Friday, February 28, 2020

Pelawat Pertama Norway, Macedonia, Albania, Montenegro, Bosnia and Herzegovina dan Mauritius

Setem Norway

Pada 4 Oktober 2017, blog saya telah dikunjungi oleh pelawat dari negara Norway. Terima kasih diucapkan kepada pelawat tersebut. Sungguh tidak disangka. Untuk mengenali setem Norway, pada setem tersebut tertera perkataan "NORGE". Setem yang dipaparkan merupakan salah satu setem yang berada dalam album setem milik saya. Semasa melihat album setem tersebut, saya jangkakan saya memiliki banyak setem Norway. Saya agak terkejut. Saya memiliki tidak sampai 10 keping setem Norway. Saya akan berusaha untuk tambahkan koleksi.  

Setem Macedonia

Selepas dikunjungi pelawat dari Norway, untuk jangka masa yang agak lama, pelawat dari negara-negara Balkan iaitu Macedonia telah melayari blog ini pada 16 April 2019, Albania pada 18 April 2019, Montenegro pada 19 April 2019 dan seterusnya dikunjungi oleh pelawat dari Bosnia and Herzegovina pada 20 April 2019.

Setem Albania


Saya tidak pasti sama ada mahu teruja atau tidak teruja dengan pelawat dari semua negara Balkan yang dinyatakan tadi disebabkan saya pasti pelawat tersebut merupakan diri saya sendiri yang melancong di negara-negara tersebut.

Sebelum saya melancong ke Albania, saya tiada mempunyai setem Albania. Oleh itu, saya telah lakukan carian di internet untuk melihat bagaimana imej setem Albania. Saya agak terkejut dan teruja melihat setem Albania tertera perkara "SHQIPERIA".

Setem Montenegro 


Saya juga tiada mempunyai setem dari negara Montenegro dan Bosnia and Herzegovina. Apalagi, setiba saya di negara-negara tersebut, mata saya liar mencari pejabat pos. Alhamdulillah, kesemua negara dapat saya singgah di pejabat pos, membeli setem dan poskan poskad atau surat kepada diri sendiri. Mungkin ada penduduk atau pelancong negara-negara yang saya kunjungi tersebut hairan melihat keasyikan saya bergambar di luar pejabat pos.   


Setem Montenegro yang dipaparkan di atas merupakan pemandangan indah Sveti Stefan. Sungguh memukau walaupun hanya dapat melihat pemandangan dari dalam bas. Difahamkan terdapat hotel di situ dan hanya mampu didiami oleh orang yang berpendapatan tinggi. Ketika itulah saya berangan ada yang sudi menaja saya untuk menginap di situ.    

Setem Bosnia and Herzegovina
Setem Bosnia dan Herzegonia atau Bosna I Hercegovina yang dipaparkan di atas bertemakan kebebasan dan keamanan yang dikeluarkan pada 25 September 1995. Saya tidak banyak perolehi setem di negara tersebut walaupun telah menemui sebuah kedai di Mostar yang menjalankan perniagaan penukaran matawang asing yang turut menjual setem Bosnia and Herzegonia yang belum digunakan dan setem lama negara lain yang sudah digunakan. Selain daripada itu, saya juga telah singgah pejabat pos di Sarajevo.

Pelawat dari negara Mauritius telah layari blog ini pada 17 Jun 2019. Terima kasih juga kepada pelawat negara tersebut. Saya belum ada koleksi setem Mauritius. Harap dapat melancong dan memiliki setem negara tersebut.

Friday, February 14, 2020

Pembuka Tirai Tahun 2020

Seni Khat Malaysia 2 merupakan keluaran setem pertama untuk tahun 2020. Setem tersebut dikeluarkan pada 6.2.2020.

Terdapat 3 keluaran setem iaitu bernilai 60 sen (Khat Jawi), 80 sen (Kaligrafi Tamil) dan RM1 (Kaligarfi  Cina). Selain daripada itu, terdapat Lembaran Mini bernilai RM3.

Gambar: Helaian Setem Bertemakan Khat Jawi

Untuk mendapatkan setem lengkap, saya perlu mendapatkannya di 2 buah pejabat pos. Sememangnya saya gembira memperoleh setem tersebut bagi meraikan pembuka tirai keluaran setem bagi tahun 2020. Syukur.