Friday, February 22, 2013

Pelawat Pertama Negara Januari 2013

Pada 10 Januari 2013, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Latvia. Setem dari negara ini saya masih belum ada. Saya alu-alukan pelawat ini bertukar setem dengan saya.

Thursday, February 14, 2013

Setem Atas Kertas Jerman

Pada bulan Januari, saya telah menerima setem Jerman daripada kenalan saya dari negara tersebut. Terima kasih banyak. Tidak sangka saya akan menerima surat kedua daripada kenalan tersebut. Setem Jerman masih lekat pada kertas yang diberikan pula dalam kuantiti banyak. Terima kasih sekali lagi.

Gambar: Warna-warni setem

Thursday, January 31, 2013

Carta Setem Malaysia Tahun 2012

Apakah setem Malaysia yang saya minati bagi tahun 2012?
5 Setem Set Lengkap Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

                                                 Gambar: Setem Siri Kedua Matawang Malaysia

1. Siri Kedua Matawang Malaysia
2. Hidupan & Tumbuhan di Dasar Laut
3. Setemku
4. Jubli Intan Ratu Elizabeth II
5. 750 Tahun Melaka

10 Setem Individu Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



                                                      Gambar: Setem Blue Sea Star

1. Blue Sea Star – 60 sen
2. Masjid Kampong Hulu, Melaka – 90 sen
3. Program Penyelidikan Antartika Malaysia (Penguin) – 90 sen
4. Siri Wang Syiling Muka Hadapan 50 Sen: Sulur Kacang – 60 sen
5. Siri Wang Syiling Muka Belakang 50 Sen: Sulur Kacang– 60 sen
6. Siri Wang Syiling Muka Hadapan 20 Sen: Bunga Melur – 60 sen
7. Lawatan Duke & Duchess of Cambridge – RM1.50
8. Leopard Moray Eel – 60 sen
9. Ya Kepada Hidup, Tidak Kepada Dadah (Keluarga) – 60 sen
10. Reka Bentuk Petani Melayu Membajak (Setem 50 Sen Kedah) – 90 sen

5
Setem Lembaran Mini Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



Gambar: Lembaran Mini Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV 

1. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV – RM2 dan RM3
2. Pakaian Seragam Posmen – RM3
3. Sejarah Pos di Kedah – RM3
4. Siri Wang Kertas RM50: Minyak Kelapa Sawit & Bioteknologi – RM5
5. Hidupan & Tumbuhan di Dasar Laut – RM5

5 Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



         Gambar: Sampul Surat Sejarah Pos di Kedah Berlatarbelakangkan Setem

1. Sejarah Pos di Kedah (Latar Belakang Setem)  
2. Program Penyelidikan Antartika Malaysia
3. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
4. Siri Kedua Matawang Malaysia
5. 750 Tahun Melaka


5 Cap Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)



                                                 Gambar: Cap Terbaik 2013

1. Pakaian Seragam Posmen
2. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
3. Perayaan di Malaysia Siri II
4. Warisan Tenunan
5. Persidangan Gas Sedunia ke-25

5 Risalah Sampul Surat Hari Pertama Terbaik
(Berdasarkan pandangan peribadi saya)

           Gambar: Risalah Program Penyelidikan Antartika Malaysia

1. Program Penyelidikan Antartika Malaysia
2. Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV
3. 750 Tahun Melaka
4. Punca Rezeki Tradisional
5. Siri Kedua Matawang Malaysia



Tuesday, January 15, 2013

Kenangan Manis 2012

Apakah kenangan manis saya berkaitan setem sepanjang tahun 2012?

Gambar: Minggu Setem 2012 di Kuala Lumpur


Terdapat banyak kenangan manis. Buat pertama kali ini saya senaraikan top 10 kenangan manis tersebut seperti berikut:

1.   Artikel mengenai hobi saya disiarkan dalam surat khabar Harian Metro pada Jun 2012.

2.   Mengunjungi pejabat pos di Mekah, Arab Saudi pada 12.3.2012.

3.   Membeli setem di pejabat pos di Mekah, Arab Saudi pada 12.3.2012.

4.   Memiliki buku katalog setem Viet Nam pada 23.11.2012.

5.   Mengunjungi pejabat pos di Ho Chi Minh City, Viet Nam pada 23.11.2012.

6.   Mengunjungi Minggu Setem 2012 di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 21.11.2012.

7.   Menerima setem Honduras pada 10.10.2012.

8.   Menerima setem Luxemberg pada Oktober 2012.

9.   Membeli setem Viet Nam pada 23.11.2012.

10. Membeli Sampul Surat Hari Pertama Viet Nam pada 23.11.2012.  


                Gambar: Menerima setem Honduras kenangan manis no. 7 pada tahun 2012 

Monday, December 10, 2012

Pejabat Pos Ho Chi Minh City, Viet Nam

Pada 23.11.2012, saya telah mengunjungi pejabat pos di Ho Chi Minh City atau nama lamanya Saigon, Viet Nam. Impian saya menjadi kenyataan mengunjungi pejabat pos tersebut. Selama ini saya hanya melihat di televisyen atau laman web gambar pejabat pos tersebut. Pejabat pos tersebut terletak lebih kurang 12 minit jika berjalan kaki dari Hotel Kingston, tempat saya menginap. 


                              Gambar: Pandangan hadapan Pejabat Pos Ho Chi Minh City

Saya telah membeli beberapa keping setem dan Sampul Surat Hari Pertama. Kebetulan semasa tarikh tersebut terdapat keluaran Sampul Surat Hari Pertama. Wah! Ini cukup menggembirakan diri saya. Tanpa diduga hampir dua setengah jam saya berada dalam pejabat pos tersebut.


                       Gambar: Sampul Surat Hari Pertama Viet Nam yang pertama dimiliki

Jika hendak mengepos poskad dari Viet Nam ke Malaysia, bayaran setem yang diperlukan sebanyak 10,500d (lebih kurang RM1.60). Manakala jika hendak mengepos surat, bayaran setem dikenakan sebanyak 15,000d (lebih kurang RM2.10). 


                                        Gambar: Salah satu setem Viet Nam yang dibeli

Dalam pejabat pos tersebut jual menjual berbagai-bagai jenis poskad, T-shirt dan barangan cenderamata yang lain. Katalog Setem Viet Nam pun turut dijual oleh peniaga di situ!

Pada 24.11.2012, sekali lagi saya mengunjungi pejabat pos tersebut yang didirikan mengikut seni bina Perancis. Kali ini bersama rombongan pelancong yang bersama-sama saya. Saya berada di situ tidak lama, lebih kurang 10 minit. Saya hanya sempat membeli 3 keping Sampul Surat Hari Pertama keluaran beberapa bulan atau tahun yang lalu.

Friday, December 7, 2012

Pelawat Pertama Negara November 2012

                                        Gambar: Satu-satunya setem Chile dimiliki

Pada bulan 4.11.2012, blog ini telah dilayari oleh pelawat dari negara Chile. Saya masih tiada mempunyai kenalan dari negara ini. Terima kasih saya ucapkan. Jika hendak bertukar-tukar setem atau berkongsi pengalaman, hubungi menerusi e-mel saya.

Friday, November 30, 2012

Minggu Setem 2012

                         Gambar: Sebahagian setem Malaysia dibeli pada Minggu Setem 2012

Pada 21.11.2012, saya telah mengunjungi Minggu Setem 2012 yang diadakan di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Kali ini saya gembira dapat membeli beberapa keping Lembaran Mini dan setem sekitar tahun 2000 hingga 2005. Apa yang mengejutkan saya kali ini, ada gerai Pos Indonesia! Apalagi, saya pun membeli beberapa keping Lembaran Mini yang berharga RM2.00 dan RM4.00. Saya juga membeli satu lembaran setem Keluaran Bersama Indonesia-Singapura yang dijual dengan harga RM10.00 .

                           Gambar: Antara Lembaran Mini dibeli dari gerai Pos Indonesia

Friday, November 2, 2012

Pelawat Pertama Negara Oktober 2012

                               Gambar: Setem Arab Saudi pemberian bonda tahun 2008

Pada bulan Oktober 2012, blog ini telah dilayari oleh pelawat dari negara-negara seperti berikut:

i. Arab Saudi pada 17.10.21012
   Saya ada kenalan dari negara ini tetapi tidak sampai berutus surat. Berkenalan dalam kapal   terbang.
   
ii. Sri Lanka pada 21.10.2012
   Teringin pula mengetahui perkembangan kenalan saya yang pernah bertukar-tukar setem beberapa tahun lepas. 

iii. Mexico pada 26.10.2012
    Saya masih tiada mempunyai kenalan dari negara ini. Sudah lama saya menanti mana-mana pelawat dari negara ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada pelawat ketiga-tiga negara tersebut. Kalau hendak bertukar-tukar setem atau berkongsi pengalaman, hubungi menerusi e-mel saya.

Monday, October 22, 2012

Pelawat Pertama Negara September 2012

                        Gambar: Setem pada sampul surat pertama diterima dari Honduras

Pada 1 September 2012, blog saya telah dilayari oleh pelawat dari negara Honduras untuk pertama kali. Sebelum tarikh tersebut, saya belum ada kenalan dari negara tersebut untuk bertukar-tukar setem.

Pada 10 Oktober 2012, saya telah menerima sepucuk surat dari Honduras! Inilah kali pertama saya menerima surat dari negara tersebut! Inilah kali pertama juga saya memiliki setem Honduras! Cukup gembira! Apatah lagi dalam surat tersebut mengandungi 50 keping setem Honduras yang sudah digunakan!

Monday, October 15, 2012

Terima Setem Kenangan Malaysia

Mungkin ada yang terkejut dengan perubahan latar belakang blog saya ini yang telah bertukar warna pada 5 Oktober 2012. Dengan menghampiri usia 3 tahun, saya menukarkan warna latar belakang blog ini. Saya ada dapat maklum balas daripada rakan sekerja yang menyatakan warna blog saya sebelum ini muram. Harap suka dengan perubahan ini. Adakah akan berlaku lebih kerap perubahan warna blog ini? Tunggu dan lihat. 


Gambar: Sebahagian koleksi setem telah lalui proses pengasingan dari sampul surat

Dalam bulan Disember 2009 hingga Mei 2010, saya telah menerima lebih kurang 250 keping setem kenangan Malaysia yang masih dilekatkan  pada sampul surat. Manakala, pada bulan Jun 2010 saya tidak merekodkannya. Pada bulan Julai 2010 hingga Disember 2010 saya menerima lebih kurang sebanyak 279 keping setem kenangan dan personal.Oleh itu, anggaran jumlah keseluruhan pada tahun 2010, lebih kurang sebanyak 500 keping setem Malaysia jenis kenangan dan personal telah diterima.

Sebahagian setem-setem tersebut menjadi koleksi peribadi saya dan sebahagian lagi setem digunakan untuk bertukar-tukar setem dengan semua kenalan di dunia.

Bagaimana pula setem kenangan Malaysia yang masih dilekatkan  pada sampul surat bagi tahun 2011 dan tahun 2012? Harap jangan terkejut. Saya masih belum menyemak lagi.