Thursday, October 29, 2015

Menjelajah Dunia Setem di London, Paris, Brussels dan Amsterdam

Mungkin ada yang perasan, blog ini tidak terurus dalam masa dua bulan lalu. Ingin tahu kenapa? Saya sibuk mencari maklumat dalam laman web. Membaca blog lain. Tentang apa? Bacalah seterusnya .....
Pada 18 September 2015 hingga 26 September 2015, saya telah menjelajahi beberapa negara Eropah iaitu Great Britain, Perancis, Belgium dan Netherlands. Sebagaimana kebiasaan jika saya ke luar negara, saya pasti akan cuba singgah ke pejabat pos dan kedai pengedar setem (stamp dealer).
Sasaran pertama saya pada 19 September 2015 apabila saya tiba di Terminal 4, Lapangan Terbang Heathrow, London. Saya mendapati tiada pejabat pos di situ dan tidak banyak kedai. Cuma saya dapat perasan ada sebuah kedai buku WHSmith. Apa yang saya baca dari laman web, kedai tersebut ada menjual setem. Namun, saya tidak sempat singgah ke kedai tersebut disebabkan sibuk menolak troli bagi mencari bas yang akan dinaiki.
Destinasi lawatan pertama saya ke Bicester Village. Dalam pemerhatian saya, tiada pejabat pos di situ. Saya sudah jangka disebabkan dalam laman web, tiada menyatakan kewujudan pejabat pos di situ. Namun, terdapat pejabat pos yang terletak beberapa kilometer dari Bicester Village.
                                            Gambar: Peti Pos Hadapan Madame Tussauds
Pada 20 September 2015, ketika bas rombongan menurunkan saya di Trafalgar Square, saya bertekad berjalan seorang diri mencari kedai filateli yang pada pendapat saya paling popular di dunia, Stanley Gibbons di 399 Strand. Dari Trafalgar Square mengambil masa lebih kurang 8 minit. Langkah pantas saya menambahkan rasa sejuk di waktu pagi. Dari Trafalgar Square mengambil masa lebih kurang 8 minit. Sebagaimana yang saya ketahui, kedai tersebut tutup pada hari Ahad. Bagi membalas dendam, tidak dapat memasuki kedai tersebut, saya mengambil gambar sebanyak mungkin di hadapan kedai tersebut. Saya tidaklah kecewa sangat sebab beberapa buah buku katalog setem terbitan Stanley Gibbons telah pun saya beli semasa Pameran Setem Dunia Singapura 2015 pada bulan Ogos yang lalu. Lagipun terasa hendak jimat duit Pound Sterling bagi membeli barang lain di kota London ini.
                                                       Gambar: Kedai Stanley Gibbons
Ketika bas menuju ke Buckingham Palace, saya dapat melihat sebuah pejabat pos di Caxton Street. Sedih juga tidak dapat singgah ke pejabat pos tersebut. Saya mendapati juga di tepi jalan kota London mudah terjumpa tong peti surat bulat berwarna merah. Adakala bersaiz besar dan ada pula kecil.
 
                                  Gambar: Pejabat Post Caxton Street (Broadway Post Office)
Pada waktu petang, setelah makan tengah hari di Malaysian Hall Canteen, Queensborough Terrace dan membeli-belah di Bayswater Road, saya tiba di Oxford Street. Saya rasa kepenatan berjalan kaki untuk mencari pejabat pos walaupun saya tahu terdapat pejabat di Oxford Street. Tambahan pula, bas menurunkan saya berhampiran persimpangan jalan bangunan Primark yang memerlukan masa lebih kurang 14 minit untuk berjalan kaki ke pejabat pos Oxford Street. Saya juga mahu mengejar masa supaya dapat berbelanja di His Master’s Voice (HMV) dan Primark.
Saya pernah bertanya kepada pekerja hotel di tempat saya menginap itu, DoubleTree by Hilton sama ada pihak hotel ada atau tiada menjual setem. Pekerja perempuan itu menjawab tiada menjual setem tetapi mencadangkan kepada saya mencari di kedai-kedai berhadapan hotel. Oleh itu, pada malam terakhir menginap di London, saya mesti pergi mencari setem. Alhamdulillah, dalam suasana dingin malam, saya dapat membeli setem dengan hanya mencari di sebuah kedai runcit. Peti pos pun ada di sekitar deretan kedai di situ.
                          Gambar: Pejabat Pos Klasik Tersendiri Kota Paris

Pada 21 September 2015, ketika tiba di Paris, Perancis mata saya liar mencari pejabat pos. Pejabat pos Perancis dikenali sebagai La Poste. Saya ada ternampak sebuah pejabat pos yang terletak di antara Galeries Lafayette dan Porte St Denis. Hanya dapat ambil gambar dari dalam bas sahaja. Namun, saya tidak berapa gusar. Saya pasti akan dapat mengunjungi pejabat pos disebabkan dalam semakan saya sebelum berangkat ke Malaysia, terdapat pejabat pos berhampiran hotel saya menginap! Ya, betul. Pada keesokan harinya, saya bertanya kepada pekerja perempuan hotel dan beliau menyatakan belok ke kanan dan hanya lebih kurang sepuluh minit sahaja dari hotel. Rupanya tidak sampai pun sepuluh minit. Lebih kurang tujuh minit dah sampai.
                                                       Gambar: Pejabat Pos Pantin
Pejabat pos tersebut terletak di Avenue Jean-Lolive, Pantin. Saya disambut ramah oleh pekerja lelaki berkulit hitam di situ. Namun, bahasa membataskan perbualan kami. Saya bercakap dalam bahasa Inggeris. Pekerja itu bercakap dalam bahasa Perancis. Dia membawa saya ke arah mesin pengeluaran setem. Alamak! Saya sudah jangka, setem yang dikeluarkan oleh mesin itu berbentuk label. Saya hendak tanya lebih lanjut kepada pekerja itu mengenai setem bergigi, dikhuatiri pekerja itu tidak faham. Tambahan pula, saya mengejar masa untuk berkumpul menaiki bas menjelajah kota Paris.

Semasa saya singgah di Eiffel Tower, saya tiada perasan ada pejabat pos walaupun kenalan saya mengatakan ada di situ. Namun, ketika beratur memasuki lif tingkat bawah Montparnasse Tower, saya ada ternampak tanda arah pejabat pos, Terkejut juga sebab saya tidak ketahui. Kalau tahu dari awal, sudah tentu mencarinya. Padahal saya ada berlegar di Galeries Lafayette lebih kurang sejam yang bersebelahan dengan Montparnasse Tower.
  
                                 Gambar: Pejabat Pos Warna Menarik Celahan Kota Paris
Semasa pulang dari Montparnasse Tower, dalam perjalanan menuju bangunan induk Galeries Lafayette yang mempunyai tiga blok, saya ternampak pejabat pos yang menarik warnanya. Biru. Pejabat pos itu terletak di persimpangan jalan  Rue de Renne dan Rue Littre. Saya hanya sempat mengambil gambar.

Pada 22 Disember 2015, saya mengunjungi lagi pejabat pos di Pantin. Dalam masa lima minit berjalan kaki pantas, saya sudah pun sampai. Kali ini saya membawa Samsung Galaxy Tab untuk menunjukkan kepada pekerja pejabat pos gambar setem definitif Perancis. Pekerja yang sama pada hari semalam melayan saya. Namun, pekerja itu nampak sibuk sedikit. Dia mengangguk ada menjual setem tersebut. Lega. Kelegaan saya hanya sementara. Dia tunjukkan mesin pengeluaran setem semalam! Namun, kali ini apabila dia menekan butang pada mesin tersebut, skrin ada memapar imej setem definitif. Dia mengajar saya menggunakan mesin itu. Selepas itu, meninggalkan saya keseorangan. Macam mana hendak guna mesin dalam bahasa Perancis? Saya cuba. Bila cetak setem tersebut, akhirnya tiada keluar imej setem definitif. Hanya imej cetakan nilai setem label sahaja yang keluar. Nasib baik, saya tidak membeli dalam nilai yang besar.
Selesai menggunakan mesin itu, saya pun dengan langkah kecewa keluar pejabat pos tersebut tetapi memasuki semula apabila teringat untuk ronda dalam pejabat pos itu. Rupanya pada rak di tengah ruang pejabat pos, ada jual lembaran mini (miniature sheet)! Apalagi, saya pun membelinya satu set.
Apabila tiba di Brussels, Belgium pula, ketika berjalan kaki mencari Manneken Pis, saya mendapati di suatu kawasan, di sebelah kiri dan kanan saya, terdapat beberapa kedai filateli. Suka melihatnya. Namun, apabila saya berdiri di depan cermin kaca salah sebuah kedai, saya dapati harganya mahal. (Apabila balik Malaysia, menyesal pula tidak membeli apa-apa pun barangan filateli di Brussels).
Saya ada ternampak papan tanda arah pejabat pos di sekitar Grand Place, Brussels. Saya mengikuti juga arah papan tanda itu tetapi selepas itu saya sudah tidak nampak papan tanda lain. Tambahan pula, saya tidak fokus mencarinya disebabkan sibuk mencari Boutique Tintin.

Peti surat untuk poskan surat atau poskad sukar dicari di Brussels. Saya ada terjumpa dua peti surat di kawasan berlainan. Salah satu peti surat tersebut telah berlaku kerosakan atau mungkin disebabkan vandalisme.

Pada 23 September 2015, saya berada di alam Amsterdam, Netherlands yang banyak dihiasi terusan. Tiba pada waktu senja menyebabkan sukar melihat di manakah pejabat pos. Pada hari kedua di Amsterdam, saya sempat membeli dua keping poskad di sebuah kedai berhadapan deretan Market Flower. Hanya kedai itu sahaja yang saya perasan ada menyatakan poskad dijual bersama setem. Tetapi ayat iklannya mengelirukan seolah-olah poskad itu sudah ada setem. Sebenarnya, setem kena beli pada harga lain. Setem tidak termasuk harga poskad. Harga sekeping poskad lebih kurang Euro 0.50. Saya poskan poskad dan surat di peti surat tepi jalan hadapan Coster Diamond ketika hujan renyai mulai turun.
                       Gambar: Kedai Theo Peters Numismatiek & Filatelie

Ketika berjalan di sekitar kota Amsterdam, saya mendapati kompleks membeli-belah de Bijenkorf yang saya singgah berhampiran dengan kedai pengedar setem. Saya pun mencari kedai tersebut. Setelah berjalan kaki selama lebih kurang 15 minit, barulah menjumpai kedai Theo Peters Numismatiek & Filatelie. Saya dapat membeli apa yang saya sangat hajati di Amsterdam. Sangat gembira dapat membeli buku katalog setem Netherlands.

                                 Gambar: Buku Katalog Setem Netherlands

Selepas itu, saya berusaha mencari pejabat pos. Dalam laman web yang saya baca, terdapat pejabat pos dalam bangunan Magna Plaza. Kedai Theo Peters Numismatiek & Filatelie terletak sebaris jalan dengan Magna Plaza tetapi berlainan blok bangunan. Saya tidak menjumpai pejabat pos dalam bangunan Magna Plaza. Pekerja kedai di Magna Plaza memaklumkan sudah lama pejabat pos tiada di situ. Apabila keluar dari Magna Plaza, saya ada juga bertanya kepada pakcik yang berjaja kios dan seorang perempuan tetapi suara seperti lelaki di tepi jalan. Namun, tiada hasil. Saya memutuskan untuk tidak mencari pejabat pos memandangkan kaki pun sudah lenguh. Meskipun kecewa sedikit tidak nampak pejabat pos, buku katalog yang saya beli itu dapat mengubat segala.
 
                                        Gambar: Surat dan Poskad Pos Kepada Diri Sendiri
_______________________________________________________________