Thursday, August 30, 2012

Pelawat Pertama Negara Julai 2012

                                Gambar: Sebahagian koleksi setem Mesir

Pada bulan Julai 2012, blog saya telah dilayari oleh pelawat pertama dari negara-negara seperti berikut:

i. Venezuela pada 8.7.0212 
    Sekian lama saya menanti pelawat dari negara ini.

ii. Mesir pada 15.7.2012
     Sebuah negara yang sering mempunyai tema setem yang ada nilai sejarah.

Terima kasih saya ucapkan kepada pelawat kedua-dua negara tersebut. 

Tuesday, August 14, 2012

Poskad Bersetem Australia

                           Gambar: Poskad Bersetem dari Australia

Pada sekitar bulan Julai/ Ogos 2012, saya telah menerima sekeping poskad daripada kakak saya yang dipos di Melbourne, Australia. Terima kasih diucapkan. Rupa-rupanya koala mempunyai  hidung yang besar. Saya pernah lihat koala semasa di Perth tetapi tidak ingat pula hidungnya besar.

Seperti biasa, apabila saya menerima poskad, saya akan membelek setemnya. Namun, saya agak terkejut sedikit sebab setem telah dicetak bersama-sama poskad tersebut. Menurut percakapan kakak saya, semasa dia membeli poskad itu, dia tidak perasan poskad itu sudah ada nilainya setemnya. Saya tidak perlu kecewa disebabkan memang ada pengumpul setem mengumpul poskad seperti ini. Sebelum ini, saya ada poskad Malaysia seumpamanya tetapi setem itu dicetak di ruang atas alamat penerima poskad. Oleh itu, poskad bersetem itu telah mempelbagaikan koleksi simpanan saya.

Tuesday, July 31, 2012

Pelawat Pertama Negara Jun 2012

                                  Gambar: Koleksi Setem Sweden

Pada bulan Jun 2012, blog saya telah dilayari oleh pelawat pertama dari negara-negara seperti berikut:

i. Sweden pada 27.6.0212 
  Ketika tarikh tersebut sedang musim bola EURO 2012, saya berangan.....adakah Ibrahimovic yang melayari blog saya?

ii. Ireland pada 28.6.2012
   Saya masih tiada mempunyai kenalan dari negara ini.

iii. New Zealand pada 30.6.2012
    Sudah lama saya menanti mana-mana pelawat dari negara kiwi ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada pelawat ketiga-tiga negara tersebut. 

Monday, July 23, 2012

Hobi dan Surat Khabar

                                 Gambar: Artikel Harian Metro

Pada bulan lepas, Jun 2012 tercipta sejarah dalam hidup saya. Sebelum ini, saya pernah berangan wartawan akan menemubual saya mengenai hobi mengumpul setem ini. Impian itu menjadi kenyataan apabila Harian Metro menyiarkan artikel mengenai hobi saya. 

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Harian Metro. Harian Metro menjadikan saya seakan berada dunia artis yang glamor. Terima kasih kepada keluarga yang menyokong hobi saya ini dan kenalan yang sudi bertukar-tukar setem. Terima kasih kepada Touchstone Studiowork yang menyerlahkan pancaran warna diri saya bermula lebih kurang jam 9.00 malam hingga 11.00 malam. Terima kasih juga sesiapa jua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Friday, June 29, 2012

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia Siri II

                     Gambar: Pandangan Kulit Hadapan Setem

Adakah anda tahu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia Siri II  telah dikeluarkan? Saya fikir ramai yang masih tidak ketahuinya. 

Saya amat gembira apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia Siri II dikeluarkan pada 21 Jun 2012.  Siri II ini memang saya nantikan. Cuma apabila saya melakukan perbandingan antara Siri I dengan Siri II, saya lebih gemarkan kulit keras Siri I yang lebih cantik dan kreatif.

Monday, June 11, 2012

Apakah Tarikh Keluaran Setem China Ini?


Gambar: Setem-setem yang ingin diketahui tarikh keluarannya

Saya memiliki katalog setem Yang's Postage Stamp Catalogue of the People's Republic of China tetapi saya tidak dapat mencari tarikh keluaran setem-setem sebagaimana gambar di atas. 


Oleh itu, mana-mana peminat setem yang mengetahui tarikh keluaran setem-setem tersebut, harap dapat bantu saya dan hantarkan e-mel kepada setemstamp@yahoo.com  .


Jika tidak tahu tarikh yang tepat, memadai beritahu saya tahun setem tersebut dikeluarkan. Untuk mendapat imej yang lebih besar dan jelas, sila klik pada gambar tersebut. Saya dahului dengan ucapan terima kasih.


[Pada 19.6.2012, saya telah dapat pengesahan maklumat negara dan tahun setem tersebut dikeluarkan daripada seseorang yang masih belum kenali rapat. Terima kasih di atas maklumat yang diberikan. Rupa-rupanya setem di atas bukanlah setem Republik China tetapi Republik China (Taiwan) atau lebih senang disebut negara Taiwan]

Tuesday, May 29, 2012

Setem Republik Dominica


                                 Gambar: Setem Republik Dominica

Pada 20 Mei 2012, kakak ipar saya telah memberi setem Republik Dominica kepada saya. Seronoknya. 

Wednesday, May 16, 2012

Setem Arab Saudi

Syukur. Pada mulanya saya reda sekiranya tidak dapat mencari pejabat pos di Mekah. Namun, Tuhan Maha Kuasa, sehari sebelum balik ke Malaysia, bas yang saya naiki untuk menuju ke ladang unta melalui sebuah pejabat pos! Bangunan pejabat pos tersebut terletak di jalan lama ke Jeddah. Saya dapati pejabat pos tersebut tidak begitu jauh dari hotel penginapan saya, Hotel Raihanah Mawaddah (2).

      Gambar: Sebahagian setem-setem Arab Saudi dibeli di Mekah

Pada keesokan harinya iaitu pada pagi 12 Mac 2012, setelah memaklumkan kepada ibu saya, saya bertekad cuba berjalan kaki seorang diri untuk mencari pejabat pos tersebut. Rasa seronok berjalan di Mekah ini. Dapat melihat pemandangan lebih jelas, merasai angin sepoi-sepoi bahasa menyinggahi wajah saya dan mengenali lebih dekat kedudukan bandar Mekah.

Perjalanan sedikit mencabar apabila tiba di satu laluan sempit pejalan kaki dan membukit. Di sebelah laluan pejalan kaki tersebut merupakan jalan besar yang sibuk dengan kenderaan. Penat mula terasa dan peluh mula membasahi. Saya hampir putus asa mencari pejabat pos tersebut. Pejabat pos masih tidak kelihatan. Saya rasakan telah berjalan jauh daripada kedudukan pejabat pos yang sebenarnya.

Teringat pesan ibu, segan bertanya sesat jalan. Oleh itu, saya mula bertanya kepada seorang peniaga di kedai gambar. Beliau menyatakan pejabat pos tersebut berada di deretan kedainya sebelah kiri. Ini bermaksud saya telah terbabas! Saya berpatah balik sebagaimana yang ditunjukkan oleh peniaga tadi. Saya hairan kenapa saya tidak nampak pejabat pos tersebut. Bagi kepastian, saya bertanya pula peniaga di kedai farmasi. Peniaga ini pula memaklumkan pejabat pos hanya berada 2 atau 3 bangunan dari kedainya. Saya bertambah hairan tetapi saya masih tidak nampak. Namun, saya berjalan perlahan-lahan menuju ke arah yang dinyatakan.

Syukur. Rupa-rupanya saya telah pun melalui depan pejabat pos tersebut. Saya telah terlajak lebih kurang 120 meter atau 1 blok bangunan di jalan tersebut. Saya perasan bangunan tersebut tetapi tidak menyangka pejabat pos disebabkan saiz bangunannya kecil dan tidak tinggi berbanding bangunan lain di sekitarnya. Semasa saya dalam bas semalam, saya nampak bangunannya macam tinggi. 

Terdapat 2 orang petugas di pejabat pos tersebut yang melayan baik saya untuk membeli setem. Petugas di pejabat pos tersebut ada menyatakan ada menyediakan gam tetapi saya tidak nampak. Saya hendak bertanya lanjut kepada petugasnya tetapi nampak sedang sibuk. Nasib baik air botol mineral saya ada beberapa titik air untuk menampal setem pada poskad. Sekiranya hendak pos sekeping poskad ke Malaysia atau Sweden, kadar setemnya sama iaitu 3SR (Riyal).

                   Gambar: Pandangan hadapan Saudi Post, Mekah 

Saya dapati masa yang diambil untuk berjalan kaki dari Hotel Raihanah Mawaddah (2) ke pejabat pos lebih kurang 30 minit. Tetapi jika berjalan kaki dari pejabat pos ke Masjidil Haram lebih kurang 15 minit sahaja. Oleh itu, kedudukan Masjidil Haram terletak lebih kurang di tengah perjalanan antara pejabat pos dan Hotel Raihanah Mawaddah (2). 

Friday, April 6, 2012

Carta Setem Malaysia Tahun 2011

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2011?

5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
                           Gambar: Setem Lengkap Institusi Diraja


1. Institusi Diraja
2. Juara AFF Suzuki Cup 2010
3. Peti Pos
4. Kecemerlangan Kejuruteraan Bawah Tanah
5. 100 Tahun Penerbangan

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
                              Gambar: Setem Penggerudian Terowong

1. Penggerudian Terowong - 60 sen
2. Juara AFF Suzuki Cup 2010 (Piala) - 60 sen
3. Cameron Highland, Pahang – 60 sen
4. Singgahsana – 90 sen
5. Peti Pos Bukit Bendera, Pulau Pinang – RM1
6. Juara AFF Suzuki Cup 2010 (Pingat) - 60 sen
7. Kucing – 80 sen
8. Setem Pertama Malaysia Selepas Merdeka – 90 sen
9. Duit Emas Sultan Alau’udin Riayat Shah - 60 sen
10. Era Pembangunan Penerbangan – 80 sen

4 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                          Gambar: Lembaran Mini Arnab (INDIPEX)    
                             
1. Arnab (INDIPEX) – RM5
2. Arnab - RM5
3. Kecemerlangan Kejuruteraan Bawah Tanah – RM2 dan RM3
4. Rempah Ratus – RM1 dan RM2

5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

          Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Istana-istana Diraja


1. Istana-istana Diraja
2. Peti Pos
3. 100 Tahun Penerbangan
4. Juara AFF Suzuki Cup 2010
5. Haiwan Peliharaan Kanak-kanak

5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar: Cap  Sampul Surat Hari Pertama 100 Tahun Penerbangan 

1. 100 Tahun Penerbangan
2. Peti Pos (Posmen Dikejar Binatang)
3. Haiwan Peliharaan Kanak-kanak
4. Rempah Ratus
5. Istana-istana Diraja

5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
Gambar:  Risalah Sampul Surat Hari Pertama Institusi Diraja  

1. Institusi Diraja
2. Kecemerlangan Kejuruteraan Bawah Tanah
3. Haiwan Peliharaan Kanak-kanak
4. Istana-istana Diraja
5. Artifak Warisan Negara

Thursday, January 26, 2012

Kenangan Manis 2011

Apakah kenangan manis saya berkaitan setem sepanjang tahun 2011?

Terdapat banyak kenangan manis. Tiga (3) kenangan manis yang utama seperti berikut:

a. Mengunjungi Minggu Setem 2011 di Sunway Pyramid, Selangor, Malaysia pada 15.10.2011;

b. Memiliki koleksi setem edisi khas, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia 1957 – 2002 yang dikeluarkan pada 25.4.2002;

c. Mengunjungi Cambodia Post di Phnom Penh pada 4.4.2011.

                                         Gambar: Minggu Setem 2011