Friday, January 29, 2021

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor

Memang saya tidak sangka langsung bahawa Malaysia mengeluarkan filateli berkenaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor sempena sambutan ulang tahun ke-125. 


Tarikh keluaran asal filateli ini pada 14 September 2020 tetapi telah dipinda beberapa kali dan akhirnya ditetapkan pada 31 Disember 2020. Walau bagaimanapun, tarikh jualan diadakan pada 27 Januari 2021.

Setem kenangan ini dikeluarkan dalam dua bentuk berharga RM1.00 setiap satu. Manakala, Lembaran Mini berharga RM5.00 sekeping.

Terima kasih kepada pihak yang mencetuskan idea sambutan ulang tahun ini dalam bentuk filateli dan pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Tahniah! Maka lengkaplah pengeluaran setem atau filateli Malaysia untuk tahun 2020.

 

Thursday, January 28, 2021

Terpukau Pokok Tertinggi

Selamat datang tahun 2021. Sebagai pembuka tirai 2021, saya masih memberi ulasan mengenai setem yang dikeluarkan pada tahun 2020 disebabkan ada keunikan tersendiri setem yang dikeluarkan pada penghujung tahun 2020.

Saya memang nantikan apakah imej dan bentuk setem yang akan dikeluarkan untuk 'Pokok Tropika Tertinggi di Dunia'. Setem tersebut dikeluarkan pada 29 Disember 2020. 

Hanya terdapat satu jenis setem yang dikeluarkan iaitu bernilai RM0.90. Pada pendapat saya setem tersebut bersaiz kecil. Saya kecewa sedikit. Sebelum ini, saya berimaginasi alangkah indah jika setem tersebut bersaiz panjang dan imej bukan berbentuk ilustrasi. 

Walau bagaimanapun, saya terpukau melihat Lembaran Mini bernilai RM8.00 yang bersaiz panjang. Memang tidak sangka. Kalau saya tidak silap, Lembaran Mini tersebut merupakan Lembaran Mini yang paling panjang dikeluarkan di Malaysia. Cuma saya agak terkilan sedikit harga Lembaran Mini tersebut mahal dan tidak sesuai untuk keadaan ekonomi semasa wabak Covid-19.

Keluaran setem kali ini memang berlainan. Sampul Surat Hari Pertama yang dikeluarkan bersaiz besar yang berpadanan dengan saiz Lembaran Mini. Tiada risalah sampul surat. Maklumat mengenai setem tertera di belakang sampul tersebut. Saya lebih gemar jika maklumat setem dicetak pada risalah untuk setiap keluaran setem bagi menunjukkan kelainan keluaran setem Malaysia berbanding dengan negara-negara lain.