Friday, December 20, 2013

Setem Tupai Dari Netherlands

                                               Gambar: Setem Tupai Main Sorok

Netherlands merupakan antara negara Eropah yang saya banyak miliki koleksi setemnya. Saya belum pernah memaparkan koleksi setem Netherlands dalam blog ini. Oleh itu, buat julung kalinya saya paparkan. 

Pada 22.5.2013, saya telah menerima sepucuk surat dari Netherlands. Saya masih teringat lagi, saya sungguh teruja semasa menunggu surat ini disebabkan ingin melihat dan memegang sendiri setem bertemakan tupai yang dijanjikan oleh kenalan Netherlands.

Apabila surat tersebut sampai, saya amat berpuas hati setem-setem Netherlands yang telah dihantar kepada saya. Ada warna tersendiri. Berdasarkan gambar di atas, cuba cari di manakah setem tupai tersebut?
_________________________________________________________________________________

Thursday, December 12, 2013

Keluar Surat Khabar Kali Kedua

                                               Gambar: Blog Dalam Surat Khabar

Kisah blog ini telah disiarkan dalam surat khabar untuk kali kedua! Tidak sangka. Kali ini disiarkan dalam surat khabar Kosmo! pada 7.12.2013. Saya tiada ditemuramah oleh wartawan. Oleh itu, saya tidak ketahui kisah blog ini keluar di surat khabar sehinggalah saya menerima e-mel daripada Encik Mohd Faizal. Terima kasih kepada beliau yang memberitahu saya. Apalagi saya pun mencari surat khabar ini yang telah lewat sehari. Saya mencari di 3 buah stesen minyak dan 6 buah kedai. Akhirnya dapat senaskah. Terima kasih kepada wartawan yang mengulas blog saya. Kalau dapat tahu awal, pasti saya akan beli 2 atau 3 naskah.
_________________________________________________________________________________

Nota Senyuman : Pada 12 Disember 2013, saya telah memasukkan aplikasi "Anda mungkin juga meminati:" yang memudahkan pelawat blog saya melayari mana-mana maklumat terdahulu yang dikongsi oleh saya. Terima kasih semua.

Monday, November 25, 2013

Mencari Pejabat Pos Hong Kong dan Shenzhen, China

Pada 24.10.2013 hingga 28.10.2013, saya telah pergi melancong ke Hong Kong dan Shenzhen, China. Seperti kebiasaan, jika hendak keluar negara, pasti saya akan lakukan kajian sedikit untuk mengetahui di manakah kedudukan pejabat pos paling hampir dengan hotel saya menginap. Saya menyemak juga mana-mana kawasan pelancongan akan dikunjungi yang berhampiran dengan pejabat pos. Selain daripada itu, saya juga menghantar e-mel kepada kenalan baru di Hong Kong dan Shenzhen untuk mengetahui maklumat mengenai pejabat pos dan kadar bayaran pengeposan.

Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, mata saya puas mencari di manakah pejabat pos. Tiada nampak. Bila sampai di kawasan berhampiran Ladies Market, saya bertanya kepada pemandu pelancong dan beliau memaklumkan terdapat perkhidmatan pos disediakan di kaunter hotel. Saya pun akur katanya memandangkan saya belum lagi daftar masuk hotel tersebut. Namun, mata saya masih mencari-cari pejabat pos di kawasan Ladies Market. Tiada jumpa.

Apabila tiba di Harbour Plaza Resort City (Tower 2), Tin Shui Wai, Hong Kong saya pun meneliti risalah-risalah dan peta-peta yang saya ambil di lapangan terbang dan di kaunter hotel/ resort ini tadi. Sukar juga mencari pejabat pos berhampiran hotel ini. Akhirnya saya dapat mengesan. Mengikut peta, terdapat pejabat pos tidak jauh dari tempat saya menginap ini. Bilakah masa yang sesuai untuk berjalan kaki ke pejabat pos itu? Itulah persoalan saya.

Pada hari kedua sebelum bertolak ke Disneyland, Hong Kong, saya bertanya kepada petugas kaunter hotel. Harbour Plaza Resort City (Tower 2) tiada menjual setem. Petugas tersebut memaklumkan setem hanya dijual di Harbour Plaza Resort City (Tower 1) walau bagaimanapun beliau boleh tolong poskan surat dengan membayar harga setem sahaja. Saya gembira. Saya pun serahkan sepucuk surat untuk dihantar ke Malaysia dan bayaran HKD3.70 (lebih kurang RM1.60). Terima kasih kepada pihak hotel!

                             Gambar: Setem Dibeli di Harbour Plaza Resort City (Tower 1)

Ketika di Disneyland, saya tiada juga terpandang pejabat pos. Hampa. Tetapi saya sudah jangka di situ memang tiada pejabat pos. Saya berada di Disneyland lebih kurang sampai pukul 10.00 malam. Oleh itu, jangan haraplah untuk bercita-cita pergi ke pejabat pos yang berhampiran dengan hotel saya menginap itu.

Pada hari ketiga, saya bertekad perlu membeli setem di Tower 1 memandangkan pada pukul 9.00 pagi akan daftar keluar dari Tower 2. Adakah ada kedai cenderamata atau setem hanya dijual di kaunter hotel? Itulah yang asyik berlegar atau berbayang di fikiran saya selagi tidak melihat sendiri tempat menjual setem itu. Tower 1 terletak bersebelahan dengan Tower 2 yang jaraknya lebih kurang 100 meter.

Angin sejuk nyaman menyentuh diri ini semasa berjalan kaki menuju ke Tower 2. Rasa segan bertanya ada apabila tiba di Tower 2. Rupa-rupanya setem hanya dijual di kaunter hotel. Nasib baik petugas hotel itu baik orangnya dan melayan kerenah saya untuk membeli setem. Ada kejutan. Dapat poskad percuma! Apalagi, saya pun minta petugas hotel itu poskan surat dan poskad ke Malaysia.

Selagi tidak dapat melihat pejabat pos Hong Kong, selagi itulah rasa tidak puas walau pun setem telah ada dibeli. Sepanjang perjalanan di bandar Hong Kong, masih tidak nampak pejabat pos. Selepas mengunjungi Avenue of Star, rombongan saya menunju ke Peak menaiki kereta api macam di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Peak mempunyai kedai menjual berbagai-bagai jenis barangan terutama cenderamata. Sekiranya membeli HKD100.00 akan menerima dua (2) keping poskad percuma mengenai Peak di kaunter informasi. Saya ingatkan disediakan setem bersama poskad. Rupanya setem ada dijual di pejabat pos di situ! Di mana? Rupa-rupanya saya tidak perasan, pejabat pos itu betul-betul di hadapan muzium lilin Madame Tussauds,  yang saya asyik bergambar tadi. Saya tidak perasan sebab pejabat pos itu terletak terceruk dan lot kedai penghabisan di level tersebut. Saya mengambil masa lebih kurang 10 minit di situ. Saya pos sekeping poskad ke Malaysia dengan setem berharga HKD2.90 (lebih kurang RM1.20).


                                            Gambar: Pejabat Pos Peak, Hong Kong

                                 Gambar: Setem Dibeli di Pejabat Pos Peak, Hong Kong


Saya sungguh gembira dan puas, akhirnya dapat juga mengunjungi pejabat pos di Hong Kong. Matlamat saya kini cuma untuk kunjungi pejabat pos di Shenzhen, China pula. Tetapi kalau dapat kunjungi pejabat pos di Airport International Hong Kong semasa balik kelak merupakan bonus bagi saya.   

Saya tiba di Shenzhen pada petang itu juga setelah bersesak dengan ramai orang di terminal bas imigresen Hong Kong - Shenzhen, China. Saya dimaklumkan pada petang hari Sabtu sememangnya akan ramai orang di imigresen tersebut. Apabila keluar dari bangunan imigresen sudah waktu malam. Oleh itu, janganlah harap untuk singgah di pejabat pos. Namun, saya jeling-jeling juga tadi, manalah tahu nampak pejabat pos di imigresen.

Pada hari keempat, saya memaklumkan kepada pemandu pelancong Shenzhen sekiranya berhenti di mana-mana kawasan berhampiran pejabat pos, diminta beritahu saya tetapi tiada berhasil. Apabila tiba di kawasan terkenal Window of the World saya bertanya lagi kepada beliau. Beliau hendak membantu saya meunjukkan arah pejabat pos tetapi teringat pula pada hari itu merupakan hari Ahad. Pejabat pos tutup! Hancur berkecai harapan saya. Akhirnya, tiada jumpa langsung bangunan pejabat pos di Shenzhen.

Pada hari terakhir, apabila tiba di Terminal 1, Airport International Hong Kong saya terus bertanya kepada kaunter informasi arah pejabat pos. Selesai daftar masuk bagasi, saya teruskan 'operasi' saya mencari pejabat pos. Nasib baik bertanya tadi, kalau tidak tentu payah mencari sebab tersorok sedikit walaupun kedudukannya di tengah-tengah Terminal 1 itu.

                           Gambar: Pejabat Pos Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong


Terminal 1, Airport International Hong Kong ada menyediakan tempat solat. Oleh itu, selepas solat, saya sambung pergi membeli sedikit setem lagi di pejabat pos itu. Lagipun, duit Hong Kong masih ada lagi dalam kocek. 

                       Gambar: Setem Dibeli di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong

Sunday, November 24, 2013

Pelawat Pertama Negara Algeria


                                                     Gambar: Setem Algeria

Pada 11 Oktober 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Algeria. Terima kasih. Saya masih teringat, pada tahun 2006 saya telah menerima surat dari kenalan pertama Algeria. Kami telah berutus surat lebih kurang sebanyak 2 kali. Selepas itu, saya cuba hubungi beliau lagi tetapi tiada maklum balas. Diharap beliau ada membaca blog ini.

Thursday, October 17, 2013

Setem Bulat Amerika Syarikat

                                                     Gambar: Bulatan Dunia

Pada 17.5.2013, saya telah menerima sekeping poskad daripada kenalan baru dari Amerika Syarikat. Poskad itu ditampal dengan setem berbentuk bulat. Menarik bentuknya. Saya sukakan setem berbentuk unik dan kreatif sebegini. Apabila imej setem itu dimasukkan dalam komputer, glob itu nampak macam betul. Adakah bersetuju?

Thursday, October 10, 2013

Pelawat Pertama Negara Thailand



                                                      Gambar: Setem akuarium

Selama ini, saya fikirkan blog saya telah dikunjungi oleh pelawat dari negara Thailand. Pada 13 September 2013, barulah saya menyedari. Saya mungkin tidak menyedarinya memandangkan banyak negara lain yang jauh dari Malaysia sudah layari blog ini.Terima kasih pelawat pertama negara jiran tersebut yang melayari blog saya. Oleh itu, saya papar salah satu koleksi lembaran mini Thailand yang menjadi kesayangan saya. Saya membeli lembaran mini tersebut di Lapangan Terbang Phuket semasa menemani abang saya berkursus di sana beberapa tahun yang lepas.    

Friday, September 27, 2013

Pelawat Pertama Negara

Bermula pelawat dari negara Sweden pada 27 Jun 2012 yang melayari blog ini, saya telah memaparkan tarikh pelawat pertama dari setiap negara. Namun, saya mula menyedari, dalam keadaan tertentu sukar untuk mengesan pelawat pertama bagi setiap negara yang melayari blog ini. Ini disebabkan jika pelawat pertama sesebuah negara itu sudah melayari blog saya melebihi 3 bulan dan terdapat pula pelawat lain dari negara yang sama, maklumat tarikh pelawat pertama akan tiada lagi dipaparkan dalam blog ini.

Oleh itu, sebelum maklumat itu hilang, saya mengambil kesempatan ini menyenaraikan beberapa tarikh pelawat pertama negara seperti berikut:

1. Austria - 31 Oktober 2009
2. Slovakia - 19 Mei 2010
3. Cyprus - 2 Disember 2010
4. Pakistan - 20 Februari 2011
5. Bulgaria - 29 April 2011
6. Czech Republic - 8 November 2011
7. Ukraine - 12 April 2012
 
                                                          Gambar: Setem Pakistan


                                                 Gambar: Setem-setem Ukraine


Tuesday, September 24, 2013

Pameran Setem Tri-Nation 2013


                                                Gambar: Antara Risalah Diterima
                            


Memang betul jangkaan saya. Terdapat pameran dan jualan setem diadakan sempena pengeluaran setem Tri-Nation 2013 bermula 23 - 25 Ogos 2013. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengunjungi pameran dan jualan tersebut yang diadakan di Tingkat 3, Ibu Pejabat Pos, Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2013. 

Tertanya-tanya dalam hati, “Di manakah lokasi pameran ini?” Cuma mengagak sahaja. Nasib baik ada ternampak tanda arah. Perlu menggunakan lif untuk naik ke tingkat 3. Inilah kali pertama saya ke tingkat 3 bangunan tersebut.

Saya sungguh terkejut apabila melihat ramai orang mengunjungi pameran dan jualan setem ini termasuk pelajar sekolah. Sebelum dan semasa saya naik lif tadi, saya perhatikan tidak ramai orang tetapi apabila saya masuk pintu dewan jualan setem itu, saya tergamam seketika. 

Semasa saya berlegar dalam dewan, saya mendapati terdapat sebuah meja mengedarkan buku kepada pengunjungnya. Saya menghampiri meja tersebut. Saya rasakan perempuan yang bertugas di meja tersebut datang dari Thailand, berdasarkan wajahnya. Hati saya berteka-teki, “Adakah buku tersebut diedarkan secara percuma?” Tiba-tiba soalan itu berjawab. Seorang pengunjung di meja tersebut memberitahu saya, buku tersebut diberikan percuma. Apalagi, saya pun terus mendapatkannya. Buku tersebut mengenai lelongan setem dan barangan lain yang telah diadakan di Thailand. Walau bagaimanapun, terdapat gambar-gambar setem lama Thailand yang menarik perhatian saya.

                                          Gambar: Buku Lelongan Antik Thailand

Selepas sekali atau dua kali pusing keliling dewan tersebut, saya buat keputusan, saya harus segera lakukan sesuatu. Saya mengambil keputusan untuk membeli setem Singapura yang dijual oleh pejabat pos Singapura. Saya memang sudah jangkakan pejabat pos Singapura tentu akan menjual setem pada pameran ini. Sebagaimana dalam pengetahuan saya, setem Singapura memang mahal kerana perbezaan nilai matawang dengan Malaysia. Oleh itu, saya hanya membeli satu (1) set setem Singapura belum digunakan. Setem ini memang saya sudah sasarkan untuk membeli kerana tarikh pengeluarannya amat istimewa bagi saya.


Gambar: Setem Bandar Dalam Taman


Namun, ada jangkaan saya mengenai inti pati pameran ini meleset. Saya kecewa apabila pejabat pos Thailand tidak ada membuka meja untuk menjual setem. Saya telah bertanya petugas pejabat Pos Malaysia sama ada pihak pejabat pos Thailand ada atau tiada menjual setem. Kemudian, petugas itu bertanya dengan memanggil seorang lelaki Thailand. Keputusannya tiada. Namun, saya yakin lebih kurang 60%, meja yang memberikan buku secara percuma tadi ada kaitan dengan pejabat pos Thailand.

Setem dan Sampul Surat Hari Pertama Tri-Nation 2013 telah saya beli semalam di pejabat pos lain. Oleh itu, tugas saya agak mudah. Hanya untuk mengecap Sampul Surat Hari Pertama. Namun, meja untuk mengecap di kelilingi orang. Saya boleh menyelit untuk mengecap tetapi rasa tidak selesa. Saya ambil keputusan untuk tangguh dahulu dan pergi ke ruang lain bagi membeli setem lama yang dijual oleh pejabat pos Malaysia. Hendak dikatakan setem lama, tidaklah lama sangat. Kali ini saya banyak membeli Lembaran Mini.

Saya amat gembira untuk kunjungan pameran ini kerana dapat membeli Lembaran Mini Malaysia belum digunakan seperti berikut:

1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 (Cetakan Semula)
    Lembaran mini ini memang saya idamkan. Suka tengok peta Australia dan ada pula kanggaru.

                                   Gambar: Menerangi Perairan Malaysia dan Australia

2. Hobi Kanak-kanak (Cetakan Semula)
   Lembaran mini ini ada dikeluarkan semasa Minggu Setem 2012 di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Saya kunjungi pameran tersebut tetapi tidak membelinya disebabkan tidak perasan. Selepas beberapa hari, barulah perasan ada perbezaan antara lembaran mini biasa dengan lembaran mini yang ada tertera lambang “Minggu Setem 2012”. Geram. Saya fikirkan lembaran mini yang saya telah beli awal di pejabat pos sama seperti dijual di pameran tersebut. 


                                   Gambar: Hobi Menyeronokkan

3. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV (Cetakan Semula)
  Saya tidak ketahui lembaran ini ada dikeluarkan. Nasib baik saya kunjungi pameran dan jualan setem ini. 


                            Gambar: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Saya turut gembira dapat membeli Jubli Intan Ratu Elizebeth II (Cetakan Semula), lembaran mini Malaysia belum digunakan. Saya membelinya bukan dengan pihak pejabat pos Malaysia. Oleh itu, harganya tidak mengikut harga yang tertera pada lembaran mini tersebut. Kecewa sedikit. Semasa membeli, saya terdengar maklumat mengenai pihak pejabat pos Malaysia belum lagi menjualnya. Adakah benar? Saya tidak pasti.

Saya rasakan terdapat kelainan dalam pameran dan jualan setem ini dengan dikejutkan pengumuman kehadiran pereka setem Tri-Nation ini. Apalagi, saya pun menjadi orang pertama beratur untuk mendapatkan tandatangan pereka tersebut. Kebetulan tempat saya berdiri berhampiran dengan meja untuk dapatkan tandatangan. Rupanya pereka setem tersebut merupakan seorang wanita Melayu.


                       Gambar: Tandatangan Eksklusif Pada Sampul Surat Hari Pertama

Saya turut membeli beberapa keping Sampul Surat Hari Pertama bagi negara Australia dan New Zealand daripada peniaga setem di situ. Seronok. Dapat diskaun.

Saya tertanya-tanya di manakah pameran setem? Rupa-rupanya di dewan sebelah. Terlindung. Pintu masuk dewan itu kecil sahaja. Nasib baiklah saya rajinkan kaki dan punggung saya untuk menjengah pintu dewan pameran tersebut.


                                               Gambar: Dewan Pameran Setem

Sebelum melangkah keluar dari kedua-dua dewan tersebut, saya sempat beraksi di depan kamera sebagai imbasan memori kelak.

                            Gambar: Menikmati Keindahan Setem di Dewan Jualan Setem

Thursday, August 22, 2013

Kenalan Jerman Baik Hati


                                                Gambar: Rezeki Penerimaan Setem

Pada 30.4.2013, buat kali ke-3 saya menerima sepucuk surat daripada seorang kenalan Jerman. Beliau memberikan setem secara percuma lebih kurang sebanyak 150 keping setem. Setem-setem tersebut diisikan  dalam satu sampul surat besar. Cantik setem-setem tersebut. Terima kasih.

Monday, August 19, 2013

Setem Berkembar China

                                                   Gambar: Setem Berkembar

Inilah satu-satunya setem berkembar China yang saya miliki. Menarik. Bertemakan flora. Seorang kenalan baru yang menghantar poskad kepada saya dengan menampalkan setem tersebut. Poskad itu saya terima pada 21.3.2013.

Thursday, July 25, 2013

Pelawat Pertama Negara Jun 2013


                                                   Gambar: Pemandangan Turki

Pada 25.6.2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari Turki. Terima kasih diucapkan. Lebih kurang sebanyak 55 keping setem Turki yang ada dalam koleksi saya. Sebahagian besar diberikan oleh kakak saya beberapa tahun lepas ketika melancong di Turki. Untuk tatapan peminat blog saya, dipamerkan salah satu  setem Turki tersebut.

Friday, July 19, 2013

Hadiah Hari Lahir

                                      Gambar: Keluaran Bersama Singapura dan Mesir

Pada 12.7.2013, hari Jumaat saya telah menerima kejutan daripada  seorang pegawai di pejabat saya apabila beliau menghadiahkan sebuah buku dan Lembaran Mini Singapura yang belum digunakan sempena ulang tahun kelahiran saya pada bulan Julai ini. Terima kasih diucapkan. Saya memang teringin memiliki Lembaran Mini tersebut. Pernah berhasrat jika pergi ke Singapura akan membelinya. Syukur, angan-angan tercapai.  

Thursday, June 20, 2013

Setem India Wangi

                                                Gambar: Setem India Berharuman

Pada 19.3.2013, saya telah menerima sepucuk surat kenalan dari negara India. Keunikan setem ini mempunyai haruman. Bau macam bedak. Memang sesuai dengan tema bunga. Tetapi semasa saya menghidu bau setem ini, saya tidaklah menghidu 100% sebab hendak menjaga kesihatan memandangkan setem tersebut ditampal pada sampul surat yang sudah tentu terdedah dengan persekitaran. 

Friday, June 7, 2013

Setem Ukraine Tarikan Tersendiri

                                                       Gambar: Setem Ukraine

Pada 12.3.2013, saya menerima sekeping poskad dari negara Ukraine. Sebelum ini, saya telah menerima beberapa keping poskad dari Ukraine. Setem Ukraine mempunyai daya tarikan tersendiri.

Thursday, May 16, 2013

Setem Automobil Jerman

                                                     Gambar: Setem Jerman

Pada 7.3 2013, saya telah menerima sekeping poskad dari Jerman yang memaparkan tema setem automobil. Amat  menarik.

Monday, May 13, 2013

Mengenali Setem Jepun

                                            Gambar: Setem Jepun Warna Tersendiri 

Pada 5.3.2013, saya telah menerima sekeping poskad dari Jepun. Setem definitif Jepun di atas amat menarik jika dikumpulkan bersama setem definitif yang lain daripada setnya. Ada gabungan warna tersendiri.

Saya masih ingat dapat mengetahui nama negara Jepun yang lain iaitu Nippon apabila saya melihat setem Jepun pada zaman kanak-kanak. Setem telah memberi pengetahuan kepada saya.

Friday, April 19, 2013

Surat Kedua Honduras

                                          Gambar: Mengenali lagi setem Honduras

Pada 7.2.2013, saya telah menerima surat kedua daripada kenalan dari negara Honduras. Terima kasih saya ucapkan. Menarik setem-setem tersebut.

Monday, April 8, 2013

Pelawat Pertama Negara Mac 2013

                                                     Gambar: Setem Finland


Pada 11 Mac 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Finland. Saya tidak memiliki banyak koleksi setem dari negara ini. Kebanyakan setem yang diterima menerusi poskad daripada kenalan. Saya tidak gunting poskad untuk mengambil setem sekiranya terima daripada kenalan. Saya alu-alukan mana-mana pelawat dari negara Finland untuk bertukar setem dengan saya.

Thursday, March 21, 2013

Terima Setem Kenangan Malaysia Menerusi Surat Tahun 2011

Nota Senyuman : Pada 15 Mac 2013, blog saya telah mencapai pageview sebanyak 10,000. Terima kasih semua.


________________________________________________


                                                     Gambar: Setem Malaysia

Pada bulan November 2012, saya telah berjaya menyemak sampul-sampul surat urusan harian yang saya terima sepanjang tahun 2011. Lebih kurang sebanyak 298 keping setem kenangan Malaysia telah diterima. Bagaimana sampul-sampul surat urusan harian tahun 2012? Belum semak lagi.

Thursday, March 14, 2013

Bangunan Muzium Setem Melaka

                                   Gambar: Pandangan hadapan pagar masuk muzium.


                                   Gambar: Papan maklumat sejarah bangunan muzium.

Pada 6 Februari 2013, saya telah mengambil gambar bangunan Muzium Setem Melaka. Saya hanya berada di luar muzium tersebut sebab sudah ditutup. Namun, saya sudah menjangka muzium tersebut sudah tutup memandangkan saya tiba di situ lebih kurang selepas pada pukul 5.00 petang. Saya hendak tahu waktu operasinya, tetapi tiada dipaparkan di luar bangunan. Saya mencadangkan pihak yang terbabit dapat mempamerkan waktu operasi muzium di luar pagar batu bangunan tersebut supaya pelancong dapat merancang untuk melawat. Ada terdetik di hati saya pada hari tersebut, adakah muzium itu masih beroperasi?

Friday, February 22, 2013

Pelawat Pertama Negara Januari 2013

Pada 10 Januari 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Latvia. Setem dari negara ini saya masih belum ada. Saya alu-alukan pelawat ini bertukar setem dengan saya.

Thursday, February 14, 2013

Setem Atas Kertas Jerman

Pada bulan Januari, saya telah menerima setem Jerman daripada kenalan saya dari negara tersebut. Terima kasih banyak. Tidak sangka saya akan menerima surat kedua daripada kenalan tersebut. Setem Jerman masih lekat pada kertas yang diberikan pula dalam kuantiti banyak. Terima kasih sekali lagi.

Gambar: Warna-warni setem

Thursday, January 31, 2013

Carta Setem Malaysia Tahun 2012

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2012?
5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                                 Gambar: Setem Siri Kedua Matawang Malaysia

1. Siri Kedua Matawang Malaysia
2. Hidupan & Tumbuhan di Dasar Laut
3. Setemku
4. Jubli Intan Ratu Elizabeth II
5. 750 Tahun Melaka

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



                                                      Gambar: Setem Blue Sea Star

1. Blue Sea Star – 60 sen
2. Masjid Kampong Hulu, Melaka – 90 sen
3. Program Penyelidikan Antartika Malaysia (Penguin) – 90 sen
4. Siri Wang Syiling Muka Hadapan 50 Sen: Sulur Kacang – 60 sen
5. Siri Wang Syiling Muka Belakang 50 Sen: Sulur Kacang– 60 sen
6. Siri Wang Syiling Muka Hadapan 20 Sen: Bunga Melur – 60 sen
7. Lawatan Duke & Duchess of Cambridge – RM1.50
8. Leopard Moray Eel – 60 sen
9. Ya Kepada Hidup, Tidak Kepada Dadah (Keluarga) – 60 sen
10. Reka Bentuk Petani Melayu Membajak (Setem 50 Sen Kedah) – 90 sen

5
Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



Gambar: Lembaran Mini Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV 

1. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV – RM2 dan RM3
2. Pakaian Seragam Posmen – RM3
3. Sejarah Pos di Kedah – RM3
4. Siri Wang Kertas RM50: Minyak Kelapa Sawit & Bioteknologi – RM5
5. Hidupan & Tumbuhan di Dasar Laut – RM5

5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



         Gambar: Sampul Surat Sejarah Pos di Kedah Berlatarbelakangkan Setem

1. Sejarah Pos di Kedah (Latar Belakang Setem)  
2. Program Penyelidikan Antartika Malaysia
3. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
4. Siri Kedua Matawang Malaysia
5. 750 Tahun Melaka


5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



                                                 Gambar: Cap Terbaik 2013

1. Pakaian Seragam Posmen
2. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
3. Perayaan di Malaysia Siri II
4. Warisan Tenunan
5. Persidangan Gas Sedunia ke-25

5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

           Gambar: Risalah Program Penyelidikan Antartika Malaysia

1. Program Penyelidikan Antartika Malaysia
2. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
3. 750 Tahun Melaka
4. Punca Rezeki Tradisional
5. Siri Kedua Matawang Malaysia



Tuesday, January 15, 2013

Kenangan Manis 2012

Apakah kenangan manis saya berkaitan setem sepanjang tahun 2012?

Gambar: Minggu Setem 2012 di Kuala Lumpur


Terdapat banyak kenangan manis. Buat pertama kali ini saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti berikut:

1.   Artikel mengenai hobi saya disiarkan dalam surat khabar Harian Metro pada Jun 2012.

2.   Mengunjungi pejabat pos di Mekah, Arab Saudi pada 12.3.2012.

3.   Membeli setem di pejabat pos di Mekah, Arab Saudi pada 12.3.2012.

4.   Memiliki buku katalog setem Viet Nam pada 23.11.2012.

5.   Mengunjungi pejabat pos di Ho Chi Minh City, Viet Nam pada 23.11.2012.

6.   Mengunjungi Minggu Setem 2012 di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 21.11.2012.

7.   Menerima setem Honduras pada 10.10.2012.

8.   Menerima setem Luxemberg pada Oktober 2012.

9.   Membeli setem Viet Nam pada 23.11.2012.

10. Membeli Sampul Surat Hari Pertama Viet Nam pada 23.11.2012.  


                Gambar: Menerima setem Honduras kenangan manis no. 7 pada tahun 2012