 
Pada 25 Februari 2016 merupakan hari yang dinanti sejak lebih kurang lima (5) tahun yang lalu. Pada tarikh tersebut terbitnya setem definitif bagi negeri Johor, Malaysia. Bagaikan meraikan kejayaan pasukan  Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memenangi perlawanan bola menentang pasukan Ayeyawady United dari negara Mynmar dengan jaringan 8 - 1 pada 24 Februari 2016. Apa yang berlaku hanya kebetulan tanpa diduga.
 
Setem definitif negeri Johor dikeluarkan dalam nilai 10 sen, 20 sen, 30 sen, 40 sen, 50 sen dan 60 sen. Apa yang saya harapkan, setem tersebut diperluaskan penjualannya di semua pejabat pos negeri Johor bagi membolehkan orang ramai membeli setem tersebut untuk menggantikan penggunaan setem definitif yang tiada mempunyai nama "Johor". Oleh itu, dengan adanya setem definitif negeri Johor, akan menyerlahkan keunggulan setem definitif Malaysia yang ada nilai tersendiri.
__________________________________________________________

Thursday, January 28, 2016

Buku Katalog Setem Stanley Gibbons

Bagaimanakah muka hadapan Buku Katalog Setem Stanley Gibbons yang saya beli semasa Pameran Setem Dunia di Singapura pada tahun 2015? Saksikanlah.....

                                                       Gambar: Tiga Buku Berilmu


Buku-buku tersebut iaitu:

i. Stanley Gibbons Stamp Catalogue France
ii. Stanley Gibbons Stamp Catalogue Part 22 Unites States of America
iii. Stanley Gibbons Part 11 Scandinavia

________________________________________________________________

Monday, January 25, 2016

Kenangan Manis 2015




Alhamdulillah. Terdapat banyak kenangan manis yang ada kaitan antara saya dengan setem sepanjang tahun 2015. Saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti yang berikut:

1. Mengunjungi Pameran Setem Dunia Singapura 2015 di Sands Expo & Convention Center, Singapura pada 15.8.2015.

2. Mengunjungi Theo Peters Numismatiek & Filatelie di Amsterdam, Netherlands pada 23.9.2015.

3. Memiliki buku katalog setem Netherlands (Postzegel Catalogus 2015/16, Postzegels Van Nederland) pada 23.9.2015.

4. Mengunjungi pejabat pos Pantin, Perancis pada 21.9.2015.

5. Memiliki buku katalog setem Stanley Gibbons Stamp Catalogue – France pada 15.8.2015.

6. Memiliki buku katalog setem Stanley Gibbons Stamp Catalogue – Part 22 United States of America pada 15.8.2015.

7. Memiliki buku katalog setem Stanley Gibbons Stamp Catalogue – Part 11 Scandinavia pada 15.8.2015.

8. Menerima surat kenalan dari Sepanyol yang memberikan beberapa helaian besar setem pada 5.5.2015.

9. Mengunjungi Pameran Setem Empat Negara 2015 di Dataran Pahlawan, Megamall, Melaka, Malaysia pada 4.12.2015.
10. Menerima surat kenalan dari Brazil pada 15.1.2015.
__________________________________________________