Monday, May 19, 2014

Brazil...Menanti Di Akhirnya Kegembiraan

                                       Gambar: Sebahagian Paparan Setem Diterima

Setelah lebih kurang 2 bulan menanti surat dari Brazil, akhirnya tiba dalam peti surat rumah pada 23 Mac 2014. Baru hati tergerak hendak bertanya kepada pihak pejabat pos sama ada pernah menerima surat tersebut yang gambarnya telah dihantar menerusi mesej laman sosial sebelum diposkan oleh kenalan baru saya. 

Inilah kali pertama saya menerima surat daripada Brazil! Sungguh gembira. Sampul surat ditampal dengan setem-setem yang menarik. Setem-setem telah digunakan dari beberapa buah negara yang disertakan dalam sampul surat tersebut pun menarik. Terima kasih diucapkan.
_________________________________________________________________________________ 

Monday, May 5, 2014

Bagaikan Mimpi Gibraltar

 

                                                  Gambar: Mimpi Menjadi Realiti


Apabila saya menerima setem dan Sampul Surat Hari Pertama percuma dari Gibraltar, saya rasakan bagaikan mimpi menjadi realiti. Baru terasa negara tersebut benar-benar wujud. Inilah kali pertama saya memiliki setem dan Sampul Surat Hari Pertama dari negara Gibraltar. Cantik setemnya. Itulah yang berlaku pada 13.2.2014.
_________________________________________________________________________________

Thursday, April 17, 2014

Penghantaran Ke-4 Kenalan Jerman


                                       Gambar: Setem Jerman Menceriakan Suasana

Pada 21.1.2014, saya telah menerima untuk kali kali ke-4, setem Jerman daripada kenalan saya dari negara tersebut. Ada juga disertakan 12 keping setem Austria yang sama. Seperti kebiasaan, saya sungguh gembira. Terharu pun ada. Sanggup dia mengumpulkan setem untuk saya.
________________________________________________________________________________

Thursday, April 3, 2014

Pelawat Pertama Senegal

Pada 31 Mac 2014, blog saya telah dilawati oleh pelawat dari Senegal. Saya masih belum ada setem negara tersebut. Saya alu-alukan pelawat dari negara tersebut untuk bertukar setem dengan saya.
_________________________________________________________________________________ 

Sunday, March 30, 2014

Setem Singapura Pembuka Tirai 2014


                                      Gambar: Stesyen Kereta Api Singapura


Setem Singapura merupakan setem pembuka tirai bagi tahun 2014 yang diterima daripada kenalan. Saya tertarik mengenai setem ini kerana memaparkan struktur bangunan klasik. Penuh sejarah. Imej digambarkan dalam bentuk hitam putih menambahkan cetusan rasa sejarah stesyen kereta api yang dipaparkan. 
________________________________________________________________________________

Monday, March 24, 2014

Arab Saudi Episod 2

Saya tertanya-tanya sama ada Saudi Post yang saya kunjungi pada tahun 2012 masih ada atau sudah dirobohkan memandangkan banyak bangunan di Mekah telah dirobohkan. Pada petang 5.2.2014 semasa bas rombongan saya menuju ke Hudaibiyah, saya nampak Saudi Post yang pernah saya kunjungi dulu masih ada.  Kelihatan juga pintu utama cermin gelap terbuka menampakkan ada pelanggan sedang berurusan.  Namun, saya masih memikirkan sama ada hendak pergi atau tidak ke pejabat pos tersebut. Hati tidak begitu teruja disebabkan saya pernah mengunjungi pejabat pos tersebut dan kesihatan yang tidak mengizinkan. Lagipun, saya sudah mengetahui di manakah laman web berkaitan setem-setem Arab Saudi.
 
Pada pagi 6.2.2014 setelah selesai menunaikan ibadat sunat, saya masih rasa berat hati untuk pergi ke pejabat pos. Namun, bagi mewarnai kunjungan ke Arab Saudi kali ini, saya dengan langkah kaki perlahan-lahan meneruskan perjalanan meredah jalan sambil menggunakan topeng muka bagi mengelakkan habuk memandangkan jalan yang saya akan lalui terdapat bangunan sedang dalam pembinaan.

Kali ini saya rasakan berjalan kaki terlalu lama. Mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk sampai. Semasa kunjungan pertama dulu, saya rasakan hanya lebih kurang 15 minit sahaja. Saya reda.....faktor kesihatan dan tersalah melalui jambatan jalan raya yang agak tinggi.
  
                                      Gambar: Setem Arab Saudi Penuhi Kenangan

Apabila saya tiba di kaunter pejabat pos, saya mengucap salam dan salam saya itu serta-merta disambut gagah oleh pegawai pejabat pos di situ walaupun ketika itu beliau sedang bercakap dengan orang lain.  Saya memaklumkan saya pengumpul setem. Pegawai tersebut ingin memberikan alamat pejabat pos utama yang ada menjual banyak setem dengan menaiki teksi jika hendak ke situ. Tetapi saya maklumkan, saya akan membeli setakat setem yang ada dijual olehnya. Saya dilayan amat baik. Tanpa diduga sepatutnya jumlah keseluruhan setem tersebut berharga SAR102 tetapi beliau meminta saya hanya membayar SAR100. Syukur. Itulah memang bajet saya untuk membeli setem tidak melebihi SAR100. Saya turut menyerahkan sepucuk surat bersetem SAR4.00 kepada pegawai tersebut untuk dihantar ke Malaysia. Saya berada di pejabat pos tersebut lebih kurang 15 minit.

Penat berjalan tadi masih belum hilang. Oleh itu, saya mengambil keputusan melintas jalan untuk menahan teksi di hadapan sebuah hotel. Lebih kurang 10 minit barulah saya dapat teksi. Namun, sebelum menaiki teksi, saya memaklumkan hendak ke Masjidil Haram dan bertanyakan harga tambang terlebih dahulu. Saya bukanlah fasih berbahasa Arab. Pemandu teksi tersebut menunjukkan isyarat jari tetapi saya tidak faham. Apabila saya tidak jadi mengambil teksi tersebut, dia sempat memanggil saya dengan menunjukkan matawang Arab Saudi, SAR10.00. Oleh itu, saya setuju tambang tersebut dan alhamdulillah selamat sampai di Masjidil Haram. Inilah kali pertama saya menaiki teksi di Arab Saudi.   
_______________________________________________________________________________
        

Friday, February 28, 2014

Carta Setem Malaysia Tahun 2013

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2013?
5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya) 


                                                  Gambar: Setem 50 Tahun Malaysia        
1. 50 Tahun Malaysia 
2. Burung Belatuk
3. Rumah Api di Malaysia Siri 2
4. Terumbu Karang Malaysia
5. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION
 

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                                     Gambar: Setem Belatuk Merah
1. Belatuk Merah – 60 sen
2. 50 Tahun Malaysia – 60 sen
3. African Pygmy Hedgehog – 60 sen
4. Pulau Angsa, Selangor (Rumah Api) – 60 sen
5. Belatuk Kecil Tengkuk Kuning – RM1
6. Pulai Rimau, Pulau Pinang (Rumah Api) – 50 sen
7. Feather Stars – 60 sen
8. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION – RM2
9. Sea Anemone – 60 sen
10. Soft Coral – 60 sen



5 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)


             Gambar: Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) (Cetakan Semula)

1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) (Cetakan Semula) – RM5
2.
Rumah Api di Malaysia Siri 2 (One Fathom Bank Selangor) – RM5
3. 50 Tahun Malaysia - RM2.40
4. Kucing Liar Terancam di Malaysia (Harimau Malaya) – RM3
5. Burung Belatuk (Belatuk Gajah) – RM5

5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                          Gambar: Rumah Api di Malaysia Siri 2
1.  Rumah Api di Malaysia Siri 2  
2.
Terumbu Karang Malaysia
3.
Burung Belatuk 
4. Keajaiban Hutan-hutan di Malaysia (Musang Tenggalung)
5. Muzium & Artifak

5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)


 
                                                               Gambar: Cap Muzium dan Artifak               
1. Muzium dan Artifak
2.
50 Tahun Malaysia
3.
Keajaiban Hutan-hutan di Malaysia 
4. Rumah Api di Malaysia Siri 2 
5. Burung Belatuk

5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)
                                        Gambar: Risalah Rumah Api di Malaysia Siri 2
1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 
2. Terumbu Karang Malaysia
3.
50 Tahun Malaysia 
4. Muzium dan Artifak 
5. Pameran Setem ke-3 TRI-NATION
_______________________________________________________________

Thursday, February 27, 2014

Pelawat Pertama Romania


                                                Gambar: Bertemakan Pelancongan

Pada 3.1.2014, blog ini telah dilayari pengunjung dari Romania. Terima kasih. Setakat ini, saya tidak memiliki banyak setem Romania. Sebanyak 13 keping setem berada dalam album koleksi saya.
________________________________________________________________________________

Monday, January 27, 2014

Kenangan Manis 2013


  
Gambar: Setem-setem Dibeli di Hong Kong

Terdapat banyak kenangan manis yang ada kaitan antara saya dengan setem sepanjang tahun 2013. Saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti berikut:

1. Mengunjungi Pejabat Pos Peak, Hong Kong pada 26.10.2013.

2. Mengunjungi Pameran Setem TRI-NATION di Kompleks Daya Bumi Kuala Lumpur pada 24.8.2013.

3. Menerima sekeping Lembaran Mini Keluaran Bersama (Joint Issue) Singapura dan Mesir dan sebuah buku berkenaan setem dan mata wang sempena hadiah hari lahir.

4. Menerima surat dan setem atas kertas untuk kali kedua daripada kenalan Jerman pada Januari 2013.

5. Membeli setem di kaunter lobi Harbour Plaza Resort City (Tower 1), Hong Kong pada 25.10.2013.

6. Membeli setem di Terminal 1, Lapangan terbang Antarabangsa Hong Kong pada 28.10.2013.

7. Blog ini diulas oleh wartawan dalam surat khabar Kosmo! bertarikh 7.12.2013.

8. Dapat membeli Lembaran Mini Rumah Api di Malaysia Siri 2 (Cetakan Semula) pada 24.8.2013.

9. Mendapatkan tandatangan pereka setem Pameran Setem TRI-NATION pada 24.8.2013.

10. Menerima sampul surat bersetem yang diposkan oleh pemandu pelancong Cik Lisa, Shenzhen, China.

_________________________________________________________________

Thursday, January 16, 2014

Pelawat Pertama Greece

Nota Senyuman: Selamat Menyambut Tahun 2014 kepada semua pengumpul setem seluruh dunia!


                                            Gambar:  Setem Greece Bersaiz Panjang

Sebelum tahun 2013 menutup tirai, pada 30 Disember 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Greece. Terima kasih. Sebelum ini saya fikir sudah terdapat pelawat dari negara tersebut melayari blog ini. Rupa-rupanya belum lagi. Bertambah tidak sangka, pada hari yang sama terdapat 2 orang pelawat dari Greece!

Saya masih ingat lagi, semasa saya mula serius mengumpul setem pada tahun 2006, setem Greece merupakan antara negara yang paling saya gemarkan. Apatah lagi, saya mendapat kenalan yang sama tarikh lahir dengan saya dan mendapat setem Greece bersaiz panjang.
__________________________________________________________________________________