Tuesday, September 24, 2013

Pameran Setem Tri-Nation 2013


                                                Gambar: Antara Risalah Diterima
                            


Memang betul jangkaan saya. Terdapat pameran dan jualan setem diadakan sempena pengeluaran setem Tri-Nation 2013 bermula 23 - 25 Ogos 2013. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mengunjungi pameran dan jualan tersebut yang diadakan di Tingkat 3, Ibu Pejabat Pos, Kompleks Daya Bumi, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2013. 

Tertanya-tanya dalam hati, “Di manakah lokasi pameran ini?” Cuma mengagak sahaja. Nasib baik ada ternampak tanda arah. Perlu menggunakan lif untuk naik ke tingkat 3. Inilah kali pertama saya ke tingkat 3 bangunan tersebut.

Saya sungguh terkejut apabila melihat ramai orang mengunjungi pameran dan jualan setem ini termasuk pelajar sekolah. Sebelum dan semasa saya naik lif tadi, saya perhatikan tidak ramai orang tetapi apabila saya masuk pintu dewan jualan setem itu, saya tergamam seketika. 

Semasa saya berlegar dalam dewan, saya mendapati terdapat sebuah meja mengedarkan buku kepada pengunjungnya. Saya menghampiri meja tersebut. Saya rasakan perempuan yang bertugas di meja tersebut datang dari Thailand, berdasarkan wajahnya. Hati saya berteka-teki, “Adakah buku tersebut diedarkan secara percuma?” Tiba-tiba soalan itu berjawab. Seorang pengunjung di meja tersebut memberitahu saya, buku tersebut diberikan percuma. Apalagi, saya pun terus mendapatkannya. Buku tersebut mengenai lelongan setem dan barangan lain yang telah diadakan di Thailand. Walau bagaimanapun, terdapat gambar-gambar setem lama Thailand yang menarik perhatian saya.

                                          Gambar: Buku Lelongan Antik Thailand

Selepas sekali atau dua kali pusing keliling dewan tersebut, saya buat keputusan, saya harus segera lakukan sesuatu. Saya mengambil keputusan untuk membeli setem Singapura yang dijual oleh pejabat pos Singapura. Saya memang sudah jangkakan pejabat pos Singapura tentu akan menjual setem pada pameran ini. Sebagaimana dalam pengetahuan saya, setem Singapura memang mahal kerana perbezaan nilai matawang dengan Malaysia. Oleh itu, saya hanya membeli satu (1) set setem Singapura belum digunakan. Setem ini memang saya sudah sasarkan untuk membeli kerana tarikh pengeluarannya amat istimewa bagi saya.


Gambar: Setem Bandar Dalam Taman


Namun, ada jangkaan saya mengenai inti pati pameran ini meleset. Saya kecewa apabila pejabat pos Thailand tidak ada membuka meja untuk menjual setem. Saya telah bertanya petugas pejabat Pos Malaysia sama ada pihak pejabat pos Thailand ada atau tiada menjual setem. Kemudian, petugas itu bertanya dengan memanggil seorang lelaki Thailand. Keputusannya tiada. Namun, saya yakin lebih kurang 60%, meja yang memberikan buku secara percuma tadi ada kaitan dengan pejabat pos Thailand.

Setem dan Sampul Surat Hari Pertama Tri-Nation 2013 telah saya beli semalam di pejabat pos lain. Oleh itu, tugas saya agak mudah. Hanya untuk mengecap Sampul Surat Hari Pertama. Namun, meja untuk mengecap di kelilingi orang. Saya boleh menyelit untuk mengecap tetapi rasa tidak selesa. Saya ambil keputusan untuk tangguh dahulu dan pergi ke ruang lain bagi membeli setem lama yang dijual oleh pejabat pos Malaysia. Hendak dikatakan setem lama, tidaklah lama sangat. Kali ini saya banyak membeli Lembaran Mini.

Saya amat gembira untuk kunjungan pameran ini kerana dapat membeli Lembaran Mini Malaysia belum digunakan seperti berikut:

1. Rumah Api di Malaysia Siri 2 (Cetakan Semula)
    Lembaran mini ini memang saya idamkan. Suka tengok peta Australia dan ada pula kanggaru.

                                   Gambar: Menerangi Perairan Malaysia dan Australia

2. Hobi Kanak-kanak (Cetakan Semula)
   Lembaran mini ini ada dikeluarkan semasa Minggu Setem 2012 di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Saya kunjungi pameran tersebut tetapi tidak membelinya disebabkan tidak perasan. Selepas beberapa hari, barulah perasan ada perbezaan antara lembaran mini biasa dengan lembaran mini yang ada tertera lambang “Minggu Setem 2012”. Geram. Saya fikirkan lembaran mini yang saya telah beli awal di pejabat pos sama seperti dijual di pameran tersebut. 


                                   Gambar: Hobi Menyeronokkan

3. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV (Cetakan Semula)
  Saya tidak ketahui lembaran ini ada dikeluarkan. Nasib baik saya kunjungi pameran dan jualan setem ini. 


                            Gambar: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara

Saya turut gembira dapat membeli Jubli Intan Ratu Elizebeth II (Cetakan Semula), lembaran mini Malaysia belum digunakan. Saya membelinya bukan dengan pihak pejabat pos Malaysia. Oleh itu, harganya tidak mengikut harga yang tertera pada lembaran mini tersebut. Kecewa sedikit. Semasa membeli, saya terdengar maklumat mengenai pihak pejabat pos Malaysia belum lagi menjualnya. Adakah benar? Saya tidak pasti.

Saya rasakan terdapat kelainan dalam pameran dan jualan setem ini dengan dikejutkan pengumuman kehadiran pereka setem Tri-Nation ini. Apalagi, saya pun menjadi orang pertama beratur untuk mendapatkan tandatangan pereka tersebut. Kebetulan tempat saya berdiri berhampiran dengan meja untuk dapatkan tandatangan. Rupanya pereka setem tersebut merupakan seorang wanita Melayu.


                       Gambar: Tandatangan Eksklusif Pada Sampul Surat Hari Pertama

Saya turut membeli beberapa keping Sampul Surat Hari Pertama bagi negara Australia dan New Zealand daripada peniaga setem di situ. Seronok. Dapat diskaun.

Saya tertanya-tanya di manakah pameran setem? Rupa-rupanya di dewan sebelah. Terlindung. Pintu masuk dewan itu kecil sahaja. Nasib baiklah saya rajinkan kaki dan punggung saya untuk menjengah pintu dewan pameran tersebut.


                                               Gambar: Dewan Pameran Setem

Sebelum melangkah keluar dari kedua-dua dewan tersebut, saya sempat beraksi di depan kamera sebagai imbasan memori kelak.

                            Gambar: Menikmati Keindahan Setem di Dewan Jualan Setem