Wednesday, September 30, 2015

Pelawat Pertama Cuba dan Yaman

Pada bulan Ogos 2015, blog saya telah dilayari oleh dua pelawat pertama dari negara Cuba dan Yaman. Pelawat dari Cuba telah melayari blog saya pada 17 Ogos 2015. Manakala, pelawat dari Yaman pula telah singgah blog saya pada 29 Ogos 2015.

Setakat ini, saya hanya memiliki sekeping setem Yaman dalam album koleksi. Saya hanya dapatkan paparkan setem Cuba sahaja. 


Gambar: Setem Cuba Bertemakan Ekonomi Sektor Perikanan
________________________________________________________________________

Monday, September 14, 2015

Pameran Setem Dunia Singapura 2015

                                        
Setelah lebih setahun menunggu, akhirnya tiba masanya mengunjungi Pameran Setem Dunia Singapura 2015 (Singapore 2015 World Stamp Exhibition). Pameran ini telah diadakan bermula 14 Ogos 2015 hingga 19 Ogos 2015 di Sands Expo & Convention Center, Singapura. Saya telah memilih tarikh 15 Ogos 2015 untuk mengunjungi pameran tersebut.
 
                                                            Gambar: Pintu Masuk

Agak penat juga menapak untuk tuju ke pameran tersebut. Stesen MRT yang saya turun memerlukan masa berjalan kaki lebih kurang 15 minit. Semasa tiba di stesen tersebut, tiada menunjukkan sebarang tanda arah untuk menuju pameran tersebut. Apabila tiba di level pameran, terdapat satu papan tanda tetapi amat mengelirukan sebab menunjukkan arah yang bertentangan. Saya terpaksa bertanya dengan petugasdi Pusat Konvensyen yang berdiri berhampiran papan tanda tersebut yang saya percaya beliau ditugaskan untuk program lain.

Saya berasa lega sebab sudah daftar masuk awal di laman web pameran tersebut beberapa hari yang lepas. Oleh itu, mudah untuk mendapatkan pelekat masuk pameran. Saya agak terkejut sedikit apabila mengambil pelekat tersebut. Saya tidak mendapat apa-apa yang menarik perhatian seperti buku pasport setem yang ada diberikan semasa Minggu Setem dan Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur, Malaysia.

                                         Gambar: Gerai Jualan Stanley Gibbons
Apabila memasuki dewan pameran tersebut, saya terus mencari gerai jualan Stanley Gibbons. Harga buku katalog setem yang dijual agak mahal walaupun telah diberi diskaun. Saya fikir tentu lebih murah kalau beli terus di London. Namun, saya tetap membeli dua (2) buku katalog setem memandangkan saya sudah berada di situ. Tambahan pula, kemungkinan besar saya tidak dapat mengunjungi Stanley Gibbons London bulan September depan akibat masa lawatan terhad.

Saya perhatikan terdapat pengunjung yang memegang kad besar. Saya bertanya kepada pengunjung mengenai tempat untuk mendapatkan kad tersebut. Rupanya kad tersebut boleh didapati di kaunter pendaftaran. Saya terpaksa keluar semula dewan pameran untuk ke kaunter tersebut. Rupa-rupanya kad itulah Pasport Filateli! Namun, pasport tersebut perlu dibayar kalau tidak silap saya dengan harga SD$2.00. Kenapalah perlu bayar? Sepatutnya berilah sebagai cenderamata kepada pengunjung untuk memasuki pameran tersebut.

                         Gambar: Philatelic Passport Singapore 2015 World Stamp Exhibition

Apakah Pasport Filateli? Mungkin ada di kalangan peminat setem yang masih tiada ketahui. Pasport tersebut bertujuan untuk menampal setem-setem negara yang terlibat menyertai pameran setem. Selepas ditampal, setem akan dicap tarikh kunjungan di gerai yang menjual setem tersebut.  
 
Sebagaimana saya sudah jangka, setem-setem yang dijual harganya lebih mahal berbanding semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014. Antara mungkin sebabnya perbezaan nilai mata wang di antara Ringgit Malaysia (RM) dengan Singapore Dollar (SD). SD$1.00 bersamaan lebih kurang RM3.00.

Ketika Pameran Setem Remaja Dunia 2014, harga sekeping setem yang dijual untuk ditampal pada buku pasport setem majoriti berharga RM1.00. Namun, harga sekeping setem untuk ditampal pada Pasport Filateli kali ini, majoriti dijual dengan harga SD$1.00. Oleh itu, saya tidak banyak membeli setem yang dijual dengan harga SD$1.00. Akhirnya, saya tidak menggunakan Pasport Filateli itu. Disimpan untuk kenangan.

                                                 Gambar: Gerai Jualan Brunei Post
                                                          
Antara gerai jualan yang saya telah kunjungi seperti yang berikut:

Bil.
Gerai Jualan
Pendapat Saya
1.
Brunei Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan
2.
Tajikistan/ Kyrgystan
Setem menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
3.
Qatar
Setem menarik. Harga setem lebih murah semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur. Saya tidak teruja membeli sebab sudah membeli semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014.
4.
Oman
Setem menarik. Harga setem lebih murah semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di Kuala Lumpur. Saya tidak teruja membeli sebab sudah membeli semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014.
5.
New Zealand Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan. Layanan baik.
6.
PHLPOST (Philippine Postal Corporation)
Setem menarik. Harga sedikit mahal.
7.
Japan Post, Liechtenstein Post, Portugal Post
Setem menarik. Harga berpatutan. Gerai jualan menarik.
8.
Pos Malaysia
Setem amat menarik. Harga sedikit mahal. Gerai jualan tidak menarik. Kekurangan hiasan seperti poster dan kadang-kala kelihatan seperti ‘gerai kosong’.
9.
Belarus Post
Setem amat menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
10.
German Post
Setem amat menarik. Harga  berpatutan. Saya lebih gemar jika bertukar-tukar setem dengan kenalan berbanding membeli setem Jerman.
11.
CS Philatelic Agency
Saya hanya melalui di hadapan gerai jualan disebabkan sering mengunjungi kedai ini di Peninsula Shopping Centre, Singapura.
12.
Prestige Label Pte Ltd
Seronok! Dapat pelekat dan penanda buku percuma.
13.
Macao Post
Saya kecewa. Lembaran Mini yang ada hanya untuk dipamerkan sebab sudah habis dijual. Stok akan ada pada keesokan hari.
14.
Thailand Post
Setem menarik. Harga sedikit mahal.
15.
Australia Post
Setem amat menarik. Harga berpatutan. Layanan baik. Teringat Kylie Minogue.
16.
DPR Korea Post
Setem menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan.
17.
Tahiti – French Polynesia
Setem amat menarik dan sukar didapati. Harga berpatutan. Hiasan gerai cantik. Disulami dengan alunan muzik seolah-olah berada di Tahiti!
18.
Singpost
Terlalu ramai orang beratur panjang untuk membeli setem. Saya mencuci mata sahaja.

 Top 5 Gerai Menjual Setem Menarik (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Pos Malaysia
2. Tahiti – French Polynesia
3. Australia Post
4. New Zealand Post
5. Brunei Post

Top 5 Gerai Menjual Setem Harga Berpatutan (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Australia Post
2. New Zealand Post
3. Brunei Post
4. Tajikistan/ Kyrgystan
5. Tahiti – French Polynesia

Top 5 Gerai Jualan Menarik (berdasarkan pendapat peribadi saya)
1. Tahiti – French Polynesia
2. Japan Post, Liechtenstein Post, Portugal Post
3. PHLPOST (Philippine Postal Corporation)
4. Australia Post
5. New Zealand Post
 

                                      Gambar: Dokumen Filateli Percuma Bernilai
                                                
Terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian saya di Pameran Setem Dunia Singapura ini. Antaranya, seperti yang berikut:

1. Gerai Stanley Gibbons memberikan buku mini setem katalog Singapura dan majalah berkaitan filateli.
2. Gerai Emriyah Arab Bersatu memberikan risalah percuma mengenai setem atau lembaran mini keluaran negara tersebut (semasa Pameran Setem Remaja Dunia 2014, tiada kelihatan diberikan risalah tersebut).
3. Gerai Macao Post turut memberikan risalah percuma mengenai setem atau lembaran mini keluaran negara Macau.
4. Gerai Prestige Label Pte Ltd telah memberikan pelekat dan penanda buku percuma yang memaparkan maskot pameran setem ini (terpulang kepada pengunjung hendak mengambil seberapa banyak).


                                 Gambar: Cenderamata Gerai Prestige Label Pte Ltd 



Terima kasih kepada pihak penganjur, semua gerai jualan dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Pameran Setem Sedunia Singapura 2015. Anda memeriahkan dunia setem saya.

                                                     Gambar: Koleksi Filateli Dibeli

 
___________________________________________________________
 
 

Thursday, August 13, 2015

Dalam Hati Ada Setem Argentina

                                              Gambar: Setem Bertema Sukan dan Flora

Entah kenapa apabila berkata dalam hati mengenai setem Argentina, rasa melonjak-lonjak. Adakah mungkin saya kurang memiliki setem Argentina? Adakah tertarik dengan bentuk peta negara tersebut yang terletak di Amerika Selatan? Adakah teringat lagu Don't Cry For Me Argentina?
 
Apabila ada kenalan dari Argentina yang berhasrat untuk menukar setem, saya sukar untuk menolaknya. Pada 6 Mei 2015, saya menerima sepucuk surat dari Argentina yang mengandungi 27 keping setem negara tersebut. 
 
Agak kecewa sedikit pada sampul surat yang dihantar itu disebabkan kenalan baru saya menggunakan setem label. Namun, tidak mengapa. Setem label itu nampak menarik dan saya dapat pelajari sesuatu mengenai sistem pos Argentina.
 
Bagaimana pula dengan setem yang terdapat dalam sampul surat? Walaupun kebanyakan setem yang diterima merupakan jenis definitif, saya tetap gembira disebabkan tiada memiliki setem-setem tersebut. 
__________________________________________________________________

Thursday, August 6, 2015

Setem Espana Menambahkan Koleksi

                                               Gambar: Setem Sepanyol Pelbagai Tema


Pada 5 Mei 2015, saya telah menerima sepucuk surat yang mengandungi 50 keping setem Sepanyol yang telah digunakan. Antara setem-setem tersebut yang menarik perhatian saya seperti setem bertemakan sukan, sejarah dan binatang. Masih banyak setem tersebut belum ada dalam koleksi saya.
_______________________________________________________________________

Thursday, July 9, 2015

Setem Mempromosikan Manja

                                                       Gambar: Setem Ucapan Peribadi

Pada 30 April 2015, saya menerima sekeping poskad daripada kenalan baru Taiwan. Dua keping  setem yang dilekatkan pada poskad itu memaparkan ilustrasi ala-ala manja atau dalam perkataan lain romantik. Setem boleh memainkan peranan mewujudkan kasih sayang sesama insan seluruh dunia. Setem Ucapan Peribadi  (Personal Greeting Stamps) tersebut dikeluarkan pada 12 Februari 2015. Masih baru di pasaran.
_________________________________________________________________

Monday, July 6, 2015

Pelawat Pertama Poland

                                          Gambar: Saiz Setem Besar Memberi Kepuasan

Pada 17 Jun 2015, blog saya telah disinggahi oleh tetamu dari Poland. Oleh itu, dipaparkan setem Poland yang berada dalam album koleksi saya. Setem ini merupakan di antara setem-setem Poland yang saya paling minati. Setem tersebut mempunyai warna 'percikan' perak sungguh mempersona yang dikeluarkan pada tahun 1970 bertemakan "Eastern Territories". Adakah sesiapa yang tahu mengenai tema tersebut? Harap boleh e-mel untuk berkongsi cerita kepada saya.
 
Saya memang gemar setem Poland era tahun 1970-an kerana kebanyakan setem semasa itu bersaiz besar. Cuma kebelakangan ini kebanyakan setem Poland bersaiz kecil atau biasa sahaja. Saya amat berharap supaya Poland kembalikan semula dengan mengeluarkan setem bersaiz besar.
__________________________________________________________

Monday, June 15, 2015

LIMA Tercapai dan Dinanti

Saya cukup gembira apabila mendapat Sampul Surat Kenangan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi atau dikenali sebagai the 13th Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) ke-13 yang dikeluarkan pada 17 Mac 2015. Sebelum ini, saya fikir tidak akan dapat langsung sampul surat tersebut. Walaupun setem dicetak terus bersama sampul surat tetapi rasa teruja memilikinya masih ada. Lagipun, imej pada sampul surat, setem dan capnya cantik dari pandangan mata saya.

                                            Gambar: Deruan Sampul Surat Kenangan LIMA
 
Hasrat saya untuk memiliki produk filateli berkaitan pameran ini tercapai. Saya pernah berangan supaya pihak pos mengeluarkan setem dan Sampul Surat Hari Pertama apabila berlangsungnya Pameran Antarabangsa Maritim ini yang diadakan hampir setiap tahun. Oleh itu, apabila keluarnya Sampul Surat Kenangan ini, tercapai sedikit angan-angan saya itu.
 
Namun, saya masih optimis pihak pos dapat mengeluarkan dalam bentuk setem 'biasa' dan Sampul Surat Hari Pertama pada masa akan datang. Mungkin masa paling sesuai ketika pameran tersebut diadakan pada kali ke-15. 
 
Selain daripada itu, saya juga berharap pihak pos dapat mengeluarkan setem dan sampul Surat Hari Pertama sempena Le Tour de Langkawi. Ada sesiapa yang setuju?
 
_________________________________________________________________

Friday, June 5, 2015

Sampul Surat Hari Pertama Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor

                 Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Bakal Mempunyai Nilai Harga Tinggi


Adakah ada sesiapa berminat bertukar Sampul Surat Hari Pertama dengan saya?
Saya menawarkan Sampul Surat Hari Pertama Kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor yang mempunyai setem bercap 'Johor Bahru' sebagaimana gambar di atas. Sebagai pertukaran, saya mahukan Sampul Surat Hari Pertama Pertabalan Seri Paduka Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mempunyai setem bercap 'Kuala Kangsar' dikeluarkan pada 6 Mei 2015.
Pertukaran ini tidak melibatkan Sampul Surat Hari Pertama yang dilekatkan dengan Lembaran Mini.

Sesiapa berminat, sila hantar e-mel kepada saya.

Thursday, May 7, 2015

Setem Jerman Masih Ingin Dimiliki

                                           Gambar: Setem Jerman Kepelbagaian Tema

Lebih kurang pada 4 Mac 2015, saya telah menerima setem yang telah digunakan dari Jerman. Mungkin ada yang tertanya, asyik setem Jerman yang banyak dipaparkan dalam blog ini. Tetapi itulah hakikatnya. Saya mendapat banyak setem Jerman berbanding negara lain. Kadang-kala surat dari negara lain pun memberi setem Jerman kepada saya. Adakah ramai pengumpul setem dari Jerman? Adakah rakyat Jerman prihatin untuk menyelamatkan setem mereka daripada dibuang begitu sahaja? Itulah persoalan sering bermain di fikiran saya.
 
Apakah setem Jerman yang menarik perhatian saya kali ini? Setem bertemakan sains, kereta dan kucing menarik perhatian saya. Setem Jerman...saya masih ingin terus memiliki.
 
____________________________________________________________

Monday, May 4, 2015

Sukar Memiliki Setem Chile

                                          Gambar: Setem Chile Bersama Setem Negara Lain

Artikel ini merupakan artikel saya yang ke-100 yang dikeluarkan dalam blog ini! Terima kasih semua.

Pada 5 Februari 2015, saya telah menerima mel dari Chile. Setem-setem yang ditampal pada sampul surat jelas menunjukkan dari segi kelainan warna. Saiz setem-setem tersebut besar. 
  
Namun, saya agak kecewa sedikit disebabkan dalam sampul surat tersebut tiada pun diselitkan setem Chile yang telah digunakan. Hanya terdapat setem-setem seperti negara Australia, Republik Czech, Lithuania dan Jerman. Sukar untuk mendapatkan setem Chile!
_______________________________________________________________