Sunday, March 22, 2020

Pejabat Pos Macedonia

Kisah berlaku pada 16 April 2019. Selepas saya selesai pemeriksaan paspot di Lapangan Antarabangsa Skopje, Macedonia, mata saya liar mencari pejabat pos tetapi tiada kelihatan. Seterusnya, saya melepasi satu pintu yang menuju ke ruang legar yang luas dan lapang menyambut ketibaan penumpang kapal terbang. Saya disambut oleh pemandu pelancong yang tinggi lampai. Mata saya masih liar mencari pejabat pos tapi rasa macam hampa. Tanpa diduga, apabila saya sudah berada di tengah ruang legar, baharulah saya terpandang sebuah pejabat pos yang terletak sederet dinding ruang legar tersebut.

Friday, February 28, 2020

Pelawat Pertama Norway, Macedonia, Albania, Montenegro, Bosnia and Herzegovina dan Mauritius

Setem Norway

Pada 4 Oktober 2017, blog saya telah dikunjungi oleh pelawat dari negara Norway. Terima kasih diucapkan kepada pelawat tersebut. Sungguh tidak disangka. Untuk mengenali setem Norway, pada setem tersebut tertera perkataan "NORGE". Setem yang dipaparkan merupakan salah satu setem yang berada dalam album setem milik saya. Semasa melihat album setem tersebut, saya jangkakan saya memiliki banyak setem Norway. Saya agak terkejut. Saya memiliki tidak sampai 10 keping setem Norway. Saya akan berusaha untuk tambahkan koleksi.  

Setem Macedonia

Selepas dikunjungi pelawat dari Norway, untuk jangka masa yang agak lama, pelawat dari negara-negara Balkan iaitu Macedonia telah melayari blog ini pada 16 April 2019, Albania pada 18 April 2019, Montenegro pada 19 April 2019 dan seterusnya dikunjungi oleh pelawat dari Bosnia and Herzegovina pada 20 April 2019.

Setem Albania


Saya tidak pasti sama ada mahu teruja atau tidak teruja dengan pelawat dari semua negara Balkan yang dinyatakan tadi disebabkan saya pasti pelawat tersebut merupakan diri saya sendiri yang melancong di negara-negara tersebut.

Sebelum saya melancong ke Albania, saya tiada mempunyai setem Albania. Oleh itu, saya telah lakukan carian di internet untuk melihat bagaimana imej setem Albania. Saya agak terkejut dan teruja melihat setem Albania tertera perkara "SHQIPERIA".

Setem Montenegro 


Saya juga tiada mempunyai setem dari negara Montenegro dan Bosnia and Herzegovina. Apalagi, setiba saya di negara-negara tersebut, mata saya liar mencari pejabat pos. Alhamdulillah, kesemua negara dapat saya singgah di pejabat pos, membeli setem dan poskan poskad atau surat kepada diri sendiri. Mungkin ada penduduk atau pelancong negara-negara yang saya kunjungi tersebut hairan melihat keasyikan saya bergambar di luar pejabat pos.   


Setem Montenegro yang dipaparkan di atas merupakan pemandangan indah Sveti Stefan. Sungguh memukau walaupun hanya dapat melihat pemandangan dari dalam bas. Difahamkan terdapat hotel di situ dan hanya mampu didiami oleh orang yang berpendapatan tinggi. Ketika itulah saya berangan ada yang sudi menaja saya untuk menginap di situ.    

Setem Bosnia and Herzegovina
Setem Bosnia dan Herzegonia atau Bosna I Hercegovina yang dipaparkan di atas bertemakan kebebasan dan keamanan yang dikeluarkan pada 25 September 1995. Saya tidak banyak perolehi setem di negara tersebut walaupun telah menemui sebuah kedai di Mostar yang menjalankan perniagaan penukaran matawang asing yang turut menjual setem Bosnia and Herzegonia yang belum digunakan dan setem lama negara lain yang sudah digunakan. Selain daripada itu, saya juga telah singgah pejabat pos di Sarajevo.

Pelawat dari negara Mauritius telah layari blog ini pada 17 Jun 2019. Terima kasih juga kepada pelawat negara tersebut. Saya belum ada koleksi setem Mauritius. Harap dapat melancong dan memiliki setem negara tersebut.

Friday, February 14, 2020

Pembuka Tirai Tahun 2020

Seni Khat Malaysia 2 merupakan keluaran setem pertama untuk tahun 2020. Setem tersebut dikeluarkan pada 6.2.2020.

Terdapat 3 keluaran setem iaitu bernilai 60 sen (Khat Jawi), 80 sen (Kaligrafi Tamil) dan RM1 (Kaligarfi  Cina). Selain daripada itu, terdapat Lembaran Mini bernilai RM3.

Gambar: Helaian Setem Bertemakan Khat Jawi

Untuk mendapatkan setem lengkap, saya perlu mendapatkannya di 2 buah pejabat pos. Sememangnya saya gembira memperoleh setem tersebut bagi meraikan pembuka tirai keluaran setem bagi tahun 2020. Syukur.

Monday, November 13, 2017

Pejabat Pos Tanah Rata

Dapat jumpa tetapi tidak dapat masuk. Itulah dugaan yang saya hadapi bila menjumpai pejabat pos di Tanah Rata, Cameron Highlands, Malaysia pada 4 September 2017.

Gambar: Pejabat Pos Tanah Rata Cameron Highlands

Dalam perjalanan ke Pasar Tanah Rata, saya telah menjumpai pejabat pos tersebut. Ketika itu lebih kurang jam 7.41 pagi dan sudah tentu waktu itu pejabat pos belum lagi beroperasi. Tambahan pula, pada tarikh tersebut merupakan hari Sabtu minggu pertama yang merupakan hari pejabat pos tidak dibuka. Jarak jauh pejabat pos tersebut dari inap desa Golden Hills yang saya tinggal lebih kurang 2 kilometer.

___________________________________________________

Saturday, September 30, 2017

Pameran Setem Danga City Mall 2017


Gambar: Sebahagian Suasana Aktiviti Jualan

Pameran Setem Danga City Mall, Johor Bahru, Malaysia diadakan pada 9 September 2017 hingga 10 September 2017. Saya telah menghadiri pameran ini pada 9 September 2017.  Tiada banyak jualan setem. Kebanyakan peniaga menjual wang kertas lama. Saya hanya membeli satu penyepit setem (tweezer) dengan harga tidak melebihi RM14.00.

___________________________________________________________

 

Friday, September 29, 2017

Setem Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Edisi Khas Siri ke -3


Gambar: Koleksi Edisi Khas

Setem Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Edisi Khas Siri ke-3 telah dikeluarkan pada 9 September 2017 tetapi dijual di pasaran pada 11 September 2017. Setem kali ini memang cantik disebabkan bukan dalam bentuk ilustrasi. Kulit hadapan setem ini tebal memadai dengan harganya yang dijual oleh pejabat pos dengan harga RM37.10 berserta dengan sampul surat besar.
_______________________________________________________

Sunday, July 30, 2017

Pelawat Pertama Afrika Selatan

Pada 4 Jun 2017 pelawat pertama dari Afrika Selatan telah kunjungi blog saya. Setakat ini, saya memiliki sebanyak 22 keping setem Afrika Selatan yang disimpan baik dalam album koleksi. Terdapat banyak lagi setem dari negara tersebut yang belum saya semak untuk dimasukkan ke dalam album.

Gambar: Nama Berbeza Setem Afrika Selatan
 

Mungkin ada yang tidak ketahui, sesetengah setem Afrika Selatan dicetak atas nama "South Africa", "Suid-Africa", "Republic of South Africa", "Republiek Van Suid-Afrika" atau "RSA". Moga tiada kekeliruan di kalangan pengumpul setem mengenai nama setem Afrika Selatan.

_______________________________________________________

Thursday, June 29, 2017

Promosi Batik Malaysia

Gambar: Warna-warni Batik Malaysia

Setem Batik Malaysia telah dikeluarkan pada 20 Jun 2017. Malaysia pernah mengeluarkan setem tema yang sama pada 2 Disember 2005. Oleh itu, ini merupakan siri kedua setem Batik Malaysia.

Saya menggemari topik ini memandangkan suka memakai batik Malaysia pada waktu tertentu. Batik Malaysia amat berbeza berbanding batik Indonesia. Paling ketara perbezaan jika lihat dari segi corak batik itu sendiri.

Usaha pengeluaran setem ini merupakan langkah yang bijak bagi mempromosi batik Malaysia di serata dunia. Meskipun begitu, pada pandangan kasar saya dari segi pengumpulan setem, mungkin tema "batik" tidak begitu digemari secara universal seperti "burung" atau "Sukan Olimpik" . Walau bagaimanapun, bagi menarik perhatian pengumpul setem, tema ini boleh dikategorikan lebih umum sebagai tema "tekstil" atau "seni".

___________________________________________________________
    

Tuesday, May 30, 2017

Pelawat Pertama Hungary

Pelawat dari Hungary telah kunjungi blog ini pada 21 April 2017. Adakala saya kurang pasti apabila melihat setem yang tertera perkataan "Magyar Posta". Dari negara manakah setem tersebut? Itulah setem Hungary. Setakat ini, sebanyak 26 keping setem Hungary berada dalam album koleksi saya.


Gambar: Setem Hungary Tahun 1963
 
_________________________________________________________________

Sunday, April 30, 2017

Pelawat Pertama Bahamas dan Tunisia

Pada bulan Mac 2017, terdapat dua pelawat pertama dari negara Bahamas dan Tunisia telah melayari blog saya.

Kali terakhir dua pelawat pertama negara mengunjungi blog ini semasa bulan Ogos 2015.

Pelawat dari Bahamas telah mengunjungi blog ini pada 17 Mac 2017. Manakala, pelawat dari Tunisia pada 25 Mac 2017.

Memang sukar untuk memiliki setem Bahamas. Saya mendapat setem Bahamas daripada kenalan baru dan kami bertukar-tukar poskad. Saya masih ingat lagi betapa gembira apabila menerima poskad Bahamas itu.

Gambar: Bagaikan Penyu Bahamas Hadir Perairan Malaysia

Bagaimana dengan setem Tunisia? Saya masih belum ada setem dari negara tersebut. Jika ada sesiapa dari Tunisia ingin bertukar-tukar setem, saya amat menunggu kehadiran suratnya.

__________________________________________________________