Thursday, April 28, 2011

Setem Cambodia


Pada awal bulan April 2011, saya berjaya menjejaki ibu pejabat Cambodia Post. Sungguh cantik reka bentuk bangunannya.

Saya telah menghabiskan masa lebih kurang 50 minit untuk membeli setem! Agak lama juga di situ berbanding dengan masa saya melawat Muzium Negara Cambodia yang hanya saya gunakan masa lebih kurang 15 minit sahaja.

Setem Cambodia cantik dan penuh warna tersendiri. Saya belanjakan wang sebanyak USD44.00 untuk membeli setem dan sekeping Sampul Surat Hari Pertama. Inilah kali pertama saya memiliki setem Cambodia yang masih belum digunakan.

Tuesday, March 29, 2011

Pameran Setem 1 Malaysia Sedunia

                                     Gambar: Tiket Masuk Pameran Setem



                                         Gambar: Pintu Masuk Pameran Setem



                                         Gambar: Risalah Pameran Setem

Pada hari Isnin 14.3.2011, saya telah mengunjungi Pameran Setem 1 Malaysia Sedunia yang diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur, Malaysia. Bayaran masuk RM2.00 untuk orang dewasa dan RM 1.00 untuk warga emas.

Saya amat tertarik dengan poster-poster setem yang disusun memenuhi dinding. Cantik. Basikal yang digunakan oleh posmen turut dipamerkan. Sungguh klasik. Bercakap mengenai basikal ini, saya teringat semasa lebih kurang pada tahun 1977, posmen akan hantar surat terus ke pintu rumah saya dengan menghulurkan surat dari basikal yang ditunggangnya.

Saya agak kecewa tidak boleh membeli setem yang dijual oleh Pos Malaysia disebabkan kakitangannya sedang mengemas kini data jualan setemnya.

Saya mencadangkan pameran ini seperti berikut:

i. pameran ini perlu diadakan setiap tahun;

ii. perlu lebih banyak lagi setem dipamerkan;

iii. mengundang Pejabat Pos dari luar negara untuk turut serta dalam pameran ini;

iv. mempelawa peminat-peminat setem untuk mempamerkan koleksi setem peribadi;

v. beberapa keping setem percuma diberikan kepada pengunjung sebagai cenderamata.

Pada keseluruhannya saya boleh berikan markah ke atas pameran ini sebanyak 3 bintang daripada 5 bintang.

Monday, February 28, 2011

Carta Setem Malaysia Tahun 2010

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2010?

Gambar: Setem Set Lengkap Terbaik Tahun 2010 

5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

1. Keretapi Tanah Melayu
2. Paku Pakis
3. Keluaran Bersama Malaysia-Korea
4. Permainan Tradisional Masa Lapang Bersama Upin & Ipin dan Kawan-kawan
5. Matawang Malaysia

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

1. Blue Tiger - 50 sen
2. FMSR Class T - 30 sen
3. Blue Tiger – 30 sen
4. Komuter dan ETS – 30 sen
5. Tanduk Rusa - 50 sen
6. Korean Tiger - 50 sen
7. Permindahan Lengan – RM1
8. Matawang Malaysia (Muka Depan 20 Sen) – 50 sen
9. Pteropty beami - 30 sen
10. Warisan Negeri Pahang – 60 sen

5 Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

1. Keretapi Tanah Melayu – RM3
2. Matawang Malaysia - RM5
3. Paku Pakis – RM3
4. Pasar Tempatan, Pasar Minggu Satok Sarawak – RM1 dan RM2
5. Kelip-kelip – RM5

Tuesday, February 1, 2011

Kenangan Manis 2010

Apakah kenangan manis saya sepanjang tahun 2010 yang ada kaitan dengan setem? Kenangan paling terindah, saya berjaya memiliki 4 katalog setem yang dibeli di Singapura. Katalog setem tersebut dari negara Great Britain, China , Jepun dan German. Seronoknya.

Friday, December 17, 2010

Minggu Setem 2010

Pada hari Isnin 13 Disember 2010 jam lebih kurang 11.00 pagi saya telah mengunjungi Minggu Setem yang diadakan di Berjaya Times Squares, Kuala Lumpur, Malaysia. Hari tersebut merupakan hari pertama Minggu Setem! Tidak pernah selama ini saya hadir pada hari pertama Minggu Setem. Minggu Setem ini dijalankan selama seminggu.

Friday, November 19, 2010

Album Setem New Zealand


Pada 18.11.2010, saya telah berjaya menyimpan setem-setem New Zealand ke dalam satu album setem. Album tersebut untuk koleksi setem New Zealand sahaja. Sebelum ini saya campurkan setem New Zealand dengan setem Australia.

Saya juga telah menyusun setem New Zealand mengikut tahun dikeluarkan berdasarkan New Zealand Stamps, ACS Colour Catalogue 1855 to 2004. Katalog setem tersebut saya beli semasa di Kuala Lumpur lebih kurang 3 tahun yang lalu tetapi barulah kesempatan menggunakannya.

Kelewatan menggunakan katalog setem tersebut disebabkan saya serba salah hendak menggunakan yang mana satukah album setem untuk saya masukkan setem New Zealand. Saya ada berbagai-bagai saiz dan keluaran album setem. Sebab lain, saya juga fokuskan penyusunan dan penyimpanan setem Malaysia, Singapura, Australia dan Amerika Syarikat.

Sunday, August 29, 2010

Setem Negara India


Pada bulan Ogos 2010, saya telah menerima surat dari negara India. Dalam sampul surat tersebut mengandungi setem yang telah digunakan lebih kurang sebanyak 300 keping. Inilah setem negara India yang paling banyak yang saya terima dalam sejarah hidup saya setakat ini! Kenalan negara India tersebut mahukan Setem Keluaran Khas Siri Definitif Malaysia tahun 2007 dan beberapa keping setem yang belum digunakan daripada saya. Saya telah pun menghantar setem-setem tersebut secara surat berdaftar.

Menang Hadiah Setem Singapura


Saya sungguh gembira! Pada 28 Ogos 2010, saya telah menerima surat berdaftar dari Singapura. Dalam sampul surat tersebut mengandungi 2 lembaran setem Singapura dan 1 unit folder mini. Kesemuanya itu merupakan hadiah untuk saya! Saya telah menang peraduan.

Wednesday, July 14, 2010

Keinginan



Apakah keinginan atau sasaran saya dalam mengumpul setem?

Saya berhasrat mempunyai koleksi setem dari seluruh negara dan setiap negara sekurang-kurangnya saya mempunyai seorang kenalan.

Thursday, May 20, 2010

Setem Dari Negara China




Pada 17.5.2010 hari Isnin, saya sungguh gembira kerana saya menerima beberapa keping setem China yang belum digunakan. Setem-setem tersebut telah dibelikan oleh pegawai jabatan saya ketika beliau ada lawatan kerja di China.