Monday, November 13, 2017

Pejabat Pos Tanah Rata

Dapat jumpa tetapi tidak dapat masuk. Itulah dugaan yang saya hadapi bila menjumpai pejabat pos di Tanah Rata, Cameron Highlands, Malaysia pada 4 September 2017.

Gambar: Pejabat Pos Tanah Rata Cameron Highlands

Dalam perjalanan ke Pasar Tanah Rata, saya telah menjumpai pejabat pos tersebut. Ketika itu lebih kurang jam 7.41 pagi dan sudah tentu waktu itu pejabat pos belum lagi beroperasi. Tambahan pula, pada tarikh tersebut merupakan hari Sabtu minggu pertama yang merupakan hari pejabat pos tidak dibuka. Jarak jauh pejabat pos tersebut dari inap desa Golden Hills yang saya tinggal lebih kurang 2 kilometer.

___________________________________________________

Saturday, September 30, 2017

Pameran Setem Danga City Mall 2017


Gambar: Sebahagian Suasana Aktiviti Jualan

Pameran Setem Danga City Mall, Johor Bahru, Malaysia diadakan pada 9 September 2017 hingga 10 September 2017. Saya telah menghadiri pameran ini pada 9 September 2017.  Tiada banyak jualan setem. Kebanyakan peniaga menjual wang kertas lama. Saya hanya membeli satu penyepit setem (tweezer) dengan harga tidak melebihi RM14.00.

___________________________________________________________

 

Friday, September 29, 2017

Setem Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Edisi Khas Siri ke -3


Gambar: Koleksi Edisi Khas

Setem Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Edisi Khas Siri ke-3 telah dikeluarkan pada 9 September 2017 tetapi dijual di pasaran pada 11 September 2017. Setem kali ini memang cantik disebabkan bukan dalam bentuk ilustrasi. Kulit hadapan setem ini tebal memadai dengan harganya yang dijual oleh pejabat pos dengan harga RM37.10 berserta dengan sampul surat besar.
_______________________________________________________

Sunday, July 30, 2017

Pelawat Pertama Afrika Selatan

Pada 4 Jun 2017 pelawat pertama dari Afrika Selatan telah kunjungi blog saya. Setakat ini, saya memiliki sebanyak 22 keping setem Afrika Selatan yang disimpan baik dalam album koleksi. Terdapat banyak lagi setem dari negara tersebut yang belum saya semak untuk dimasukkan ke dalam album.

Gambar: Nama Berbeza Setem Afrika Selatan
 

Mungkin ada yang tidak ketahui, sesetengah setem Afrika Selatan dicetak atas nama "South Africa", "Suid-Africa", "Republic of South Africa", "Republiek Van Suid-Afrika" atau "RSA". Moga tiada kekeliruan di kalangan pengumpul setem mengenai nama setem Afrika Selatan.

_______________________________________________________

Thursday, June 29, 2017

Promosi Batik Malaysia

Gambar: Warna-warni Batik Malaysia

Setem Batik Malaysia telah dikeluarkan pada 20 Jun 2017. Malaysia pernah mengeluarkan setem tema yang sama pada 2 Disember 2005. Oleh itu, ini merupakan siri kedua setem Batik Malaysia.

Saya menggemari topik ini memandangkan suka memakai batik Malaysia pada waktu tertentu. Batik Malaysia amat berbeza berbanding batik Indonesia. Paling ketara perbezaan jika lihat dari segi corak batik itu sendiri.

Usaha pengeluaran setem ini merupakan langkah yang bijak bagi mempromosi batik Malaysia di serata dunia. Meskipun begitu, pada pandangan kasar saya dari segi pengumpulan setem, mungkin tema "batik" tidak begitu digemari secara universal seperti "burung" atau "Sukan Olimpik" . Walau bagaimanapun, bagi menarik perhatian pengumpul setem, tema ini boleh dikategorikan lebih umum sebagai tema "tekstil" atau "seni".

___________________________________________________________
    

Tuesday, May 30, 2017

Pelawat Pertama Hungary

Pelawat dari Hungary telah kunjungi blog ini pada 21 April 2017. Adakala saya kurang pasti apabila melihat setem yang tertera perkataan "Magyar Posta". Dari negara manakah setem tersebut? Itulah setem Hungary. Setakat ini, sebanyak 26 keping setem Hungary berada dalam album koleksi saya.


Gambar: Setem Hungary Tahun 1963
 
_________________________________________________________________

Sunday, April 30, 2017

Pelawat Pertama Bahamas dan Tunisia

Pada bulan Mac 2017, terdapat dua pelawat pertama dari negara Bahamas dan Tunisia telah melayari blog saya.

Kali terakhir dua pelawat pertama negara mengunjungi blog ini semasa bulan Ogos 2015.

Pelawat dari Bahamas telah mengunjungi blog ini pada 17 Mac 2017. Manakala, pelawat dari Tunisia pada 25 Mac 2017.

Memang sukar untuk memiliki setem Bahamas. Saya mendapat setem Bahamas daripada kenalan baru dan kami bertukar-tukar poskad. Saya masih ingat lagi betapa gembira apabila menerima poskad Bahamas itu.

Gambar: Bagaikan Penyu Bahamas Hadir Perairan Malaysia

Bagaimana dengan setem Tunisia? Saya masih belum ada setem dari negara tersebut. Jika ada sesiapa dari Tunisia ingin bertukar-tukar setem, saya amat menunggu kehadiran suratnya.

__________________________________________________________

Friday, March 10, 2017

Kincir Angin Mengingati Amsterdam



Tatkala menerima sepucuk surat dari Netherlands pada 13 Februari 2017, saya perhatikan setem berimejkan kincir angin secara tidak langsung mengimbaskan kenangan manis lebih kurang setahun lebih yang lepas ketika berada di Amsterdam. 

Setem tersebut saya gemar sebab melambangkan identiti Netherlands yang popular dengan kincir angin. Terima kasih kenalan baru saya.

Monday, March 6, 2017

Tanpa Diduga Hasrat Tercapai ..... Faroe Islands

Gambar: Setem Faroe Islands Pertama Dimiliki

Ada sesiapa yang pernah dengar nama Faroe Islands? Mungkin ada yang sudah biasa dengan nama negara tersebut. Pada 30 Januari 2017, saya telah menerima satu pucuk surat dari pejabat pos negara berkenaan. Cuba perhatikan nama negara yang tertera pada setem ... FØROYAR.  Berbeza ejaannya. Itulah antara keunikan setem Faroe Islands.

Sebelum ini, saya adakala memikirkan bilakah agaknya saya akan memiliki setem dari Faroe Islands. Saya fikir mungkin lama lagi, tapi akhirnya hasrat yang diimpikan tercapai. 
 
__________________________________________________________

Tuesday, February 28, 2017

Jersey... Jersey

Saya hairan bila Jersey ada mengeluarkan setem sendiri. Saya keliru. Saya fikirkan Jersey merupakan salah satu negeri di Amerika Syarikat. Rupa-rupanya negeri di Amerika Syarikat itu dipanggil New Jersey dan bukanlah Jersey.

Gambar: Pandangan Hadapan Kulit Buku Setem  

Pada 9 Januari 2017, saya menerima sepucuk surat dari pejabat pos Jersey bersama-sama surat dari negara lain. Inilah kali pertama saya menerima surat-surat dari luar negara apabila bermula jendela tahun 2017. 

Gambar: Satu Buku Setem Mengandungi Beraneka Setem

Saya cukup gembira menerima setem dan Lembaran Mini yang belum digunakan lagi walaupun saya lebih gemarkan setem yang sudah digunakan. Saya gembira kerana setem Jersey sukar dimiliki dan warna-warni setemnya. Setem dan Lembaran Mini yang diterima itu dalam bentuk buku setem atau lebih dikenali sebagai 'stamp booklet'.    

Gambar: Lembaran Mini Dibukukan Sempena Sejarah Penerbangan
________________________________________________

Monday, February 27, 2017

Carta Setem Malaysia Tahun 2016


5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)             

 Gambar: Setem Set Lengkap Terbaik

1. Kegemilangan Emas di Paralimpik
2. Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV
3. 200 Years of Excellence – Penang Free School
4. Bunga-bunga Wangi Siri 2
5. Siri Definitif Bunga-bungaan Taman - JOHOR

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Setem Individu Terbaik

1. Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV – 95 sen
2. Alam Fauna - 50 sen
3. Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV – RM1.05
4. Bunga Teratai, JOHOR – 10 sen
5. Bunga Teratai, PERAK – 10 sen
6. Rio 2016 - 95 sen
7. Buah-buahan Tempatan - 20 sen
8. Kancil – 30 sen
9. Penang Free School 1816-2016 - 200 Years of Excellence – 80 sen
10. Penang Free School 1816-2016 - 200 Years of Excellence – 90 sen

5 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Setem Lembaran Mini Terbaik

1. Nuan Nuan Panda Gergasi (Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia) – RM2
2. Nuan Nuan Panda Gergasi (Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia) – RM2 (Tanpa Tebukan)
3. Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV - RM3
4. Destinasi Pelancongan Kedah & Kelantan- RM2 dan RM2
5. 1816-2016 Penang Free School–200 Years of Execllence – RM5



 5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Terbaik

1. Posmen Komuniti
2. Kegemilangan Emas di Paralimpik, Rio 2016
3. Destinasi Pelancongan Kedah & Kelantan
4. Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia
5. Tapak Pertahanan



 Sampul Surat Kenangan Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Tiada

 
 

5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Gambar: Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik

 1. Tapak Pertahanan
2. Bunga-bunga Wangi Siri 2
3. Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016
4. Destinasi Pelancongan Kedah & Kelantan
5. 100 Tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia

 [Terdapat tiga (3) cap iaitu Siri Definitif Bunga-bungaan Taman – PERAK, Sasterwan Negara dan Pengangkutan Sungai tidak dapat dinilai disebabkan cap tidak dapat diperolehi dari pejabat pos]



Cap Sampul Surat Kenangan Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

Tiada

 
 
5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik

(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar: Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik  
1. Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV
2. Kegemilangan Emas di Paralimpik Rio 2016
3. Penang Free School - 200 Years of Excellence
4. Tujuh Keajaiban Flora & Fauna Malaysia
5. Bunga-bunga Wangi Siri 2
_____________________________________________

Tuesday, January 31, 2017

Kenangan Manis 2016


Sepanjang tahun 2016, tidak berapa banyak kenangan manis yang ada kaitan antara saya dengan setem. Saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti yang berikut:

1. Memiliki Sampul Surat Hari Pertama ASEAN keluaran Vietanam pada 15.3.2016.

2. Mengunjungi Central Post Office di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada 15.3.2016.

3. Mengunjungi Minggu Setem di ibu pejabat pos, Kuala Lumpur pada 1.10.2016.

4. Menerima Lembaran Mini Paralimpik Rio 2016 yang sudah digunakan keluaran Brazil pada 31.5.2016.

5. Menerima Lembaran Mini Olimpik Ri 2016 yang belum digunakan keluaran Brazil pada 1.11.2016.

6. Keluaran setem pertama Malaysia bertemakan paralimpik pada 20.12.2016.

7. Menerima 161 setem Turki yang sudah digunakan daripada kenalan baru dari Turki sekitar tarikh 27.1.2016 – 4.2.2016.

8. Menerima 51 setem Jepun yang sudah digunakan daripada kenalan baru dari Jepun pada 28.2.2016.

9. Memiliki Sampul Surat Hari Pertama Ulang Tahun ke-60 Penerbangan Awam Vietnam pada 15.3.2016.
 
10. Memiliki Sampul Surat Hari Pertama Iklim Perubahan Vietnam (keluaran tahun 2015) pada 15.3.2016.
_____________________________________________________

Monday, January 30, 2017

Pelawat Pertama Macau

Pada 22 November 2016, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari Macau. Saya masih belum ada setem Macau walaupun negara tersebut tidak begitu jauh dari Malaysia.

Terdapat dua percubaan saya untuk membeli setem Macau. Percubaan pertama semasa membeli setem Hong Kong bertemakan Keluaran Bersama Hong Kong dan Malaysia di pejabat pos Singapura. Manakala percubaan kedua semasa Pameran Setem Dunia Singapura 2015 (Singapore 2015 World Stamp Exhibition) pada 15 Ogos 2015.
Tentu ada tertanya-tanya atau rasa pelik semasa percubaan pertama saya hendak membeli setem Macau di pejabat pos Singapura. Mungkin ada yang tiada ketahui pejabat pos Singapura ada menjual setem luar negara yang belum digunakan seperti Macau dan Hong Kong. Percubaan pertama saya hendak membeli setem Macau gagal disebabkan tiada setem Macau yang menarik perhatian saya. Lembaran Mini Macau yang menjadi sasaran saya sudah habis dijual.

Semasa percubaan kedua pula, saya tiada dapat membeli setem Macau sebab gerai jualan setem negara tersebut telah habis dijual. Cuma yang tinggal, risalah-risalah setem Macau. Jika saya mahu berkehendakkan setem Macau perlu datang pada hari lain semasa berlangsungnya Pameran Setem Dunia Singapura 2015.

Sekiranya mana-mana pengumpul setem dari negara Macau ingin bertukar-tukar setem dengan saya, sila e-mel kepada saya.  
_________________________________________________