Mungkin ada yang perasan,
blog ini tidak terurus dalam masa dua bulan lalu. Ingin tahu kenapa? Saya sibuk
mencari maklumat dalam laman web. Membaca blog lain. Tentang apa? Bacalah
seterusnya .....
Pada 18 September 2015
hingga 26 September 2015, saya telah menjelajahi beberapa negara Eropah iaitu
Great Britain, Perancis, Belgium dan Netherlands. Sebagaimana kebiasaan jika
saya ke luar negara, saya pasti akan cuba singgah ke pejabat pos dan kedai
pengedar setem (stamp dealer).
Sasaran pertama saya pada 19
September 2015 apabila saya tiba di Terminal 4, Lapangan Terbang Heathrow,
London. Saya mendapati tiada pejabat pos di situ dan tidak banyak kedai. Cuma
saya dapat perasan ada sebuah kedai buku WHSmith. Apa yang saya baca dari laman
web, kedai tersebut ada menjual setem. Namun, saya tidak sempat singgah ke
kedai tersebut disebabkan sibuk menolak troli bagi mencari bas yang akan
dinaiki.
Destinasi lawatan pertama
saya ke Bicester Village. Dalam pemerhatian saya, tiada pejabat pos di situ.
Saya sudah jangka disebabkan dalam laman web, tiada menyatakan kewujudan
pejabat pos di situ. Namun, terdapat pejabat pos yang terletak beberapa
kilometer dari Bicester Village.
Gambar: Peti Pos Hadapan Madame Tussauds
Pada 20 September 2015,
ketika bas rombongan menurunkan saya di Trafalgar Square, saya bertekad berjalan
seorang diri mencari kedai filateli yang pada pendapat saya paling popular di
dunia, Stanley Gibbons di 399 Strand. Dari Trafalgar Square mengambil masa
lebih kurang 8 minit. Langkah pantas saya menambahkan rasa sejuk di waktu pagi.
Dari Trafalgar Square mengambil masa lebih kurang 8 minit. Sebagaimana yang
saya ketahui, kedai tersebut tutup pada hari Ahad. Bagi membalas dendam, tidak
dapat memasuki kedai tersebut, saya mengambil gambar sebanyak mungkin di
hadapan kedai tersebut. Saya tidaklah kecewa sangat sebab beberapa buah buku katalog
setem terbitan Stanley Gibbons telah pun saya beli semasa Pameran Setem Dunia
Singapura 2015 pada bulan Ogos yang lalu. Lagipun terasa hendak jimat duit Pound
Sterling bagi membeli barang lain di kota London ini.
Gambar: Kedai Stanley Gibbons
Ketika bas menuju ke
Buckingham Palace, saya dapat melihat sebuah pejabat pos di Caxton Street. Sedih
juga tidak dapat singgah ke pejabat pos tersebut. Saya mendapati juga di tepi
jalan kota London mudah terjumpa tong peti surat bulat berwarna merah. Adakala bersaiz
besar dan ada pula kecil.
Gambar: Pejabat Post Caxton Street (Broadway Post Office)
Pada waktu petang, setelah makan tengah hari di Malaysian Hall Canteen, Queensborough Terrace dan membeli-belah di Bayswater Road, saya
tiba di Oxford Street. Saya rasa kepenatan berjalan kaki untuk mencari pejabat pos walaupun
saya tahu terdapat pejabat di Oxford Street. Tambahan pula, bas menurunkan saya
berhampiran persimpangan jalan bangunan Primark yang memerlukan masa lebih
kurang 14 minit untuk berjalan kaki ke pejabat pos Oxford Street. Saya juga
mahu mengejar masa supaya dapat berbelanja di His Master’s Voice (HMV) dan
Primark.
Saya pernah bertanya kepada
pekerja hotel di tempat saya menginap itu, DoubleTree by Hilton sama ada pihak
hotel ada atau tiada menjual setem. Pekerja perempuan itu menjawab tiada
menjual setem tetapi mencadangkan kepada saya mencari di kedai-kedai berhadapan
hotel. Oleh itu, pada malam terakhir menginap di London, saya mesti pergi
mencari setem. Alhamdulillah, dalam suasana dingin malam, saya dapat membeli
setem dengan hanya mencari di sebuah kedai runcit. Peti pos pun ada di sekitar
deretan kedai di situ.
Gambar: Pejabat Pos Klasik Tersendiri Kota Paris
Pada 21 September 2015,
ketika tiba di Paris, Perancis mata saya liar mencari pejabat pos. Pejabat pos
Perancis dikenali sebagai La Poste. Saya ada ternampak sebuah pejabat pos yang terletak di antara Galeries Lafayette dan Porte St Denis.
Hanya dapat ambil gambar dari dalam bas sahaja. Namun, saya tidak berapa gusar.
Saya pasti akan dapat mengunjungi pejabat pos disebabkan dalam semakan saya
sebelum berangkat ke Malaysia, terdapat pejabat pos berhampiran hotel saya
menginap! Ya, betul. Pada keesokan harinya, saya bertanya kepada pekerja perempuan
hotel dan beliau menyatakan belok ke kanan dan hanya lebih kurang sepuluh minit
sahaja dari hotel. Rupanya tidak sampai pun sepuluh minit. Lebih kurang tujuh
minit dah sampai.
Gambar: Pejabat Pos Pantin
Pejabat pos tersebut
terletak di Avenue Jean-Lolive, Pantin.
Saya disambut ramah oleh pekerja lelaki berkulit hitam di situ. Namun, bahasa
membataskan perbualan kami. Saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Pekerja itu
bercakap dalam bahasa Perancis. Dia membawa saya ke arah mesin pengeluaran
setem. Alamak! Saya sudah jangka, setem yang dikeluarkan oleh mesin itu
berbentuk label. Saya hendak tanya lebih lanjut kepada pekerja itu mengenai
setem bergigi, dikhuatiri pekerja itu tidak faham. Tambahan pula, saya mengejar
masa untuk berkumpul menaiki bas menjelajah kota Paris.
Semasa saya singgah
di Eiffel Tower, saya tiada perasan ada pejabat pos walaupun kenalan saya
mengatakan ada di situ. Namun, ketika beratur memasuki lif tingkat
bawah Montparnasse Tower, saya ada ternampak tanda arah pejabat pos, Terkejut
juga sebab saya tidak ketahui. Kalau tahu dari awal, sudah tentu mencarinya.
Padahal saya ada berlegar di Galeries Lafayette lebih kurang sejam yang
bersebelahan dengan Montparnasse Tower.
Gambar: Pejabat Pos Warna Menarik Celahan Kota Paris
Semasa pulang dari Montparnasse Tower, dalam perjalanan menuju bangunan induk Galeries Lafayette yang mempunyai tiga blok, saya ternampak pejabat pos yang menarik warnanya. Biru. Pejabat pos itu terletak di persimpangan jalan Rue de Renne dan Rue Littre. Saya hanya sempat mengambil gambar.
Pada 22 Disember 2015, saya
mengunjungi lagi pejabat pos di Pantin. Dalam masa lima minit berjalan kaki
pantas, saya sudah pun sampai. Kali ini saya membawa Samsung Galaxy Tab untuk
menunjukkan kepada pekerja pejabat pos gambar setem definitif Perancis. Pekerja
yang sama pada hari semalam melayan saya. Namun, pekerja itu nampak sibuk
sedikit. Dia mengangguk ada menjual setem tersebut. Lega. Kelegaan saya hanya
sementara. Dia tunjukkan mesin pengeluaran setem semalam! Namun, kali ini apabila
dia menekan butang pada mesin tersebut, skrin ada memapar imej setem definitif.
Dia mengajar saya menggunakan mesin itu. Selepas itu, meninggalkan saya
keseorangan. Macam mana hendak guna mesin dalam bahasa Perancis? Saya cuba.
Bila cetak setem tersebut, akhirnya tiada keluar imej setem definitif. Hanya imej
cetakan nilai setem label sahaja yang keluar. Nasib baik, saya tidak membeli
dalam nilai yang besar.
Selesai menggunakan mesin
itu, saya pun dengan langkah kecewa keluar pejabat pos tersebut tetapi memasuki
semula apabila teringat untuk ronda dalam pejabat pos itu. Rupanya pada rak di
tengah ruang pejabat pos, ada jual lembaran mini (miniature sheet)! Apalagi,
saya pun membelinya satu set.
Apabila tiba di Brussels,
Belgium pula, ketika berjalan kaki mencari Manneken Pis, saya mendapati di
suatu kawasan, di sebelah kiri dan kanan saya, terdapat beberapa kedai filateli.
Suka melihatnya. Namun, apabila saya berdiri di depan cermin kaca salah sebuah
kedai, saya dapati harganya mahal. (Apabila balik Malaysia, menyesal pula tidak
membeli apa-apa pun barangan filateli di Brussels).
Saya ada ternampak papan
tanda arah pejabat pos di sekitar Grand Place, Brussels. Saya mengikuti juga
arah papan tanda itu tetapi selepas itu saya sudah tidak nampak papan tanda
lain. Tambahan pula, saya tidak fokus mencarinya disebabkan sibuk mencari Boutique
Tintin.
Peti surat untuk
poskan surat atau poskad sukar dicari di Brussels. Saya ada terjumpa dua peti
surat di kawasan berlainan. Salah satu peti surat tersebut telah berlaku kerosakan
atau mungkin disebabkan vandalisme.
Pada 23 September 2015, saya
berada di alam Amsterdam, Netherlands yang banyak dihiasi terusan. Tiba pada
waktu senja menyebabkan sukar melihat di manakah pejabat pos. Pada hari kedua
di Amsterdam, saya sempat membeli dua keping poskad di sebuah kedai berhadapan
deretan Market Flower. Hanya kedai itu sahaja yang saya perasan ada menyatakan
poskad dijual bersama setem. Tetapi ayat iklannya mengelirukan seolah-olah
poskad itu sudah ada setem. Sebenarnya, setem kena beli pada harga lain. Setem
tidak termasuk harga poskad. Harga sekeping poskad lebih kurang Euro 0.50. Saya
poskan poskad dan surat di peti surat tepi jalan hadapan Coster Diamond ketika
hujan renyai mulai turun.
Gambar: Kedai Theo Peters Numismatiek & Filatelie
Ketika berjalan di sekitar
kota Amsterdam, saya mendapati kompleks membeli-belah de Bijenkorf yang
saya singgah berhampiran dengan kedai pengedar setem. Saya pun mencari kedai
tersebut. Setelah berjalan kaki selama lebih kurang 15 minit, barulah menjumpai
kedai Theo Peters Numismatiek
& Filatelie. Saya dapat membeli apa yang saya sangat hajati di Amsterdam. Sangat
gembira dapat membeli buku katalog setem Netherlands.
Gambar: Buku Katalog Setem Netherlands
Selepas itu, saya berusaha
mencari pejabat pos. Dalam laman web yang saya baca, terdapat pejabat pos dalam
bangunan Magna Plaza. Kedai Theo
Peters Numismatiek & Filatelie terletak sebaris jalan dengan Magna Plaza tetapi
berlainan blok bangunan. Saya tidak menjumpai pejabat pos dalam bangunan Magna
Plaza. Pekerja kedai di Magna Plaza memaklumkan sudah lama pejabat pos tiada di
situ. Apabila keluar dari Magna Plaza, saya ada juga bertanya kepada pakcik
yang berjaja kios dan seorang perempuan tetapi suara seperti lelaki di tepi
jalan. Namun, tiada hasil. Saya memutuskan untuk tidak mencari pejabat pos
memandangkan kaki pun sudah lenguh. Meskipun kecewa sedikit tidak nampak pejabat
pos, buku katalog yang saya beli itu dapat mengubat segala.
Gambar: Surat dan Poskad Pos Kepada Diri Sendiri
_______________________________________________________________